Rabu, 26 Mac 2008

Obama, Brad Pitt bersaudara


Brad Pitt bersama Bill Clinton


Barrack Obama

Kajian juga mendakwa Hillary ada hubungan keluarga dengan Angelina Jolie

WASHINGTON: Mereka mungkin bermusuhan dari segi politik tetapi satu kajian susur galur kekeluargaan mendapati calon Presiden Demokrat, Barack Obama, adalah saudara jauh dengan pelakon Brad Pitt manakala saingannya, Hillary Clinton pula mempunyai kaitan persaudaraan dengan kekasih Pitt, Angelina Jolie. Lebih mengejutkan, Obama juga dikatakan sepupu jauh Presiden George W Bush yang dihubungkan oleh Samuel Hinkley dari Cape Cod, yang meninggal dunia pada 1662.

Kaitan persaudaraan kedua-dua calon Demokrat itu ditemui oleh sebuah pertubuhan ginekologi yang dihormati Amerika selepas siasatan selama tiga tahun. Pitt dan Obama sepupu menerusi hubungan keluarga dengan Edwin Hickman yang mati di Virginia pada 1769.

Clinton dan Obama juga boleh berbangga dengan senarai panjang kaitan persaudaraan mereka dengan tokoh terkenal lain. Jurucakap Persatuan Ginekologi Bersejarah New England, Christopher Child, berkata keturunan ahli politik menunjukkan mereka sebenarnya mempunyai persamaan lebih banyak daripada yang difikirkan.

Persatuan berkenaan yang diasaskan pada 1845, adalah yang tertua dan persatuan ginekologi tidak berasaskan keuntungan di Amerika.

Penyelidikan itu, yang dilakukan oleh Child dan Gary Boyd Roberts, turut menunjukkan kaitan kekeluargaan luar biasa. Obama adalah anak kepada wanita kulit putih dari Kansas dan lelaki kulit hitam dari Kenya.

Beliau sebelum ini dikenali pasti sebagai sepupu jauh Naib Presiden Amerika, Dick Cheney. Keturunan politiknya bukan hanya sekadar Bush sebaliknya termasuk ramai bekas Presiden Amerika seperti Gerald Ford, Lyndon Johnson, Harry S Truman dan Winston Churchill.

Hubungan kekeluargaan dengan Pitt cuma menambah suntikan populariti kepada susur galur keluarganya. Bagaimanapun, saudara mara Hillary jauh lebih popular kerana sepupu jauh Senator New York itu termasuk penyanyi Madonna, Celine Dion dan Alanis Morisette, selain isteri Putera Charles, Camilla Parker-Bowles.

Beliau dan Jolie adalah sepupu kesembilan dan kedua-duanya dihubungkan dengan Jean Cusson, yang meninggal dunia di St Sulpice, Quebec, pada 1718.

- Agensi