HANOI - Sekumpulan ahli zoologi berjaya mengenal pasti seekor kura-kura gergasi (gambar) di utara Vietnam yang sebelum ini dipercayai telah pupus, kata para pengkaji semalam.
Setelah tiga tahun mencari, pakar kura-kura Asia berjaya menemui, mengenal pasti dan merakamkan gambar kura-kura itu yang merupakan satu-satunya spesimen yang diketahui masih hidup di sebuah tasik di barat Hanoi.
Zoo Cleveland Metroparks di Amerika Syarikat (AS) yang membiayai kajian itu membuat pengumuman penemuan itu dalam satu kenyataan semalam.
Penyelaras program kura-kura Asia yang ditaja zoo berkenaan, Doug Hendrie berkata, spesies kura-kura itu merupakan satu legenda di Vietnam dan penemuan itu adalah satu peluang untuk legenda itu hidup semula.
"Ini adalah satu penemuan yang penting dan menakjubkan kerana kura-kura yang dikenali sebagai Rafetus swinhoei merupakan kura-kura yang paling terancam di dunia," katanya.
Para penyelidik berkata, kura-kura bercengkerang lembut itu boleh mencapai berat 136 kilogram dan berukuran 914 sentimeter panjang serta boleh hidup selama lebih 100 tahun.
Bagaimanapun, spesies itu semakin pupus selepas diburu untuk dijadikan makanan oleh manusia, kerosakan habitat dan pencemaran alam sekitar.
- Reuters