DALAM konteks sesebuah negara, kemerdekaan adalah lambang atau simbol kedaulatan negara untuk mengurus dan mentadbir negara secara bebas tanpa telunjuk daripada anasir luar.
Kebebasan dan keamanan dikecapi hasil kemerdekaan adalah satu nikmat atau anugerah yang cukup tinggi nilainya. Negara kita, sudah melepasi lima dekad kemerdekaannya selepas dijajah bangsa lain yang silih berganti.
Dalam mengisi kemerdekaan untuk tempoh itu, kepemimpinan negara merangka dan merencanakan pelbagai pelan serta wawasan untuk memajukan negara setanding negara maju pada peringkat global. Sudah menjadi lumrah setiap pemimpin bercita-cita untuk membangunkan rakyat dalam era pasca merdeka ini sebagai modal yang berkualiti bukan hanya dari segi intelek, malah moral dan kesusilaan.
Lantas, ketika pembentangan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) di Parlimen tidak lama dulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ada menyatakan bahawa rakyat adalah aset negara paling berharga.
Ditekankan juga mengenai usaha melangkah ke era ekonomi yang berpaksikan pengetahuan serta menuju ke tahap negara maju. Apa yang menjadi cabaran terbesar hari ini ialah dari segi pembangunan modal insan dan anjakan paradigma serta pemikiran rakyat.
“Dalam konteks dunia global, modal insan bermutu tinggi adalah satu keperluan, bukan lagi satu kemewahan. Usaha membangunkan modal insan berkualiti akan digiatkan,” kata Abdullah ketika membentangkan pelan itu.
Pendekatan pembangunan modal insan ini dilihat sebagai satu cara terbaik yang difokuskan kepada pembangunan ilmu pengetahuan, kemahiran, modal intelektual yang merangkumi bidang sains, teknologi, keusahawanan, pembudayaan sikap progresif serta nilai dan moral yang baik.
Inilah yang diuar-uarkan sebagai model asas modal insan berminda kelas pertama. Inilah yang sepatutnya ada dan perlu diterapkan dalam diri rakyat Malaysia pasca merdeka ini.
Merdeka yang bukan saja pada erti kata bebas daripada penjajahan kuasa asing, malah perlu membabitkan pembebasan pada hawa nafsu, pembebasan daripada sikap dan pemikiran yang mundur dan terkebelakang, merdeka daripada sifat tidak baik. Segala-galanya berbentuk pembebasan yang lebih luhur dan murni. Maka amat sesuai menghubung kait pembangunan modal insan dengan konsep kemerdekaan.
Jika diteliti tiga strategi utama untuk melahirkan modal insan kelas pertama yang akan dilaksanakan kerajaan, memang sangat bertepatan dalam usaha memerdekakan rakyat Malaysia daripada pengaruh penjajah, malah cuba merungkai belenggu pemikiran yang dilihat menyempitkan minda rakyat berfikir secara kritis serta kebolehan melaksanakan perancangan ke peringkat global.
Merujuk kepada strategi pertama iaitu meningkatkan keupayaan dan penguasaan ilmu pengetahuan iaitu aset terbaik untuk memajukan diri seterusnya membangunkan masyarakat dan menjana kemajuan negara.
Golongan orang yang berakal ini mempunyai peranan sangat penting dalam mana-mana lipatan sejarah tamadun manusia, seterusnya memberikan sumbangan besar kepada proses peradaban bangsa berkenaan.
Justeru, ilmu pengetahuan jika dilaksanakan mengikut sistem nilai yang baik akan dapat menghasilkan impak besar ke arah pembangunan negara.
Ilmu pengetahuan dapat membina sebuah peradaban yang hebat dan masyhur. Kebolehan mengurus, mereka, merancang dan melaksana jika diadun dengan baik boleh membangunkan sesebuah negara.
