SEPERTI wujud pakatan bersama oleh sebahagian besar golongan pemborong dan peruncit menaikkan harga barangan makanan dan keperluan apabila menjelang musim perayaan bagi umat Islam di negara ini.
Amat ‘melucukan’ ketika Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu mengumumkan tarikh bermulanya ibadat puasa ketika itulah juga pihak pemborong dan peniaga menyuarakan hasrat untuk menaikkan harga makanan pada hari pertama umat Islam berpuasa.
Keputusan lebih 1,000 ahli Persatuan Peniaga Ayam Itik Perak baru-baru ini yang mahu menjual ayam melebihi harga siling dengan alasan peningkatan kos bahan mentah ternakan menimbulkan satu persoalan: Mengapa jika benar wujudnya keadaan sedemikian, mengapa harga itik tidak pula mengalami kenaikan yang sama seperti harga ayam?
Tindakan pemborong yang dikatakan menjual ayam kepada golongan peniaga melebihi daripada harga yang ditetapkan juga dijadikan alasan peruncit untuk menaikkan harga. Pemborong kelihatan mahu mengaut keuntungan berlebihan terutama pada musim perayaan.
Oleh itu, rantaian kenaikan harga bekalan makanan mestilah dibasmi daripada peringkat akar umbi iaitu pembekal, pemborong atau pengeluar lagi. Namun, tidak tahulah jika sengaja wujud pakatan di antara mereka demi kepentingan ekonomi masing-masing!
Apa pun, peningkatan barangan keperluan menjelang musim perayaan jelas satu tindakan yang mengambil kesempatan. Tentunya gejala ini membebankan para pengguna terutamanya yang berpendapatan rendah dan yang memiliki ahli keluarga yang ramai.
Peningkatan harga makanan tanpa diikuti dengan kenaikan pendapatan yang sepadan menyebabkan mutu pemakanan majoriti penduduk negara ini akan terjejas. Bebanan kewangan semakin meningkat seterusnya menambahkan jurang ekonomi kalangan kelas masyarakat.
Mekanisme pemantauan kawalan harga perlu dikuatkuasakan agar tidak berlaku sewenang-wenangnya kenaikan barangan keperluan dan makanan termasuk 17 jenis barang kawalan di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Puasa tahun ini.
Hak kepenggunaan atau konsumerisme rakyat untuk mendapatkan keperluan makanan dengan harga yang berpatutan mestilah dilindungi dan dihormati. Sebarang tindakan peniaga atau pengeluar yang tidak bertanggungjawab dan bertujuan mengeksploitasi pengguna mestilah dicantas segera.
Dalam masa yang sama, sikap pengguna sendiri perlu berubah untuk bersama-sama menyokong usaha membendung kenaikan harga menjelang musim perayaan.
Budaya berbuka dan bersahur sama ada di dalam mahupun di luar rumah dengan juadah yang berlebih-lebihan hanyalah satu bentuk pembaziran yang turut menjadi antara penyumbang peningkatan harga makanan menjelang musim perayaan umat Islam.
MOHD ARIF ATAN,
Universiti Malaya.
Universiti Malaya.
Utusan Malaysia 14 September 2007