KUALA LUMPUR: Pada satu pagi yang hening, apabila terjaga daripada tidur, tiba-tiba anda tersedar bahawa anda tidak lagi perlu menjalani rutin harian ke pejabat. Anda fikir wang simpanan hari tua sudah mencukupi dan hidup menjadi lebih bahagia setelah bersara, tetapi anda salah!
Menurut seorang ahli psikologi, kebanyakan individu dalam golongan ini mengalami tekanan yang lebih teruk berbanding sewaktu dia masih bekerja, terutamanya disebabkan masalah keluarga dan faktor ekonomi.
Paul Jambunathan berkata, golongan kelas menengah dan berpendapatan rendah lebih mudah mengidap stres apabila memasuki usia emas kerana terlalu bimbang dengan masa depan mereka di kawasan bandar yang diasak kos sara hidup yang lebih tinggi berbanding di kawasan luar bandar.
"Warga emas yang tinggal di kawasan luar bandar juga biasanya lebih dekat dengan anggota keluarga mereka yang lain dan hubungan ini sangat penting bagi mengelakkan mereka berasa tersisih atau tidak berguna," katanya kepada mStar Online ketika ditemui di majlis amal anjuran Majlis Kebangsaan Persatuan-persatuan Warga Kanan (NACSCOM) minggu lalu.
Pensyarah kanan dalam bidang sains tingkah laku di Universiti Perubatan Malaysia itu berkata, masyarakat di kawasan kampung lebih menghargai warga tua kerana faktor budaya setempat, tetapi masyarakat di kawasan bandar kurang prihatin kepada golongan ini kerana sibuk dengan aktiviti harian masing-masing.
Paul, yang sering diundang oleh NACSCOM untuk menyampaikan ceramah kepada ahli-ahli persatuan berkata, keluhan paling lazim daripada mereka adalah berhubung pengabaian anak-anak.
Presiden NACSCOM, Lum Kin Tuck, 89, berpendapat warga tua memerlukan lebih banyak rumah penjagaan kerana masyarakat berpendapatan rendah dan sederhana sekarang tidak lagi mampu menjaga ibu bapa atau datuk.
"Harga barangan semakin meningkat sekarang dan tambahan pula mustahil untuk menjaga warga tua di rumah pangsa kos rendah tiga bilik," katanya.
Jelasnya lagi, warga emas tidak dapat bergantung selama-lamanya dengan simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja kerana wang berkenaan akan habis dibelanjakan dalam masa berapa tahun sahaja.
"Apabila wang KWSP habis mereka akan rasa tertekan kerana memikirkan bagaimana untuk meneruskan hidup sedangkan mereka tidak lagi mampu untuk bekerja bagi menampung kehidupan. Sebab itulah kerajaan perlu memperkenalkan insurans pencen."
Katanya, skim berkenaan boleh dicontohi daripada Jepun dan Singapura yang menawarkan lebih banyak kemudahan kepada warga emas berbanding insuran swasta yang hanya mampu dibeli golongan kelas menengah dan profesional.
Surat berita Senior Voice terbitan NACSCOM edisi Jun lalu melaporkan, warga tua yang berisiko tinggi biasanya pekerja pertanian dan sektor tidak formal kerana umur persaraan mereka tidak tetap.
Prof Mohd Fauzi Yaacob, penulis artikel itu 'Formal Old Age Financial Security Schemes in Malaysia', menyatakan terdapat kira-kira 30% lelaki dan 10% wanita berusia lebih 65 tahun masih bekerja di negara ini.
Artikel itu juga menyebut, dianggarkan kira-kira 10% daripada jumlah penduduk negara ini adalah warga emas berusia lebih 60 tahun pada tahun 2010.
Menurut Tabung Populasi Bangsa-bangsa Bersatu (UNFPA) pula, Malaysia dikategorikan sebagai "negara warga tua" apabila jumlah warga emas meningkat kepada 1.8 juta orang pada 2005.
Menurut penulis artikel itu, warga emas yang tinggal di kawasan bandar lebih berisiko kerana struktur dan budaya kekeluargaan seperti perbuatan membalas jasa ibu bapa telah banyak terhakis akibat proses pembandaran dan penghijrahan dari desa.
Lum menambah, warga tua perlu menyedari hakikat berkenaan dan tidak meletakkan harapan tinggi kepada anak-anak untuk menjaga mereka.
"Kita tidak boleh mengharapkan anak-anak kerana mereka ada masalah masing-masing. Warga tua mesti pandai menjaga diri sendiri," katanya.
Jelasnya, aspek kesihatan perlu diambil perhatian serius kerana warga tua secara umumnya lebih mudah mengidap penyakit kritikal seperti sakit jantung, kencing manis dan darah tinggi.
Menyampaikan ucapan di depan kira-kira 300 orang di majlis itu, Lum berkata warga tua perlu bergiat dalam aktiviti sosial untuk mengelakkan stres.
"Apabila kita tidak berbuat apa-apa, kita akan berfikir banyak. Keadaan ini tidak sihat kerana apabila kita sudah tua, kita sepatutnya perlu banyak berehat," katanya.
Beliau menyeru warga emas supaya mengikuti aktiviti yang dianjurkan NACSCOM seperti kelas komputer, kelas tarian dan aktiviti pelancongan.
"Dan janganlah banyak bertengkar, itu juga tidak sihat. Apabila kita bertengkar, fikiran kita akan berserabut dan ini akan menyebabkan stres," ujarnya.
mSTAR Online