Teknologi Hi-Q Eco Magic istimewa kerana pemilik boleh tentukan saiz, berat ikan
IKAN laut dalam diternak di daratan. Menerusi kaedah bioteknologi yang diperkenalkan Global Hi-Q (M) Sdn Bhd, nelayan kini tidak perlu lagi mengambil risiko menempuh badai dan ribut untuk ke laut menangkap ikan, sebaliknya hanya perlu menternak ikan berkenaan di kolam.
Teknologi dari Taiwan itu menggunakan gabungan semula jadi yang mampu menjimatkan kos dan tenaga manusia serta mengelakkan masalah pencemaran air, kini dilaksanakan di Teluk Dalam, Pulau Pangkor di kawasan tiga hektar.
Melalui formula itu, ikan laut diternak di dalam kolam yang dibina khas di atas daratan dengan menggunakan penapis khas, ‘Hi-Q Eco Magic’ yang lengkap dengan pelbagai keperluan pembiakan ikan dan pengawalan kandungan air.
Pusat ternakan itu menyediakan 100 kolam dengan keluasan setiap kolam antara 4X4 meter persegi dan 6X6 meter persegi.
Kolam berkeluasan 4x4 meter persegi boleh memuatkan 14,000 ekor anak ikan dan selepas ikan terbabit matang, ia akan dipindahkan ke kolam berukuran 6x6 meter persegi yang boleh memuatkan 3,000 ekor ikan.
Ikan yang diternak di kawasan itu ialah ikan kerapu yang mengambil masa selama 10 bulan untuk mencapai berat antara 600 hingga 800 gram seekor sebelum dieksport ke China dan Hong Kong dengan harga AS$16 sekilogram.
Pengerusi Global Hi-Q (M) Sdn Bhd, Mohd Nasir Mohd Rashid, berkata dengan menggunakan Hi-Q Eco Magic, air laut akan disaring daripada pelbagai sudut seperti mengukur kandungan piawaian air serta melakukan proses menyahtoksik terutama jika ada bahan kimia di dalam air bagi membolehkan air berkenaan menjadi bersih dan sesuai untuk kehidupan ikan.
"Di Taiwan, teknologi itu dikaji sejak 22 tahun lalu dan ia mempunyai potensi untuk berkembang dalam sektor ini.
“Oleh itu, Global Hi-Q menjalin kerjasama dengan sebuah syarikat di Taiwan bagi melaksanakan kaedah itu di sebuah kawasan di Pulau Pangkor, Perak.
"Melalui teknologi itu, nelayan tidak perlu mengambil risiko menempuh badai dan ribut untuk ke laut sebaliknya hanya perlu menternak ikan laut di dalam kolam yang disediakan," katanya.
Mohd Nasir berkata, antara kelebihan menggunakan teknologi itu ialah pengusaha tidak perlu menukar air sehingga enam bulan kerana bahan yang terkandung di dalam penapis dapat mengawal kadar ketumpatan (PH) air serta menyah bahan kimia berbahaya di dalam takungan berkenaan.
Katanya, penapis Hi-Q Eco Magic mengandungi lebih 70 bahan mineral semula jadi yang diperoleh dari dasar laut yang mempunyai pelbagai fungsi untuk merawat air serta pembentukan planton secara semula jadi.
"Bahan terbabit akan mewujudkan keseimbangan dan keserasian alam hingga membolehkan air berada dalam keadaan asal.
"Apa yang lebih penting, air di dalam kolam itu akan menjadi asli sama seperti air laut dan ini akan membantu pembesaran serta perkembangan ikan di dalam kolam.
"Melalui teknologi itu, pengusaha tidak perlu menggantikan air atau menggunakan alat sokongan lain kerana penapis serta kandungan mineral alat terbabit dapat menyediakan segala keperluan untuk tujuan penternakan," katanya.
Mohd Nasir berkata, alatan itu akan bertindak sebagai sistem saliran akuakultur secara ekologikal yang turut mengandungi formula khas ‘primex antibodi’ di samping turut menghasilkan plankton dan rumpai laut sebagai makanan ikan.
Malah, alatan itu turut menjadi pemangkin kepada pembentukan batu karang yang amat sesuai untuk digunakan di dalam akuarium sama ada di pejabat dan rumah.
Selain itu, alatan berkenaan dapat memproses air ternakan yang mengalami keracunan akibat kandungan sisa toksik yang berlebihan sekali gus mengurangkan risiko keracunan ikan.
Nasir berkata, Hi-Q Eco Magic terbukti berjaya di Taiwan dan China sehingga mewujudkan pemasaran global dengan permintaan yang tinggi daripada 70 negara termasuk Amerika Syarikat dan Jerman.
Beliau berkata, selain pemeliharaan ikan, peralatan terbabit juga boleh digunakan untuk ternakan tiram dan karangan laut.
Katanya, alatan terbabit juga mempunyai keistimewaan kerana pemilik boleh menentukan saiz dan berat ikan yang dipelihara.
Mohd Nasir berkata, langkah syarikatnya menceburi bidang terbabit adalah selaras dengan seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang ingin memajukan industri pertanian dan perikanan berkonsepkan bioteknologi di negara ini.
INFO: Projek Global Hi-Q di Pulau Pangkor
Jenis Ikan: Kerapu
Tempoh ternakan: 10 bulan
Berat ikan yang boleh dijual: 600 - 800 gram
Harga: AS$16 sekilogram
Eksport: Hong Kong dan China
Jumlah kolam ketika ini: 40 kolam
Bakal ditambah: 60 kolam (menerusi projek `contract farming' dengan nelayan dan belia Pulau Pangkor di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi
Jumlah ikan dalam satu kolam: 3,000 ekor
Saiz kolam: 6 x 6 meter
Lain-lain:
> Teknologi ini yang pernah diguna pakai di Taiwan dan Amerika Syarikat adalah yang pertama di Malaysia.
> Teknologi ini didapati berpotensi di Malaysia berbanding di Amerika Syarikat dan Eropah kerana suhu air lautnya yang sesuai dengan habitat ikan kerapu.
Oleh Mohd Idris Sulaiman
Berita Minggu
9 September 2007