Sejarah lampau membuktikan bahawa dengan ilmu pengetahuan yang kreatif dan inovatif, bangsa yang lemah dapat menguasai dunia pada hari ini. Penjanaan ilmu bagi rakyat Malaysia kini masih lagi pada peringkat yang tidak membanggakan.
Diharap dengan penjanaan pembangunan modal insan ini dapat memperbanyakkan lagi cendekiawan alaf baru seperti yang wujud pada zaman keagungan Islam lampau.
Kedua, memperkukuhkan keupayaan sains, pembangunan dan penyelidikan (R&D) dan inovasi. Di dalam era teknologi yang sentiasa meningkat serta berubah dari semasa ke semasa ini juga perlu dikuasai rakyat Malaysia yang berjiwa merdeka ini.
Untuk bersaing dengan negara maju perlulah lebih banyak usaha dalam bidang sains dan penyelidikan dilaksanakan. Latihan, kemahiran dan pengalaman adalah alat terbaik untuk merintis ke arah pembangunan sains dan teknologi.
Kita tidak harus terpengaruh dan larut dengan dakyah bangsa lain yang cuba merendah-rendahkan kebolehan bangsa kita. Kita pernah diejek bagaimana kita ingin sedangkan untuk membuat jarum pun kita tidak mampu.
Inilah cabaran yang boleh disahut untuk membuktikan bahawa rakyat Malaysia juga mampu menghasilkan produk bertaraf dunia dan berteknologi tinggi. Mungkin ada juga hasil inovasi barang tempatan yang diiktiraf pada peringkat antarabangsa.
Tetapi perlu ada lebih banyak lagi usaha giat untuk melebarkan lagi jaring penguasaan produk tempatan yang mampu bersaing dan dikagumi pada peringkat antarabangsa.
Ketiga, memupuk masyarakat berbudaya dan memiliki kekuatan moral. Dalam melahirkan masyarakat yang maju perlu juga seimbang antara IQ dan juga EQ. Kematangan atau kebolehan dalam intelektual saja tanpa moral yang baik tidak banyak memberi kesan kepada pembangunan diri dan masyarakat.
Apalah gunanya jika negara kita dikelaskan sebagai negara maju, tetapi dalam masa sama, negara kita juga juara dalam masalah gejala jenayah, sosial atau rasuah.
Kebobrokan masyarakat Barat membuktikan bahawa dengan intelektualisme semata-mata tidak akan dapat melahirkan pembangunan modal insan yang baik. Kecelaruan yang wujud akibat daripada pergaulan bebas, masalah perkauman dan perbezaan darjat mendatangkan lebih banyak masalah, walaupun berlatarbelakangkan pendidikan tinggi.
Dalam usaha memerdekakan rakyat secara holistik ini, setiap individu dalam masyarakat harus memainkan peranan secara berpasukan dalam menjayakan usaha dan hasrat menjana pembangunan modal insan ini.
INTI PATI
Usaha menjana modal insan
> Pendekatan pembangunan modal insan ini dilihat satu cara terbaik yang difokuskan kepada pembangunan ilmu pengetahuan, kemahiran, modal intelektual yang merangkumi bidang sains, teknologi, keusahawanan, pembudayaan sikap progresif serta nilai dan moral yang baik.
> Tiga strategi utama untuk melahirkan modal insan kelas pertama sangat bertepatan dalam usaha memerdekakan rakyat Malaysia daripada pengaruh penjajah.
> Penjanaan pembangunan modal insan ini dapat memperbanyakkan lagi cendekiawan alaf baru.
> Perlu ada lebih banyak lagi usaha melebarkan jaring penguasaan produk tempatan yang mampu bersaing pada peringkat antarabangsa.
> Setiap individu harus memainkan peranan secara berpasukan dalam menjayakan usaha dan hasrat menjana pembangunan modal insan.
Oleh Noor Fiteri Abdullah
Penulis adalah tenaga pengajar di Politeknik Kota Kinabalu, Sabah
Berita Harian 11 September 2007