Oleh Hasliza Hassan bersama Ahli Jawatankuasa Kemajuan Keamanan Selatan Thailand, Brig Jeneral Surin Palarae
Jawatankuasa usaha pulih hubungan, kepercayaan rakyat di lima wilayah bergolak
KEHIDUPAN penduduk lima wilayah di Selatan Thailand yang rata-rata beragama Islam dikatakan agak tertekan berikutan pandangan negatif dan sikap diskriminasi pemerintah di Bangkok. Betulkah begitu.
Penduduk Islam di Satun, Songkhla, Pattani, Narathiwat dan Yala ialah kira-kira tiga juta. Beberapa tahun lalu mereka hidup dalam ketakutan berpunca daripada sejarah politik Thailand. Hidup mereka tidak bebas. Dulu hendak ke mana saja boleh, tetapi kebelakangan ini, takut kena tangkap. Mereka tidak berani keluar kerana takut bertembung pihak tentera, takut ditangkap atau dipukul tanpa sebab.
Untuk keluar bekerja juga mereka takut. Jika petang, jalan di kampung semua sunyi macam tidak ada orang. Rakyat takut dengan penguat kuasa, penguat kuasa curiga dengan rakyat. Ini yang menimbulkan konflik. Tambahan, rakyat di sana tidak mendapat pembelaan sewajarnya. Peluang menuntut ilmu tidak ditekankan menyebabkan ramai tidak berpendidikan. Malah, kerajaan tidak bersungguh-sungguh membangunkan kawasan yang penduduknya beragama Islam. Kebanyakan mereka bekerja kampung seperti menoreh atau bertani.
Jika kerajaan dulu, apabila ada wakil rakyat terutama orang Islam yang tampil ingin membantu, mereka akan ditukar ke kawasan lain yang majoriti penduduk bukan Islam. Banyak pegawai daerah beragama Islam ditukar.
Kebanyakan mereka tidak berpendidikan, bagaimana hendak mendapat kerja di agensi kerajaan. Disebabkan itu juga, ramai orang kampung pergi ke negara lain, khususnya Malaysia. Lagipun dari segi agama, budaya, bahasa serta cara hidup, tidak jauh bezanya.
Jadi, dengan penubuhan Jawatankuasa Kemajuan Keamanan Selatan Thailand setahun lalu, adakah kehidupan penduduk di wilayah itu lebih tenang, ceria dan tidak takut lagi keluar mencari rezeki. Apakah fungsi jawatankuasa itu.
Jawatankuasa Kemajuan Keamanan Selatan ditubuhkan kerajaan selepas rampasan kuasa di Thailand pada 19 September 2006, apabila Tentera Diraja Thailand membuat satu rampasan kuasa terhadap kerajaan Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra.
Jawatankuasa ini dipengerusikan Bekas Menteri Luar Thailand, Dr Surin Pitsuwan. Jawatankuasa ini dianggotai 30 ahli terdiri daripada wakil rakyat dan kakitangan kerajaan. Fungsi jawatankuasa ini ialah sebagai orang tengah atau penghubung antara rakyat dan Kerajaan Thailand terutama rakyat daripada lima wilayah iaitu Satun, Songkhla, Pattani, Narathiwat dan Yala yang majoritinya masyarakat Islam.
Jika ada tindakan kerajaan yang tidak betul atau tidak disukai rakyat, jawatankuasa akan memberitahu atau menyalurkan maklumat itu kepada kerajaan. Begitu juga jika jawatankuasa sendiri melihat apa yang dilakukan itu tidak wajar, kita akan menegur kerajaan dengan alasan kukuh. Jawatankuasa ini ibarat wakil rakyat yang bukan saja berkhidmat untuk rakyat tetapi juga kerajaan.
Bagaimana penerimaan rakyat di Selatan Thai terhadap penubuhan jawatankuasa ini.
Peristiwa di Masjid Krisek di wilayah Pattani hingga menyebabkan lebih 100 terbunuh termasuk 32 orang dalam masjid meninggalkan kesan mendalam terhadap masyarakat Islam. Begitu juga kejadian di Tak Bai, Narathiwat apabila ramai terbunuh akibat disumbat dalam trak tentera hingga menimbulkan rasa marah di kalangan penduduk.
Disebabkan itu juga, rakyat hilang kepercayaan kepada kerajaan. Namun, keadaan nampak berubah sedikit kerana kerajaan hari ini menggunakan pendekatan lebih lembut. Apabila kerajaan mengambil keputusan menubuhkan Jawatankuasa Kemajuan Keamanan Selatan dengan harapan dapat mengembalikan kepercayaan rakyat, kita berharap ia akan dapat diterima. Mereka menerima ahli jawatankuasa, tetapi rasa takut dan tidak percaya masih ada.
