Isnin, 3 September 2007

Menjelang Bajet 2008: Insentif cukai, takaful agenda utama



Kerajaan dijangka kurangkan cukai pendapatan peribadi, kadar sekarang tinggi





KETIKA rakyat masih dalam suasana kemeriahan sambutan Hari Kemerdekaan negara yang ke-50, mereka kini menunggu dengan penuh minat pengumuman Bajet 2008 yang akan dibentangkan Jumaat ini.

Apakah kemeriahan dan keseronokan meraikan hari merdeka itu akan berlanjutan dengan berita gembira dalam tempoh empat hari lagi?

Sebut pasal bajet, sudah pasti cukai akan menjadi tumpuan utama. Masing-masing, sama ada individu atau korporat berdebar-debar untuk melihat sama ada banyak berita gembira akan diumumkan.

Sudah pasti potongan cukai menarik perhatian segenap lapisan masyarakat. Penurunan kadar cukai boleh memberi kesan kepada penjanaan lebih banyak kegiatan ekonomi dan secara tidak langsung mendorong peningkatan pungutan pada masa depan.

Selain itu, penurunan kadar cukai pendapatan boleh menjadi faktor penting untuk menarik lebih banyak pelaburan asing, sekali gus memberi kesan berganda kepada ekonomi kerana rakyat akan memiliki lebih banyak wang untuk dibelanjakan bagi menjana ekonomi.

Walaupun kerajaan perlu meningkatkan daya saing negara, peranan perkongsian ekonomi yang lebih adil tidak boleh diabaikan.

Ramai juga yang menjangkakan kerajaan memberi banyak insentif bagi mengambil hati rakyat dalam pengumuman bajet kali ini menjelang pilihan raya umum tidak lama lagi, walaupun perkara ini dilihat sebagai sesuatu yang lazim setiap kali menjelang pengumuman bajet.

Perunding Pengurusan PricewaterhouseCoopers Taxation Services Sdn Bhd (PwC), Azura Othman, menjangkakan kerajaan akan memberi banyak insentif cukai bagi mendorong pertumbuhan daya saing negara berbanding negara lain di rantau ini.

“Walaupun kerajaan sudah mengumumkan cukai korporat turun kepada 26 peratus tahun depan, saya yakin kadar berkenaan akan diturunkan lagi.

“Kadar cukai semasa adalah jauh lebih tinggi berbanding kadar cukai dikenakan negara jiran seperti Singapura dan Hong Kong iaitu antara 17 hingga 18 peratus,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Singapura mengenakan cukai korporat pada kadar 20 peratus, Taiwan sebanyak 25 peratus, manakala Hong Kong pula 17.5 peratus. Sebelum ini, cukai korporat Malaysia tidak berubah sejak 1998.

Selain itu, katanya, jika tahun lalu kerajaan memberi banyak insentif untuk menggalakkan pertumbuhan sektor kewangan dan perbankan Islam negara ini, tetapi beliau yakin tahun ini kerajaan akan memberi perhatian bagi mendorong kemajuan industri takaful.

Katanya, ketika ini struktur cukai bagi syarikat terbabit, mengguna pakai struktur yang sama dengan sistem konvensional, sedangkan struktur perniagaan takaful banyak perbezaan dengan konvensional.

“Peranan sektor kewangan dan insurans takaful lebih menjurus sebagai pengurus pelaburan dan setiap hasil daripada keuntungan yang dijana akan dipulangkan kepada pelanggan. Sebaliknya dalam sistem insurans konvensional, pulangan tidak perlu dikembalikan kepada pelanggan dan diserap oleh syarikat.

“Di sini wujud keadaan tidak seimbang yang mungkin akan diberi perhatian oleh kerajaan dalam pengumuman bajet kali ini dengan menyediakan garis panduan baru yang lebih tepat,” katanya.

