Rabu, 12 September 2007

Persefahaman kunci kejayaan diraih


20 pemimpin capai persetujuan masalah perubahan iklim, integrasi ekonomi


G’DAY MATE! Itulah ungkapan yang kemungkinan besar diucapkan Perdana Menteri Australia, John Howard, kepada 20 pemimpin negara Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) lain ketika mengalu-alukan kedatangan mereka pada permulaan sidang kemuncak forum itu di Opera House, Sydney, Sabtu lalu.

Namun, bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, sapaan mengusik “Hello married man! How are you?” daripada Presiden Amerika Syarikat, George W Bush, menyambut kehadiran beliau. Beberapa pemimpin lain turut sama mengusik Abdullah pada kesempatan pertemuan mereka itu.

Itulah kemesraan di kalangan 21 pemimpin Apec pada sidang kemuncak kali ini. Kemesraan itu jugalah yang membolehkan mereka meluahkan pandangan masing-masing sehingga akhirnya mempersetujui agenda yang dirundingkan, walaupun perbincangan peringkat menteri ekonomi dan menteri luar dikatakan agak tegang.

“Mesyuarat ini berjaya, tidak banyak masalah untuk mencapai persetujuan untuk deklarasi sama ada mengenai perubahan iklim atau integrasi ekonomi Apec. Banyak persefahaman di antara kami semua untuk sampai ke tahap kerja sama seperti ini.

“Walaupun ada perbezaan pendapat ia tidaklah sampai ke tahap membantah sepenuhnya deklarasi dan kenyataan yang dikeluarkan,” kata Abdullah menyimpul hasil sidang kemuncak itu kelmarin (Ahad) yang turut diisytihar Howard sebagai ‘amat berjaya’, sekurang-kurangnya untuk agenda politik domestiknya.

Deklarasi Sydney Mengenai Perubahan Iklim, Keselamatan Tenaga dan Pembangunan Bersih yang dimeterai Sabtu lalu adalah bukti tolak ansur di kalangan pemimpin Apec selepas ‘perang mulut’ antara Australia dan negara yang mempertikaikan niat sebenar tuan rumah mewujudkan rangka kerja baru berhubung isu perubahan iklim.

Deklarasi itu memperakui komitmen terhadap Rangka Kerja Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) dan sokongan terhadap aturan mengenai perubahan iklim selepas Protokol Kyoto tamat 2012 seperti yang dikehendaki anggota Apec daripada kalangan negara membangun, termasuk Malaysia.

Pada masa sama, deklarasi itu juga memperakui matlamat aspirasi jangka panjang bagi mengurangkan pelepasan ‘gas rumah hijau’ selepas China, Malaysia dan Filipina menarik balik bantahan Jumaat lalu dan menggariskan agenda tindakan Apec bagi menangani masalah itu seperti yang dicadangkan Australia dan disokong Amerika – dua negara yang tidak menandatangani Protokol Kyoto.

Antara agenda tindakan yang dipersetujui dilaksanakan secara sukarela itu ialah mengurangkan penggunaan tenaga kepada sekurang-kurangnya 25 peratus menjelang 2030 dan memperluaskan liputan hutan di rantau itu kepada sekurang-kurangnya 20 juta hektar bagi semua jenis hutan menjelang 2020.

Seperti juga perkataan ‘sukarela’, frasa ‘semua jenis hutan’ ditambah pada dokumen asal itu hasil desakan beberapa negara seperti Malaysia yang mahukan perkataan ‘hutan’ bukan terhad kepada hutan tropika supaya semua negara dipertanggungjawab memulihara hutan masing-masing dan pematuhan rangka kerja itu tidak diwajibkan.

Perubahan itu membuktikan keupayaan Malaysia mempertahankan kepentingan negara dalam rundingan peringkat antarabangsa yang membabitkan kuasa besar dan ekonomi seperti Amerika, Russia, China, Jepun dan Australia, lebih-lebih lagi apabila negara tuan rumah mengambil kesempatan melobi beberapa anggota lain sebelum ketibaan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz untuk Mesyuarat Menteri Apec (AMM).

