Khamis, 27 Mac 2008

Ahli Umno kena lebih utama parti


MESYUARAT Majlis Tertinggi (MT) Umno semalam menetapkan Perhimpunan Agung dan pemilihan dalam parti diadakan pada 16 hingga 20 Disember depan, seperti dijadualkan. Perkara ini diumumkan Presiden Umno merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Ini sekali gus mengakhiri segala teka-teki berkisar kepada tarikh pemilihan itu sehingga timbul pelbagai saranan daripada pelbagai pihak dalam parti baru-baru ini. Ada yang mahukannya diadakan pada tahun ini dan ada pula mencadangkan tahun depan dengan pelbagai alasan. Kita percaya ahli MT berbincang mengenai perkara itu secara mendalam sebelum mencapai permuafakatan untuk mengadakannya akhir tahun ini, yang dimulakan dengan mesyuarat peringkat cawangan pada 17 Julai hingga 24 Ogos, disusuli peringkat bahagian pada 9 Oktober hingga 9 November. Sebelum ini beberapa Ketua Umno Bahagian mencadangkan supaya pemilihan parti ditunda sehingga Jun tahun depan, tetapi beberapa pemimpin parti tidak bersetuju dengan cadangan itu. Jawatankuasa Pengurusan parti yang bermesyuarat kelmarin dikatakan turut berpendapat bahawa pemilihan parti wajar diadakan tahun ini. Hakikatnya, Umno tidak harus bimbang untuk mengadakan pemilihan pada Perhimpunan Agungnya tahun ini kerana semua ahlinya sudah cukup matang menilai dan membuat keputusan terbaik demi manfaat parti dan negara. Ada yang kata apabila timbul usaha untuk menangguhkan pemilihan ke tahun depan, ia sebagai langkah untuk 'lari daripada masalah.'

Apa yang penting, sama ada pemilihan diadakan tahun ini atau tahun depan, ahli Umno perlu bersatu dalam usaha memperkukuhkan parti bagi mengelak sebarang ketegangan selepas kejutan dalam Pilihan Raya Umum Ke-12, baru-baru ini. Setiap 3.2 juta ahli parti perlu balik kepada asas perjuangan iaitu mengetepikan sebarang agenda peribadi dan meletakkan kepentingan parti melebihi segala-galanya. Bila pemilihan diadakan tidak lagi relevan andainya orang Melayu terus bercakaran sesama sendiri, tidak lagi sayangkan Umno dan 'permainan tikam daripada belakang' terus bermaharajalela. Jika semua ini boleh dihentikan dan semua ahli parti bersama-sama untuk terus memartabatkan bangsa, agama dan negara, lebih separuh kemelut yang dihadapi dapat ditangani. Kita mesti ingat perjuangan memartabatkan bangsa, agama dan negara belum selesai. Kalau orang Umno sayangkan parti dan masih ingat asas perjuangan mempertahan dan menaikkan darjat serta maruah orang Melayu, mereka mesti sayangkan parti dan mengelak menjadikan pemilihan sebagai landasan untuk membalas dendam, sama ada kerana tidak dipilih sebagai calon atau dilantik dalam Kabinet, baru-baru ini.

Ahli Umno mesti mempunyai satu suara terutama ketika gelodak pembangkang ketika ini membara untuk melenyapkan Umno. Justeru, ahli parti mahu Umno terus relevan, mereka perlu bersatu, menghentikan tuding menuding dan mengenal pasti punca mengapa calon Barisan Nasional (BN), khususnya Umno ditolak pada Pilihan Raya Umum Ke-12, 8 Mac lalu. Kita memahami mengapa orang Umno kecewa dengan keputusan pilihan raya umum baru-baru ini apatah lagi BN kehilangan Perak, Selangor, Kedah dan Pulau Pinang selain gagal menawan semula Kelantan. Sebenarnya, prestasi Umno keseluruhannya tidaklah seburuk parti komponen lain seperti MCA, Gerakan dan MIC. MCA misalnya, cuma menang 15 daripada 40 kerusi Parlimen yang ditandingi manakala MIC pula menang tiga dan Gerakan hanya meraih dua daripada 12 kerusi Parlimen. Umno masih teguh dengan memperoleh kemenangan 78 daripada 117 kerusi Parlimen yang ditandingi.

Berita Harian