Selasa, 11 September 2007

IPP bekal elektrik ke pusat pertukaran


TNB beli tenaga daripada pengeluar paling cekap


KUALA LUMPUR: Penjana kuasa bebas (IPP) berkemungkinan akhirnya akan membekalkan tenaga ke pusat pertukaran elektrik dan tidak secara langsung kepada Tenaga Nasional Bhd (TNB) sebaik perjanjian pembelian tenaga (PPA) ketika ini tamat, kata Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik.

“Bila saya cakap mengenai pusat pertukaran elektrik, jangan fikir ia esok, ia mengambil masa beberapa tahun tetapi ianya seiring dengan hasrat untuk menstruktur dan menyusun semula keseluruhan industri,” katanya selepas merasmikan Aspirasi 2007 Suruhanjaya Tenaga di sini semalam.

Dr Lim berkata, di bawah cadangan pusat pertukaran itu, TNB akan membeli elektrik daripada pengeluar kuasa yang paling cekap daripada segi kos.

“Idea mengadakan pusat pertukaran tercetus berikutan terlalu banyak aduan mengenai penswastaan penjanaan kuasa menerusi IPP,” katanya.

Dr Lim berkata, cadangan bagi pusat pertukaran itu terkandung dalam pelan rangka tindakan terperinci tenaga yang akan dimajukan Suruhanjaya Tenaga dan Institut Strategik dan Kajian Antarabangsa (ISIS).

“Dalam pelan tindakan terperinci itu, kita perlu memutuskan jenis bahan bakar yang akan digunakan, perancangan bagi penggunaan bahan bakar dan apa yang perlu dilakukan dengan IPP pada masa akan datang. Kelima-lima IPP generasi pertama hanya tinggal lapan tahun lagi (sebelum PPA luput),” katanya selepas memeterai perjanjian antara suruhanjaya itu dan ISIS di sini semalam.

Pada majlis sama, Lim turut menyaksikan majlis memeterai perjanjian Penyediaan Blueprint Tenaga antara Suruhanjaya Tenaga yang diwakili Pengerusi yang juga Ketua Eksekutifnya, Datuk Pian Sukro dengan Pengerusi dan Ketua Eksekutif ISIS, Datuk Seri Mohamed Jawhar Hassan.

Mengikut perjanjian itu, suruhanjaya dan ISIS akan berganding bahu meneliti pilihan pembangunan untuk industri bekalan elektrik dalam konteks ekonomi tenaga nasional, mengenal pasti isu strategik yang perlu ditangani bagi tenaga mampan pada masa depan dan cadangan langkah yang perlu diambil untuk memenuhi matlamat 2020 dan melangkauinya.

Dr Lim berkata, Blueprint itu akan menjadi sumber rujukan di semua peringkat industri dan mencorak hala tuju sektor tenaga, merancang penggunaan bahan api serta masa depan IPP pada masa depan.

Ditanya jika pusat pertukaran itu boleh dijangka dalam tempoh lapan tahun mulai sekarang apabila PPA dengan IPP generasi pertama tamat, beliau berkata: “Saya tidak tahu, kita akan lihat, pelan tindakan terperinci itu akan beritahu saya bagaimana (jadi petunjuk).”

Dr Lim bagaimanapun berkata, sebelum pusat pertukaran seumpama itu dapat diwujudkan, harga antara gas dan arang batu perlu ‘disamaratakan’.

“Pada masa ini, harga gas diberi subsidi sementara arang batu mengikut harga pasaran. Jadi kita perlu sama ratakan harga kedua-duanya sebelum kita boleh bandingkan dan TNB boleh pilih,” katanya. – Bernama