
MUMBAI - Filem popular Pakistan, Khuda Kay Liye mula ditayangkan hari ini di seluruh India iaitu yang pertama sejak empat dekad lalu, kata pengarahnya, Shoaib Mansoor.
Filem itu dibintangi oleh aktor terkenal Pakistan, Shan, model Iman Ali dan Naseeruddin Shah yang memegang watak sebagai seorang ulama.
Ia yang diterbitkan oleh Geo Films itu mengisahkan dua beradik pemuzik pop di Lahore, Pakistan di mana seorang daripadanya terpengaruh dengan kumpulan pelampau manakala seorang lagi ditahan di Amerika Syarikat ketika berada di negara tersebut.
Filem yang dilaporkan melibatkan kos sebanyak AS$1.5 juta (RM4.7 juta) itu sekali gus menunjukkan berakhirnya perang dingin antara kedua-dua buah negara sejak 1965.
Filem yang ditayangkan pada tahun lalu di Pakistan itu turut memenangi anugerah khas juri pada Festival Filem Antarabangsa ke-31 di Kaherah pada Disember tahun lalu.
- AFP