Selasa, 11 September 2007

Kaedah 2S bantu ibu lebih terurus selepas cuti bersalin


LANGKAH kerajaan melanjutkan cuti menjaga anak tanpa gaji untuk kakitangan wanita sektor awam daripada 90 hari kepada maksimum lima tahun, berkuatkuasa serta-merta adalah satu penghargaan dan keprihatinan terhadap wanita khususnya ibu bahawa penting anak dijaga sejak dilahirkan.

Dalam usaha kerajaan menggalakkan pembentukan nilai murni keluarga yang akan memberi implikasi positif kepada pembentukan insan yang cemerlang untuk menjana kejayaan gemilang negara yang tercinta, sudah tentunya asas pembentukan insan cemerlang itu bermula daripada rumah tangga yang ceria, bahagia dan berjaya.

Asas kepada rumah tangga bahagia adalah terletak kepada kedua-dua ibu bapa yang menjalankan peranannya dengan cukup efesien dan efektif. Bapa sebagai pemimpin keluarga dan ibu sebagai penyeri rumah tangga. Perlanjutan cuti tanpa gaji itu memberi impak yang besar dalam institusi kekeluargaan kerana sebab berikut:

Penjagaan diri selepas bersalin iaitu daripada pelbagai aspek fizikal, mental dan spiritual perlu diberi perhatian serius oleh suami dan isteri. Bersalin adalah satu proses yang amat menyakitkan dan memerlukan proses pemulihan yang spesifik iaitu rawatan dalaman untuk pemulihan fizikal dan rawatan mental dan spiritual yang ada kalanya memakan masa untuk dipulihkan, terutama bagi wanita yang mengalami kompilasi ketika bersalin dan mengalami trauma dan ‘kesakitan minda’ hingga boleh mengganggu kelancaran pengurusan rumah tangga dan anak.

Dalam masa pemulihan itu, ada wanita keluar bekerja dengan pelbagai tekanan yang dihadapi di jalan raya dan dibawa tekanan itu di tempat kerja dan akhirnya semua tekanan itu terkumpul dan dibawa balik ke rumah yang akhirnya mencetuskan gangguan minda kepada wanita berkenaan.

Masalah pembantu rumah juga menjadi persoalan utama ibu bapa yang bekerja dengan pelbagai kerenah perangai pembantu rumah yang kita dengar daripada laporan akhbar menjadikan ibu tidak tenteram untuk meninggalkan anak di tangan pembantu rumah. Ada anak dilarikan, diculik dan dibunuh dan pelbagai lagi jenayah yang dilakukan pembantu rumah yang tidak bertanggungjawab.

Di nurseri pula keadaannya hampir sama dengan bilangan anak jagaan yang ramai, keprihatinan dalam penjagaan anak tidak terurus, ada anak yang dapat sakit berjangkit, keadaan nurseri kotor, sikap sebilangan penjaga nurseri yang tidak bertanggungjawab dan sebagainya perlu difikirkan dengan serius oleh ibu bapa dalam proses membesarkan anak, terutama bayi yang sangat perlukan perhatian ibu bapa dan khususnya ibu yang perlu membelai, menyusukan dan merawat sakit pening bayi mereka.

Dengan adanya cuti tanpa gaji ini memberi peluang kepada ibu memberikan perhatian sepenuhnya kepada bayi mereka untuk membesar. Wanita yang bercuti tanpa gaji juga boleh memanfaatkan masa dengan menjalankan tugas suri rumah dengan efisien kerana tugas suri rumah memang tidak pernah surut dari pagi hinggalah ke malam.

Jika pekerjaan di rumah dijalankan dengan efisien, maka dapatlah ibu yang bercuti merancang pengurusan masa dan pengurusan rumah tangga dengan spesifik dan efisien dan boleh memudahkan tugasan apabila kembali bekerja.

Gunakan kaedah 2S iaitu sistem dan strategi dalam menguruskan rumah tangga dengan efisien, iaitu:

> Sistem – aturkan sistem rumah tangga dengan bersistematik seperti sistem penyimpanan barang anak di susun mengikut kategori dan disusun atur dengan kemas mengikut keperluan.

Ajarlah anak mengenai sistem susunan itu supaya mereka yang sedang membesar secara tidak langsung membantu mengemas dan menyusun permainan dan sebagainya. Manakala, bagi barang bayi yang baru lahir pula adakan sistem penyimpanan pakaian, susu, alatan dan ubatan bayi di tempat sesuai dengan nombor kod dan sebagainya.

Pada masa inilah ibu yang mengambil cuti tanpa gaji dapat menyusun atur kembali pengurusan rumah tangga dengan sistem pengurusan yang cekap dan bersih agar dapat mendisiplinkan diri anak, suami dan pembantu ketika mereka kembali bekerja.

> Strategi – ibu yang mahukan kecemerlangan dalam mengurus keluarga dan anak perlu ada strategi bagi menjayakan sistem pengurusan rumah tangga yang hendak dijayakan. Contohnya strategi pembersihan boleh dilakukan bersama keluarga dengan membersihkan barang yang tidak terpakai untuk dibuang dan gunakan ruangan yang ada untuk membentuk perpustakaan mini di rumah dan penuhi dengan buku bacaan bagi sumber pembacaan anak.

Pelbagai strategi boleh dilakukan untuk mengurus atur rumah tangga agar lebih ceria dan membahagiakan. Ingatlah anak yang sihat dan ceria dibentuk ibu bapa berkualiti. Kualiti ibu terletak kepada sikap keibuan yang menjaga dan memelihara rumah tangga, anak dan suami dengan penuh kasih sayang, jujur dan ikhlas.

Oleh Dr Rusinah Siron

(Pensyarah utama Kolej Pengurusan Bisnes dan Perakaunan Uniten)

Berita Harian 11 September 2007