Khamis, 3 April 2008

Cara Ziyi belajar bahasa Inggeris


PENYANYI rap terkenal, Eminem bukan merupakan tutor pilihan utama tetapi aktres terkenal China, Zhang Ziyi yang berlakon dalam filem Hero and House of Flying Daggers mempelajari bahasa Inggeris daripadanya.

Ziyi mendengar lagu-lagu penyanyi rap yang berasal dari Detroit itu menerusi cakera padat (CD) bagi membolehkannya fasih dalam bahasa Inggeris.

"Ia adalah sesuatu yang normal," katanya.

Jika anda melihat aktres berumur 29 tahun itu di skrin, adalah sukar untuk menggambarkan gadis yang mempunyai wajah seperti kanak-kanak itu boleh menyanyi lagu Slim Shady.

Bagaimanapun, jika anda mahu menakluk Hollywood, anda perlu mempelajari bahasa Inggeris.

Ziyi hanya berumur 21 tahun ketika dia berlakon buat pertama kalinya dalam sebuah filem Amerika pada 2001 iaitu Rush Hour 2.

Dalam filem berkenaan, dia bercakap bahasa Inggeris dalam jumlah yang sedikit di mana pelakon aksi, Jackie Chan terpaksa menterjemahkan untuk Ziyi.

"Mereka (penerbit filem) kerap memberikan peranan kepada gadis Asia seperti seeorang gadis dari China yang belayar ke Amerika.

"Saya tidak dapat mempelajari manfaat daripadanya (watak sedemikian)," kata Ziyi.

Namun, sebelum ini dia berjaya menonjolkan bakat dirinya.

Pada 1999, lakonannya dalam filem The Road Home arahan Zhang Yimou menyebabkan aktres tersebut berjaya memperoleh watak dalam filem Crouching Tiger, Hidden Dragon arahan Ang Lee.

Sebelum ini seorang lagi aktres China, Gong Li, terpaksa mengambil tempoh 10 tahun untuk meuncul dalam filem berbahasa Inggeri pertama.

Sejak itu, Li mempertaruhkan nasibnya dalam dua filem berbahasa Inggeris iaitu Miami Vice dan Hannibal Rising.

Bagaimanapun, Ziyi dilabelkan sebagai Gong Li baru.

"Tidak ada sesiapa pun yang boleh menggantikan tempat Gong Li kerana dia merupakan aktres utama di China.

"Saya tidak merasakan saya boleh menggantikan tempatnya," tambah Ziyi.

Ziyi juga berlakon dalam filem Memoirs of a Geisha pada 2006 di mana Li juga membintangi filem berkenaan.

"Geisha memberikan kami peluang untuk menunjukkan kepada dunia bahawa kami dari Asia dan kami tidak hanya bijak melakukan lakonan aksi, kami juga boleh berlakon," kata Ziyi.

Aktres itu menjadi duta kebudayaan China dan wajahnya digunakan dalam kebanyakan produk di Asia termasuk gergasi kosmetik, Maybelline.

Ziyi juga tidak menutup pintu kepada pasaran Asia.

Dalam filem terbarunya, The Banquet, dia bergabung tenaga dengan pengarah komersial China, Feng Xiaogang.

Ziyi berlakon sebagai Maharani Wan dalam filem berlatar belakang era 1,000 tahun lalu.

Dilahirkan di Beijing, Ziyi dipujuk oleh ibu bapanya supaya memasuki Akademi Tarian Beijing ketika dia berumur 11 tahun.

Ketika berumur 15 tahun, dia memasuki Akademi Drama di mana empat tahun kemudian, aktres itu berlakon dalam filem The Road Home yang berjaya memenangi anugerah Silver Bear dalam Festival Filem Berlin.

Kini, aktres itu berlakon dalam filem thriller, The Horsemen arahan Jonas Ackerlund.

Dalam filem itu, dia berlakon sebagai seorang gadis yang membentuk sebuah kumpulan lelaki untuk membalas dendam bagi pihak mangsa ketidakadilan.

Ziyi mempelajari kursus dialet Inggeris dan suara di sebuah sekolah bahasa berprestij di New York, Juilliard School untuk melakonkan watak gadis berkenaan.

Aktres itu juga mempelajari cara aktor terkenal Britain dan Hollywood, Anthony Hopkins

melakonkan watak pembunuh bersiri Hannibal Lecter untuk tujuan menjayakan lakonannya.

"Anda boleh lihat cara dia menggunakan perkataan dengan penuh berhati-hati.

"Tidak ada satu pun perkataan yang dibazirkannya.

'Saya kerap melihat cara Hopkins melakukan persembahan itu (lakonannya) itu."

- Agensi