Selain persetujuan dalam isu perubahan iklim, pemimpin Apec juga sepakat untuk cuba memuktamadkan rundingan Pusingan Doha, Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), menjelang akhir tahun ini seperti yang amat diharapkan kalangan negara membangun.

Dalam kenyataan mengenai rundingan WTO yang dikeluarkan pada akhir sidang kemuncak itu kelmarin (Ahad), pemimpin Apec menggesa negara lain untuk bersama merealisasikan matlamat penting itu dan ‘mengikrarkan kesanggupan politik, fleksibiliti dan aspirasi bagi memastikan rundingan Pusingan Doha memasuki fasa terakhir tahun ini.’

Apec dengan nilai ekonomi anggota mencakupi hampir 50 peratus daripada perdagangan dunia tentunya mempunyai pengaruh untuk menjayakan rundingan Pusingan Doha yang masih gagal selepas enam tahun dimulakan di Qatar berikutan bantahan beberapa negara, terutama negara maju, dalam soal pengurangan tarif dan subsidi pertanian.

Namun, seperti yang ditegaskan Abdullah kepada pemimpin Apec lain, matlamat menjayakan rundingan itu menjelang akhir tahun ini tidak mungkin dapat direalisasikan jika negara maju tidak fleksibel atau sanggup bertolak ansur berhubung terma yang dicadangkan.

Dalam kenyataan bersama pada akhir sidang kemuncak itu pula, pemimpin Apec mengulangi komitmen terhadap usaha memperkukuh dan mengintegrasikan ekonomi serantau dengan melaksanakan tanggungjawab masing-masing untuk kemakmuran jangka panjang.

Mereka turut bersetuju mengkaji kaedah praktikal mewujudkan Kawasan Perdagangan Bebas Asia Pasifik (FTAAP) dan mewujudkan komuniti yang berdaya tahan serta bersedia menghadapi sebarang kecemasan atau bencana alam supaya matlamat mengurangkan kemiskinan dan meningkatkan tahap kehidupan warga Apec dapat terus dilaksanakan.

Tiga dokumen pernyataan yang dikeluarkan itu menunjukkan bahawa pemimpin Apec mahu forum itu menjadi pemain penting dan mampu mempengaruhi rundingan pada peringkat dunia. Walaupun keputusan yang dibuat tidak mengikat, sekurang-kurangnya negara Apec mempunyai matlamat sama untuk dicapai mengikut keupayaan masing-masing.

Apabila 21 pemimpin Apec bertemu sekali lagi di Lima, Peru, tahun depan, diharapkan kemesraan yang dipaparkan pada sidang kemuncak di Sydney dapat diterjemahkan kepada kerjasama lebih erat bagi merealisasikan matlamat yang dipersetujui supaya forum serantau itu tidak dilihat sekadar pentas retorik antarabangsa.

Apec juga perlu kembali memberi tumpuan kepada matlamat asal penubuhannya iaitu membangunkan ekonomi dan memakmurkan negara rantau ini. Seperti ikrar Presiden Peru, Alan Garcia, Sidang Kemuncak Apec tahun depan memang wajar menumpukan kepada usaha merapat jurang ekonomi di antara negara kaya dan miskin. ‘Bienvenidos’.

INFO

Negara Apec

> Amerika Syarikat.
> Australia.
> Brunei
> Chile
> China.
> Filipina.
> Hong Kong.
> Indonesia.
> Jepun.
> Kanada.
> Korea Selatan.
> Malaysia.
> Mexico.
> New Zealand.
> Papua New Guinea.
> Peru.
> Rusia.
> Singapura.
> Taiwan.
> Thailand dan
> Vietnam.

Daripada Wan Hazmir Bakar di Sydney, Australia

Berita Harian 11 September 2007