TERPEGUN melihat senarai hotel, bistro dan restoran yang menawarkan aneka juadah untuk berbuka puasa. Untuk menambahkan keceriaan Ramadan, pakej tiga dalam satu – berbuka, bersahur dan menginap – turut ditonjolkan.
Terfikir juga apa salahnya sesekali memanjakan diri menunggu juadah bersahur dihantar terus ke bilik asal sahaja sanggup membayar ratusan ringgit.
Apa salahnya menikmati berpuluh juadah semasa berbuka jika kita mampu berbuat demikian.
Bayangkanlah sebuah kelab golf mengenakan bayaran sebanyak RM130 untuk sesiapa yang berkeinginan berbuka puasa di situ. Manakala senarai hotel yang diteliti menetapkan sekurang-kurangnya RM40 seorang kononnya untuk juadah yang pelbagai. Jika ada yang teringin berbuka puasa sambil belayar bersedialah untuk membayar antara RM130 dan RM228.
Senario ini menjelaskan kepada kita bahawa kedatangan bulan Ramadan dan musim perayaan sememangnya ditunggu-tunggu oleh para pengusaha hotel dan mana-mana pihak yang terlibat dalam penyediaan katering.
Di saat umat Islam diseru supaya menghayati fadilat puasa iaitu antara lain berkongsi kesengsaraan fakir dan miskin, ada pihak yang mengambil kesempatan meraih untung.
Ketika kita diajak mengimbau kepayahan umat Islam di kem-kem pelarian berebut mendapatkan sesuap nasi dan seteguk air, ada pihak yang langsung tidak prihatin.
Sepanjang hari kita diminta berjimat cermat dan tidak tunduk pada nafsu berbelanja, tapi menjelang berkumandang azan Maghrib, kita ‘mabuk’ berhadapan dengan juadah-juadah yang berbeza rupa tapi sama rasanya.
Kadang-kadang kita sendiri tidak tahu untuk apa kita berpuasa. Adakah sekadar memenuhi rutin tahunan dan membiarkan fadilat serta manfaatnya berlalu selepas sebulan atau adakah lebih daripada itu.
Perkembangan semasa jelas menunjukkan bahawa puasa semakin hilang nilai ibadahnya. Aspek komersial, keuntungan berlebihan mendominasi ibadah puasa sehingga menyusutkan matlamat asal amalan itu diwajibkan kepada umat Islam.
Lebih menyedihkan, seminggu sebelum umat Islam berpuasa, iklan-iklan Hari Raya rancak disiarkan termasuk program memasak hidangan untuk menyambut tetamu. Sehingga ada bertanya: ‘‘Kita raya dulu sebelum berpuasa?’’
Bukankah semua ini amat keterlaluan dan perlu dihentikan lantaran ia merosakkan kemuliaan ibadah puasa itu sendiri selain menggambarkan bahawa umat Islam semakin lupa diri.
Bukan perkara yang memeranjatkan jika ada kalangan kita membeli-belah untuk persiapan raya pada hari pertama berpuasa. Malah jangan dinafikan bahawa kalangan kita lebih ghairah berbicara tentang Hari Raya dan tajuk puasa hanya diselitkan secara tidak langsung itu pun selalunya berkaitan menu berbuka.
Keghairahan golongan dewasa untuk berhari raya dan bukannya memanfaatkan sepenuhnya bulan Ramadan semestinya dijadikan teladan oleh anak-anak kita. Semestinya mereka akan bertanya, mengapa perlu bersungguh-sungguh bertarawih, berjimat cermat atau apa juga sedangkan orang dewasa tidak berbuat demikian.
Tragedi gempa bumi di sekitar rantau Asia Tenggara dan Lautan Hindi pada saat umat Islam menyambut Ramadan seharusnya direnung pengajarannya.
Ia bukan terjadi tanpa sebarang erti, hakikatnya kita tidak boleh menjangkakan apa yang berlaku esok, justeru hari ini mesti dimanfaatkan sepenuhnya. Mungkin esok tiada untuk kita. Mungkin kita tiada berpeluang berpuasa lagi tahun depan.
Oleh NORAINI ABDUL RAZAK
Utusan Malaysia 14 September 2007