Kita tidak boleh salahkan rakyat kerana mereka masih dihantui peristiwa menakutkan. Bagaimanapun, jawatankuasa secara perlahan-lahan cuba mendapatkan kepercayaan rakyat dengan memastikan apa juga aduan mereka, sampai kepada kerajaan. Kita yakin rakyat akan memberi kerjasama kepada jawatankuasa.
Berapa banyak aduan diterima pihak jawatankuasa mengenai kes tangkapan rakyat Thailand dan apa tindakan yang diambil.
Memang ada kes tangkapan dikemukakan kepada jawatankuasa. Bagi kes yang diadukan kepada kami, kes itu dirujuk kepada kerajaan. Kami menghormati undang-undang, tetapi tidak dinafikan ada sesetengah yang ditangkap ditahan agak lama. Kita tidak boleh buat apa-apa kerana bagi yang ditangkap, mereka hanya akan dihantar balik apabila jumlah yang hendak dihantar balik itu mencukupi.
Jika ditangkap, mereka akan ditahan agak lama. Oleh itu, untuk lepaskan mereka memerlukan masa dan ini menyusahkan keluarga di kampung. Masalahnya, jika mereka tidak merantau ke Malaysia untuk bekerja mencari rezeki, mereka hidup susah di kampung kerana tidak ada kerja. Hendak keluar takut dan macam-macam masalah lain.
Selain aspek keselamatan dan hubungan antara kerajaan dengan rakyat, apa lagi perkara yang diberi perhatian jawatankuasa.
Kita bersyukur dan berbangga kerana sejak ditubuhkan September tahun lalu, banyak usaha berjaya mencapai matlamat. Antaranya, Jawatankuasa Kemajuan Keamanan Selatan berjaya mendapatkan 3,000 tempat untuk pelajar daripada lima wilayah itu mengikuti kursus kejururawatan dan kini sudah sebulan mereka menjalani latihan di 29 pusat latihan jururawat di Thailand.
Jawatankuasa turut memperjuangkan kebajikan guru tadika agama. Jika dulu hanya guru tadika agama di Yala, Patani dan Narathiwat yang mendapat elaun bulanan sebanyak RM200, kini mereka di Satun dan Songkhla juga menerima elaun sama. Mereka mula mendapat elaun itu bulan lalu. Maknanya, sekarang ini guru di semua wilayah mendapat elaun bulanan mereka. Banyak lagi yang ingin kita capai seperti mengurangkan kadar buta huruf dan membangunkan kawasan kampung supaya mempunyai infrastruktur asas yang sepatutnya ada.
Kita mahu pastikan penduduk mendapat peluang pendidikan kerana hanya menerusi pendidikan kita dapat memajukan mereka. Harapan kami supaya usaha jawatankuasa itu akan mendapat sokongan kerajaan, rakyat dan pihak lain yang bersedia membantu. Kami mahu lihat rakyat Thailand terutama masyarakat Islam di lima wilayah itu dapat menikmati kemajuan dan tidak lagi hidup dalam tekanan dan ketakutan.
Apa yang dilakukan jawatankuasa berkenaan untuk membantu rakyat Thailand yang bekerja di Malaysia.
Masalah yang dihadapi rakyat Thailand di Malaysia ialah mendapatkan permit kerja kerana mereka tidak mampu membuat permit disebabkan kos yang tinggi selain masalah proses permohonan membabitkan banyak borang. Bagi mendapatkan permit kerja setahun, mereka perlu membayar kira-kira RM1,200 hingga RM1,300.
Kebanyakan mereka tidak mampu. Oleh itu jika dapat dikurangkan, ini akan meringankan beban mereka. Justeru, Jawatankuasa Kemajuan Keamanan Selatan menghantar surat kepada Kerajaan Thailand pada Ogos lalu, memberitahu masalah yang dihadapi rakyat Thailand di Malaysia dan meminta dirundingkan perkara ini dengan pihak Kerajaan Malaysia.
Kita meminta supaya Kerajaan Malaysia melonggarkan proses permohonan permit kerja serta mengurangkan bayaran yang dikenakan. Sekarang, kami masih menanti maklum balas daripada Kerajaan Thailand sama ada perkara itu sudah dikemukakan kepada Kerajaan Malaysia. Kita percaya jika dapat dikurangkan bayaran membuat permit kerja kepada RM500 setahun, ramai akan memohon kerana mereka ingin masuk ke Malaysia dan bekerja dengan aman. Mereka datang bukan untuk buat khianat, tetapi sekadar mencari rezeki seperti bekerja di restoran masakan tom yam atau menjual barang runcit.
Berita Harian 11 September 2007