SYARAT mewajibkan pemandu kenderaan perdagangan menjalani ujian kesihatan sebelum dibenarkan memohon atau memperbaharui lesen memandu antara langkah terbaru kerajaan bagi memastikan pemandu bas dan lori mempunyai tahap kesihatan yang baik dan bebas daripada pengaruh dadah atau alkohol. Langkah itu, yang dikuatkuasakan pada 1 Oktober ini bagi memastikan pemandu sentiasa bersiap sedia dengan harapan dapat mengurangkan kemalangan membabitkan bas ekspres seperti kejadian paling ngeri di di Bukit Gantang, Perak bulan lalu yang menyebabkan 22 terkorban. Menerusi sistem terbaru yang dinamakan eKesihatan itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mensyaratkan pemandu kenderaan perdagangan menjalani pemeriksaan kesihatan serta ujian air kencing ketika memohon atau memperbaharui Lesen Memandu Perkhidmatan Kenderaan Awam (PSV) dan Lesen Memandu Kenderaan Barang (GDL). Aplikasi itu membabitkan sistem pemeriksaan kesihatan dan ujian makmal komprehensif dilakukan secara elektronik menerusi rangkaian panel klinik dan makmal yang dilantik. Apabila dikuatkuasakan, sejumlah 611 klinik panel yang diperakui JPJ akan ditugaskan melakukan ujian berkenaan. Pemohon hanya perlu mendaftar di Pejabat Pos dan membayar RM80 sebelum membuat pemeriksaan di klinik panel. Dengan pelaksanaan eKesihatan itu, sistem menggunakan borang seperti dilakukan sekarang dimansuhkan kerana ia mempunyai banyak kelemahan serta mudah dipalsukan.
Kita yakin sistem eKesihatan yang akan diperkenalkan JPJ itu mempunyai tujuan dan niat baik ke arah mewujudkan budaya baru dalam pemilihan pemandu kenderaan awam yang sihat dan bertanggungjawab. Ia juga bertujuan meningkatkan integriti dan prosedur pemeriksaan kesihatan ke atas pemegang atau pemohon baru lesen PSV dan GDL seperti yang ditegaskan Timbalan Ketua Pengarah JPJ, Solah Mat Hassan, kelmarin. Pemeriksaan rambang yang dilakukan selepas kemalangan bas ekspres di Bukit Gantang dan kemalangan lain yang menyusuli selepas itu mendapati sebilangan pemandu menunjukkan kesan positif dadah. Ini bermakna nyawa kira-kira 40 penumpang bas berada pada tangan pemandu yang menjadi penagih kepada dadah tertentu dan ini tentunya satu risiko besar kepada nyawa manusia. Menerusi eKesihatan, pemandu kenderaan awam ini juga akan dipastikan bebas daripada pelbagai penyakit seperti penyakit jantung dan gangguan mental. Selain menjamin keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya yang lain, langkah ini sebahagian usaha meningkatkan integriti sistem pengangkutan awam seperti yang sudah lama wujud di negara maju. Adalah tidak wajar kita membenarkan syarikat pengangkutan awam seperti bas dan syarikat pengangkutan barang seperti lori dan van menggunakan khidmat orang yang tidak layak berada di jalan raya sebagai pemandu.
Apapun, pelaksanaan sistem eKesihatan memerlukan kerjasama erat semua pihak termasuk syarikat pengangkutan awam dan barang, panel klinik, orang awam dan pemandu sendiri. Kita sedar dunia teknologi maklumat (IT) juga boleh diceroboh pihak tertentu yang mempunyai kemahiran, namun apa yang penting kita memahami tujuan utama pelaksanaannya adalah untuk keselamatan pengguna jalan raya dan penumpang bas. Kita berharap doktor yang dilantik memberi pengesahan juga jujur dan tidak sekadar menurunkan tandatangan tanpa terlebih dulu melihat hasil ujian makmal dan pemeriksaan yang dilakukan. Cuma kita bimbang sistem baru itu membuka ruang kepada pihak tertentu mengambil kesempatan mengaut keuntungan keterlaluan. Kadar yang ditetapkan itu agak mahal dan ia sebenarnya lebih murah jika dilaksanakan tanpa menggunakan syarikat yang dilantik untuk tujuan itu.
Berita Harian 12 September 2007