Khamis, 20 Mac 2008

Zara mahu cipta sejarah


ZARA diundang jalani ujibakat filem Bond.

LONDON - Seorang model dan aktres, Zara Adams berharap bakal mencipta sejarah dengan menjadi gadis Muslim pertama di Asia yang menjadi gadis James Bond, menurut satu laporan semalam.

Zara yang pernah melancarkan majalah terbitannya, Talent Magazine kini diundang menghadiri uji bakat untuk membintangi filem terbaru Bond, Quantum of Solace.

"Ejen uji bakat dan penerbit berminat dengan gambar-gambar saya dan telah menjemput saya untuk menjalani uji bakat," kata Zara.

"Bekerja dengan nama besar seperti Marc Foster dan Daniel Craig dan beberapa pelakon lain akan memberikan satu pengalaman yang mengagumkan," katanya.

Gadis berusia 25 tahun itu di mana bapanya berketurunan Iran manakala ibunya berasal dari Pakistan berkata, menjadi gadis Bond Muslim pertama dari Asia merupakan kejayaan terbesar yang pernah dicapai dalam hidupnya.

"Menjadi gadis Bond yang pertama daripada kalangan wanita Muslim Asia bukan sahaja akan membuka pintu untuk saya tetapi juga ia memecahkan halangan untuk orang lain," katanya.

Model yang dilahirkan di Glasgow itu juga memberitahu bahawa sekiranya terpilih memegang watak dalam filem tersebut, ia merupakan satu dorongan untuk memperkembangkan karier lakonannya.

- Agensi