
Demi Moore
NEW YORK: Aktres Hollywood, Demi Moore mengakui menggunakan pacat sebagai terapi kecantikan awet muda yang membantunya kelihatan jauh lebih muda daripada usia sebenarnya yang sudah mencecah 45 tahun.
“Badan anda akan dicukur dan disapu dengan sejenis bahan kimia. Apabila rasa sakit itu hilang, pacat akan diletakkan bagi menghisap darah,” katanya ketika diwawancara hos televisyen Amerika Syarikat, David Letterman.
Moore berada di kota New York bagi mempromosi filem terbarunya, Flawless, tetapi pertemuannya dengan Letterman ternyata dikuasai topik berhubung usahanya untuk kelihatan muda.
Tambahan pula perkahwinannya dengan aktor, Ashton Kutcher yang berusia 30 tahun atau 15 tahun lebih muda daripada Moore.
“Saya akui sentiasa mencari kaedah alternatif kecantikan yang dapat meningkatkan kesihatan serta proses pemulihan badan. Saya berada di Austria bagi melakukan usaha pembersihan badan yang turut membabitkan penggunaan pacat.
“Ini bukanlah pacat biasa, tetapi pacat khas yang dilatih khusus untuk menghisap darah.”
Terapi menggunakan pacat sememangnya mempunyai sejarah yang lama dan pakar perubatan Mesir pernah menganggap haiwan penghisap darah itu sebagai penawar segala penyakit. Malah, pada masa ini, pacat ada kalanya digunakan dalam rawatan pembedahan plastik serta kaedah bagi menyambung semula bahagian tubuh yang rosak atau parah.
Moore, janda aktor Bruce Willis, berkata dia pada mulanya mengunjungi pusat perubatan itu bagi tujuan melakukan proses membuang toksik dalam darah.
“Pacat mempunyai sejenis enzim yang disalurkan ke dalam darah kita menerusi gigitannya. Selepas gigitan itu, anda akan mengeluarkan darah yang banyak dan kesihatan anda dapat dipertingkatkan.
Moore juga menjalani pelbagai pembedahan dan rawatan kecantikan termasuk menyedut lemak perut, membesarkan payu dara, menegangkan kulit muka dan kening, suntikan kolagen, pembedahan lutut, mencantikkan dan memutihkan gigi, pemutihan kulit dan senaman.
- Agensi