Beberapa tokoh kanan wanita dalam kerajaan, menteri sokong
LONDON: Menteri Britain menimbang cadangan menghukum lelaki yang melanggan pelacur dalam usaha terbaru mengekang gejala itu dari terus meningkat, lapor akhbar The Guardian.
Anggota kanan kerajaan membincangkan sama ada untuk menjadikan golongan pembeli sebagai penjenayah, bukan penjual seks – seperti dilakukan Sweden lapan tahun lalu, berikutan pertambahan kes penyeludupan wanita untuk melacur.
Mengikut perangkaan kerajaan, 85 peratus wanita yang terbabit dalam pelacuran adalah warga negara asing.
Lelaki disabitkan bersalah menyeludup wanita ke Britain tetapi tiada seorang pun pernah dihukum kerana melanggan wanita atau gadis yang dipaksa melacur.
Seorang menteri menyedari tindakan itu adalah ‘langkah agak dramatik, tetapi menambah:
“Tidak ragu-ragu lagi apa yang diperkatakan. Ada kesedaran di kalangan menteri kanan, terutama wanita, bahawa permintaan untuk pelacuran di kawasan yang perlu ditangani secara serius sebaliknya tiada tindakan diambil.”
Beberapa tokoh kanan wanita dalam kerajaan, termasuk Setiausaha Dalam Negeri, Jacqui Smith; Peguam Negara, Patricia Scotland; Pendakwa Negara, Vera Baird dan ketua dewan, Harriet Harman, menyokong cadangan itu.
Cadangan lain yang dipertimbangkan termasuk program skala besar untuk menamakan dan memalukan lelaki yang ditangkap melanggan pelacur jalanan tetapi aktivis percaya cuma dengan cara menjadikan pelanggan sebagai penjenayah dapat membantu wanita di rumah pelacuran selain pelacur jalanan dan menunjukkan isyarat bahawa membayar untuk mendapatkan perkhidmatan seks tidak boleh diterima.
Bekas Menteri Dalam Negeri yang bertanggungjawab menangani gejala pelacuran, Fiona Mactaggart, berkata:
“Rangka kehakiman jenayah yang baru diperoleh turut membabitkan perubahan dalam strategi pelacuran. Ada kemungkinan dimasukkan beberapa pindaan yang menyentuh isu lelaki membayar untuk mendapatkan khidmat seks.” – Agensi
FAKTA NOMBOR
Usaha banteras pelacuran
80,000 - Pelacur di Britain
1,000 - Kes wanita dipaksa melacur setahun