Jumaat, 14 September 2007

Isu alam sekitar jadi senjata baru APEC


SIDANG Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) berakhir di Sydney, Australia hujung minggu lalu dengan kesemua ketua 21 negara anggota bersepakat menangani masalah perubahan iklim.

Bagi sebuah gagasan yang diwujudkan dengan matlamat menggalakkan lebih banyak liberalisasi perdagangan di seluruh dunia, memperkatakan mengenai isu perubahan iklim nampak janggal.

Namun bagi para pegawai Australia, negara tuan rumah yang menjadi hos Sidang Kemuncak APEC kali ke-15 ini, perubahan iklim adalah isu penting untuk ditangani kerana ia diumpamakan sebagai ‘oksigen’ bagi memastikan industri terus bergerak ke depan dalam persekitaran yang bersih.

Malah, Australia dilapor telah menulis kepada semua negara anggota yang menghadiri mesyuarat itu supaya menjadikan isu perubahan iklim sebagai agenda utama Sidang Kemuncak APEC kali ini.

Walaupun menerima tentangan daripada beberapa negara yang mahukan isu perdagangan dan ekonomi dijadikan agenda utama APEC, Perdana Menteri Australia, John Howard mendapat satu ‘lonjakkan’ apabila agendanya berhubung perubahan iklim mendapat sokongan Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush.

Bagi pemerhati politik dalam negara, sokongan Bush itu amat diperlukan oleh Howard yang berdepan dengan tekanan dan dijangka membubarkan Parlimen untuk mengadakan pilihan raya umum negara itu dalam tempoh masa yang terdekat ini.

Malah akhbar tempatan di Australia, dengan sinis turut mempersoalkan sama ada Howard akan terus mewakili Australia pada Sidang Kemuncak APEC akan datang.

Dalam memperkatakan mengenai perubahan iklim, sidang kemuncak itu juga turut mengesyorkan penggunaan tenaga yang lebih bersih dan boleh diperbaharui.

Antaranya, mereka mencadangkan penggunaan nuklear sebagai penjana tenaga yang bersih dan tenaga hidro.


Pembakaran

Kedua-dua tenaga alternatif yang dicadangkan ini diyakini mampu menangani masalah pencemaran yang diakibatkan oleh pembakaran minyak dan gas (fossil fuel) yang menjadi penjana tenaga hari ini.

Minyak dan gas menjadi penggerak utama tenaga dalam semua sektor perindustrian di seluruh dunia malangnya ia mengeluarkan gas karbon dioksida yang menjadi sumber utama pencemaran alam sekitar.

Bagi kumpulan pencinta alam, kedua- dua tenaga alternatif yang dicadangkan bukanlah ‘mesra alam’ sebagaimana yang diuar-uarkan kerana pengguna tenaga nuklear perlu berdepan dengan masalah sisa bahan itu.

Sisa nuklear ialah satu lagi isu alam sekitar dan teknologi melupuskan bahan itu hanya dimiliki oleh negara maju.

Begitu juga dengan penggunaan tenaga yang dijana oleh hidro. Tidak semua negara di dunia mempunyai keupayaan atau kesesuaian untuk membina empangan bagi mengalirkan air untuk menggerakkan turbin yang boleh menjana tenaga.

Membina empangan dengan skala yang besar akan membabitkan penebangan hutan dan tidak membantu memperbaiki isu perubahan iklim global.

Jadi keadaan semasa seolah-olah dunia kini tiba di satu persimpangan ... apa yang perlu dilakukan untuk menjaga planet ini daripada terus dilanda kemusnahan.

Bagi para pegawai yang mengikuti perkembangan APEC, walaupun mengakui perubahan iklim adalah sesuatu yang serius dan perlu diberi perhatian, ia dikhuatiri akan dijadikan satu lagi hambatan dalam menggalakkan perdagangan bebas dunia.

Ini kerana isu perubahan iklim mempunyai kaitan rapat dengan soal pemeliharaan isu-isu alam sekitar. Dalam dunia hari ini, China dan India disifatkan sebagai dua negara perindustrian besar yang dipercayai akan memperlihatkan keupayaan mereka menjadi negara industri terhebat dalam abad ini. Malangnya, kedua-dua negara ini tidak mempunyai rekod yang baik dalam soal-soal pemeliharaan alam sekitar.

Akibatnya, negara maju, khususnya dari Barat dikhuatiri mahu mengambil peluang yang ada dengan menyekat kemaraan China dan India melalui isu alam sekitar dan berselindung di sebalik memperjuangkan soal perubahan iklim sebagai ‘senjata baru’ bagi menghalang perdagangan bebas.

Jika China dan India menjadi sasaran, bagaimana halnya dengan negara-negara sedang membangun yang turut menjadikan industri sebagai enjin pertumbuhan masing-masing? Cara terbaik untuk semua pihak ialah meningkatkan piawaian terhadap buangan sisa industri agar bumi tidak dicemari dan alam sekitar terpelihara.

Dengan cara ini, sedikit sebanyak masalah perubahan iklim mungkin akan ditangani. Bagaimanapun, meningkatkan piawaian terhadap sisa buangan ini memerlukan teknologi dari Barat dan ia bukanlah sesuatu yang murah.Sesuatu yang mahal akan mengakibatkan kos pengeluaran untuk apa juga jenis industri meningkat.

Justeru apabila kos meningkat, ia akan menyebabkan persaingan menjadi kurang kompetitif. Dan apabila kurang kompetitif, yang maju akan terus maju dan membangun akan terus menerima arahan dan berada di bawah telunjuk yang berkuasa.

Jadi apakah APEC benar-benar mahu memperjuangkan isu alam sekitar dengan bernaung di bawah slogan perubahan iklim atau ia sekadar satu lagi agenda negara maju menghamparkan sekatan baru ketika bercakap mengenai kesediaan membuka pasaran dan liberalisasi perdagangan.

Kegagalan rundingan perdagangan pelbagai pusingan Doha adalah bukti negara maju khususnya Eropah enggan berganjak dengan pendirian masing-masing menyebabkan banyak isu perdagangan tidak dapat dimuktamadkan.

Oleh Zaharuddin Mohd. Ali (Yang membuat liputan Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Sydney baru-baru ini)

Utusan Malaysia 14 September 2007