Sementara itu, beliau berharap kerajaan akan meninjau semula beberapa peruntukan ditawarkan kepada korporat seperti memberi kelonggaran untuk mendapatkan potongan cukai bagi menjalankan perniagaan.

Sebagai contoh, katanya, ketika ini pelepasan cukai hanya diberikan bagi perbelanjaan perniagaan, yang menepati garis panduan peruntukan Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu perbelanjaan yang menghasilkan pendapatan bagi syarikat, justeru perbelanjaan tidak langsung yang juga dibuat bagi tujuan perniagaan tidak mendapat potongan cukai.

“Jika boleh, kerajaan beri kelonggaran dengan menukar akta berkenaan adalah lebih baik supaya perbelanjaan tidak langsung yang digunakan untuk mengendalikan perniagaan juga akan mendapat manfaat sama,” kata Azura.
Beliau juga berharap tahun ini beberapa insentif akan diumumkan yang akan memberi manfaat kepada seluruh rantaian nilai sesebuah industri.

Sebagai contoh, beliau berkata, penjualan produk dihasilkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) patut diberikan rebat, sekali gus dapat memajukan sektor berkenaan.

Bagi sektor pembuatan pula, beliau berkata, walaupun kerajaan sudah memberikan potongan cukai dua kali bagi aktiviti pemasaran sektor pembuatan, peruntukan itu bagaimanapun terhad dan tidak membabitkan semua perkara yang membabitkan perbelanjaan pemasaran.

Satu lagi bidang yang perlu diberi perhatian dalam Bajet 2008 adalah insentif kepada dividen dana amanah pelaburan hartanah (Reit), kerana insentif ditawarkan ketika ini tidak mendorong daya saing sektor berkenaan, berbanding negara jiran.

Selain itu, katanya ada ketika insentif yang ditawarkan kerajaan amat menarik, tetapi untuk mendapatkan manfaatnya perlu melalui proses dan prosedur birokrasi yang ketat dan tidak diselaras dengan baik.

“Adalah lebih baik jika disediakan sebuah pusat sehenti yang mungkin dapat mempermudahkan banyak pihak dan ia akan mewujudkan suasana perniagaan yang lebih mesra,” katanya.

Mengenai cukai individu pula, Azura yakin kerajaan akan meninjau kemungkinan mengurangkan cukai pendapatan peribadi memandangkan kadar cukai yang dikenakan ketika ini iaitu 28 peratus bagi lingkungan pendapat melebihi RM250,000, masih tinggi.

Mengenai cukai perkhidmatan dan barangan (GST), beliau berkata, sukar untuk meramalkan perkara ini, kerana jika kerajaan melaksanakan struktur cukai berkenaan, sudah pasti ia tidak menggembirakan banyak pihak.

Pelaksanaan GST, katanya, juga harus diikuti dengan penurunan cukai pendapatan peribadi, bagi mengurangkan beban rakyat, lebih-lebih lagi dalam persekitaran semasa yang mana kos barang dan perkhidmatan semakin meningkat.

Beliau juga berharap, kerajaan akan meluaskan manfaat penerima pelepasan bagi kadar cukai dikenakan kepada pembeli rumah melebihi RM180,000 yang ditetapkan ketika ini, manakala duti setem dikurangkan atau dihapuskan terus, selari dengan pendekatan di negara maju.

Pelaksanaan pendekatan itu, kata beliau sekurang-kurangnya boleh membantu mengurangkan bilangan hartanah tidak terjual, kerana bilangannya agak tinggi ketika ini.

Azura juga berharap insentif cukai akan diberikan kepada golongan wanita yang bekerja, seperti membolehkan kakitangan wanita bekerja dari rumah dengan memberi insentif dalam bentuk kemudahan bekerja seperti komputer atau majikan yang membenarkan kakitangan bekerja dari rumah diberikan ganjaran insentif potongan cukai.


Oleh Zainab Mohd Yatim

Berita Harian
4 September 2007