
LONDON: Satu garis panduan baru Majlis Amalan Perubatan Britain mensyaratkan doktor Muslim supaya tidak membiarkan aspek peribadi, keagamaan dan moral menjejaskan penjagaan pesakit, termasuk membuka tudung jika itu yang diingini pesakit. Media tempatan melaporkan semalam, dokumen dikenali Aspek Kepercayaan dan Amalan Perubatan, menetapkan pihak hospital atau majikan yang bertanggungjawab menetapkan syarat seperti kod pakaian di tempat kerja.
Laporan itu mendakwa ada pesakit berasakan pemakaian tudung serta purdah ‘menjadi halangan komunikasi, selain menjejaskan usaha membina kepercayaan atau keyakinan’ antara doktor dan pesakit.
Malah, pada masa tertentu, pegawai perubatan ini perlu mengetepikan rujukan peribadi dan budaya masing-masing.
“Garis panduan itu mengimbangkan hak doktor untuk bekerja mengikut kepercayaan dan pegangan masing-masing, tetapi pada masa sama, mengutamakan hak pesakit,” kata jurucakap Majlis Perubatan, Dr John Jenkins.
Isu berhubung pemakaian tudung itu dibangkitkan baru-baru ini berikutan kes doktor gigi, Omer Butt. Doktor gigi lelaki bertugas di Unsworth Smile Clinic, enggan merawat seorang wanita yang tidak mengenakan tudung, selain mengakui mengurangkan caj bayaran bagi pesakit yang menutup aurat.
Sementara itu, Mohammed Khayat, jurucakap Pusat Islam Didsbury - badan yang memberi nasihat kepada penduduk Muslim berhubung isu sosial dan budaya, mengambil pendirian berhati-hati ketika diminta mengulas garis panduan baru berkenaan.
“Peranan tudung adalah sebagai melindungi aurat wanita. Ia satu pilihan peribadi bagi wanita Muslim itu sendiri. Namun, jika pesakit tidak selesa dengannya kerana menghalang komunikasi, terpulanglah kepada doktor itu untuk memutuskannya. Saya tidak melihatnya sebagai satu masalah keagamaan yang besar kerana doktor itu yang membuat keputusan.”
Garis panduan itu juga mensyaratkan yang doktor boleh mengelak daripada melakukan prosedur, menasihati atau merujuk kaedah yang tidak mereka senangi seperti melakukan pengguguran dan berkhatan. Bagaimanapun, mereka perlu memaklumkan pesakit itu mengenai hak mereka mendapatkan khidmat pegawai perubatan lain.
Dokumen itu juga memberi peringatan kepada doktor yang mereka perlu merawat penganut kepercayaan Jehovah's Witnesses yang lebih sanggup mati daripada menjalani prosedur pemindahan darah.
- Agensi