Rabu, 12 September 2007

Gempa Bumi Kuat Melanda Selatan Sumatera


KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) -- Negeri-negeri di pantai barat Semenanjung mengalami gegaran berikutan gempa bumi kuat berukuran 7.9 pada skala Richter di 155km barat daya Bengkulu, selatan Sumatera dan 718km barat daya Johor Baharu pada 7.10 malam ini.


Kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia di sini menyatakan gempa bumi itu berlaku di 4.5 darjah Selatan dan 101.0 darjah Timur.


Penghuni-penghuni di bangunan tinggi di negeri-negeri itu termasuk di Lembah Kelang yang paling merasai gegaran itu telah lari turun meninggalkan pejabat dan penginapan mereka ke kawasan lapang.


Setakat ini belum ada laporan berlakunya tsunami, bagaimanapun jabatan itu menasihatkan orang ramai menjauhi kawasan pantai di Perlis, Kedah, Perak dan Pulau Pinang berikutan gempa bumi itu.


Menurut Pusat Amaran Tsunami Pasifik, gempa bumi pada ukuran itu mempunyai potensi untuk menjana tsunami yang akan melanda perairan di Lautan Hindi.


Bagaimanapun, tidak diketahui sama ada tsunami berlaku.


Menurut pusat itu yang terletak di Hawaii, pemantauan tsunami hanyalah berdasarkan penilaian pada ukuran gempa bumi itu.


Ia menasihatkan pihak berkuasa di rantau itu supaya mengambil tindakan sewajarnya sebagai langkah bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan berlakunya tsunami besar-besaran.


Sementara itu di JAKARTA, penghuni di bangunan tinggi dikejutkan dengan gegaran akibat gempa bumi itu.


Maklumat awal yang disiarkan televisyen tempatan menyatakan gempa bumi yang berpusat di sekitar kepulauan Bengkulu itu berpotensi tsunami.


Koresponden Bernama Mohd Nasir Yusoff berkata beliau berada di tingkat 19 bangunan Wisma Antara setinggi 20 tingkat itu dan bangunan itu terasa bergegar manakala komputer dan perabot dalam pejabat itu bergoyang.


Selepas gegaran itu, beribu pekerja di Wisma Antara bertempiaran keluar dari bangunan itu untuk menyelamatkan diri dengan menuruni tangga kecemasan.


Di JOHOR BAHARU, gegaran turut dirasai sehingga menyebabkan orang ramai terutamanya di bangunan tinggi keluar ke perkarangan bangunan masing-masing untuk menyelamatkan diri.


Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor, Saiful Bahari berkata jabatan itu menerima banyak laporan daripada orang ramai khususnya yang tinggal di bangunan tinggi seperti kondominium Bukit Saujana, Taman Desa Cemerlang, flet Bukit Cagar dan juga di Gelang Patah.


Saiful berkata jabatan itu telah menghantar anggota untuk membuat pemeriksaan di bangunan-bangunan tinggi yang terlibat.


Di KUALA LUMPUR, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Jalan Hang Tuah di sini ketika dihubungi berkata jabatan itu menerima banyak panggilan daripada orang ramai melaporkan bangunan dan rumah pangsa mereka mengalami gegaran.


Katanya keadaan itu menyebabkan penghuni dan pekerja di bangunan tinggi terbabit bergegas keluar untuk menyelamatkan diri.


"Antara kawasan yang mengalami gegaran ialah Pandan Jaya, Petaling Jaya, Jalan Klang Lama, Kepong, Cheras dan kompleks kerajaan di Jalan Duta. Anggota bomba telah dihantar ke kawasan berkenaan untuk memantau keadaan keselamatan di sana," katanya.


Bagaimanapun pihak bomba meminta orang ramai supaya tidak panik dan bertenang memandangkan gegaran itu cuma tempias daripada gempa bumi di Sumatera.


Sementara itu, seorang eksekutif Surya Suharman, 31, yang bekerja di tingkat 10, Faber Towers di Jalan Klang Lama di sini berkata gegaran sebanyak tiga kali dialami bermula kira-kira 7.15 malam.


"Saya berasa agak pening dan terkejut dengan keadaan itu kerana tidak pernah mengalaminya sebelum ini. Beberapa kakitangan di tempat kerja saya bergegas turun dan terus pulang ke rumah masing-masing," katanya ketika dihubungi Bernama.


Antara bangunan tinggi yang dilaporkan mengalami gegaran ialah Menara Celcom di Jalan Tun Razak, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, Hospital Kuala Lumpur, Kompleks Kerajaan Jalan Duta dan Menara Berkembar Petronas.


Sementara itu, beberapa kawasan di Putrajaya turut merasai gegaran iaitu di Presint 8, 9, 11, 14 dan 16.


Ketua Polis daerah itu, Supt Abdul Razak Abdul Majid berkata polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat kawasan itu akan memantau keadaan itu.


Di PULAU PINANG, Pengarah Majlis Keselamatan Negara negeri Abdullah Daud berkata arahan telah dikeluarkan kepada agensi berkaitan supaya mengambil langkah berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan berikutan kejadian gempa bumi itu.


"Saya telah arahkan agensi terbabit seperti Polis, Bomba dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk berada dalam keadaan bersedia jika berlaku sesuatu," katanya.


Sebarang tindakan lanjut akan bergantung kepada arahan Jabatan Meteorologi Malaysia, katanya ketika dihubungi.


Di MELAKA, gegaran turut dirasai di beberapa tempat termasuk pusat perniagaan komersil di Taman Melaka Raya di Bandar Hilir.


Jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah ketika dihubungi berkata gegaran dilaporkan di kawasan perumahan kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Bukit Serindit dan Universiti Multi Media (MMU) di Bukit Beruang.


Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri ketika dihubungi berkata jabatan itu sedang melakukan pemeriksaan termasuk di bangunan Kolej Jururawat di Peringgit.


Seorang kakitangan agensi kerajaan negeri yang tinggal di sebuah pangsapuri di Ujung Pasir, Erle Martin Carvalho, 39, berkata beliau dan keluarganya serta penghuni lain pangsapuri itu bergegas keluar sebaik terasa gegaran itu.


Katanya gegaran itu adalah kali kedua dialami pada tahun ini dengan yang pertama pada awal tahun ini.


Di SINGAPURA, gegaran turut dirasai dengan penghuni di bangunan tinggi seperti flet dan apartmen melaporkan gegaran itu berlaku selama kira-kira dua minit.


Seorang penghuni sebuah apartmen di Bukit Timah berkata beliau terasa bangunan yang dihuninya bergoyang.


"Pada mulanya saya tidak kisah dengan kejadian itu tetapi kemudianya gegaran itu menjadi bertambah kuat dan saya terasa pening," katanya yang enggan dikenali.


Jabatan Meteorologi Singapura melaporkan gempa bumi itu berlaku di 670km selatan Singapura.


"Gegaran terasa di Singapura," menurut jabatan itu dan menyatakan kemungkinan akan berlaku tsunami tetapi penilaian awal mendapati ia tidak akan melanda Singapura.


Bernama