Jumaat, 14 September 2007

Fahami perihal gempa bumi



SEDIKIT sebanyak senario cemas, panik, lari menuruni bangunan tinggi bagi tujuan keselamatan mengulangi apa yang terjadi pada 26 Disember 2004.
Ketika itu, tsunami melanda, susulan gempa bumi kuat iaitu 9.1 pada skala Richter yang menggegarkan Aceh, di wilayah Sumatera.

Sebelum terjadi tsunami, yang dicetuskan oleh gempa bumi itu, gegarannya turut dirasai di kebanyakan kawasan di Malaysia. Sebagai contoh, bangunan bergoyang dirasai di Pulau Pinang, dan Perlis selain Kedah. Maka dapat dilihat warga di negeri-negeri itu lari berlindung, wajah-wajah mereka yang cemas berjaya dirakam selain suara-suara ketakutan mengiringi gema tanda tanya tentang apa terjadi.

Insiden malam kelmarin, begitu juga. Persamaannya, dapat dilihat sekali lagi melalui imej di televisyen dan dada akhbar bahawa mereka ketakutan, cemas lalu lari bertempiaran untuk mendapatkan perlindungan.

Laporan menyebut, gempa bumi berukuran 7.9 pada skala Richter di Bengkulu Sumatera Selatan, Indonesia kelmarin menyebabkan gegarannya turut sampai di Jakarta, Singapura, Malaysia serta Thailand.

Antara tempat di negara ini yang turut sama merasai gegarannya termasuk Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Lembah Klang.

Walaupun gegaran kuat kelmarin tidak sebegitu hebat berbanding sebelum ini, sepatutnya masyarakat kita lebih bersedia dengan sebarang insiden kecemasan. Di sinilah pentingnya kefahaman tentang sesuatu bencana itu.

Gempa bumi adalah bencana alam, begitu juga tsunami. Walaupun kedua-duanya adalah hakikat bencana alam dan bukan disebabkan oleh kegiatan manusia, sekurang-kurangnya kita pasti bersetuju bahawa selama ini kita mengambil mudah dengan apa yang menimpa.

Ada sekurang-kurangnya empat kejadian gempa bumi susulan selepas di Aceh, termasuk pada 28 Mac 2005 yang berlaku di Nias dan pada 17 Julai 2006 di Jawa Barat, yang turut mencetuskan tsunami.

Kita turut sama merasai gegaran semasa kejadian di Nias dan Jawa Barat itu. Apa maknanya kejadian gempa bumi susulan di Aceh dan gegaran itu kepada kita semua di sini?

Dengan mudah kita boleh memberi jawapan begini. Kita menyatakan dan mengakui ia (gempa) akan berulang, tetapi kelihatannya seolah-olah kita tidak mempelajari apa-apa daripadanya.

Walaupun kita mengakui telah bersedia, tetapi kita juga terpaksa menerima hakikat bahawa masih ada banyak yang perlu diperbaiki selepas dikejutkan dengan gegaran gempa bumi terkuat di Pulau Nias, utara Sumatera pada 29 Mac 2005; di Yogyakarta (27 Mei 2006); di Jawa Barat (17 Julai 2006) dan di Padang, Sumatera Barat (6 Mac lepas).

Kalau kita bersedia, sudah tentu imej cemas, panik dan lari tanpa ada tujuan tidak ditonjolkan, tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.

‘‘Kita tidak boleh cemas atau panik bila sesuatu kejadian itu berlaku, kerana perasaan panik itu sebenarnya ‘boleh membunuh’ lebih daripada bencana berkenaan sendiri,’’ pesan seorang pakar motivasi.

Kalau dilihat rekod, kejadian yang menimpa Nias adalah gempa bumi terkuat (8.7 pada skala Richter) selepas kejadian gempa bumi dan tsunami 26 Disember 2004, yang mengorbankan lebih 250,000 orang termasuk 170,000 daripadanya dicatatkan di Aceh.

Namun, peristiwa pukul 7.10 malam kelmarin cukup mencemaskan dan memaksa penghuni di bangunan tinggi mengosongkan kediaman masing-masing untuk tujuan keselamatan.


Meramalkan

Peristiwa itu sepatutnya menjadi iktibar bahawa kita perlu sentiasa bersedia dan bertindak membuang sikap ambil mudah. Pakar-pakar meramalkan bahawa gempa bumi lebih kuat akan melanda jajaran Lingkaran Api Asia Pasifik, dalam tempoh bila-bila masa.

Agensi Meteorologi dan Geofizik Indonesia mengesan berpuluh-puluh gegaran susulan kecil, yang berukuran di antara 4.1 hingga 5.5 pada skala Richter selepas yang terjadi kelmarin. Dengan begitu banyak gegaran susulan itu, bermakna kita di sini juga terpaksa sentiasa waspada dengan segala kemungkinan yang lebih buruk.

Selepas gempa bumi di selatan Sumatera itu, beberapa pakar geologi dan pengkaji ramalan cuaca menyebut bahawa mereka menjangkakan lebih banyak gempa bumi dan gegaran susulan bakal terjadi.

Justeru, mereka juga mengakui bahawa gempa-gempa bumi ‘pasca-Aceh’ bukan ‘gempa bumi terkuat’ sebenarnya, dan tidak juga yang terjadi kelmarin.

Selepas Aceh, ukuran gempa bumi yang terjadi mungkin lebih kecil atau lebih kuat, menurut dua orang pakar geologi tempatan ketika dihubungi untuk mengulas mengenai perkara itu.

Salah seorang daripadanya, Pensyarah Kanan di Jabatan Geologi, Universiti Malaya (UM), Dr. Rosfatihah Muhammad berkata, kejadian gempa bumi kuat adalah proses lanjutan akibat tsunami dan ia pasti berlaku pada bila-bila masa.

“Mudah kata, ini akan terus berlaku. Ia ‘hukum’ kejadian terbabit. Dengan kata lain, proses ini akan berlanjutan, mungkin untuk beribu-ribu tahun akan datang.’’

“Tetapi seperkara yang perlu diketahui ialah sama ada gempa itu mencetuskan tsunami atau tidak. Jika tiada alihan lautan, maka tsunami tidak berlaku, walaupun skalanya agak besar,’’ katanya kepada Utusan Malaysia.

Bagi pensyarah di Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. Taksiah Ab. Majid pula, beliau melihat beberapa gegaran dan gempa bumi pasti akan turut dirasai oleh penduduk di negara ini lebih-lebih lagi mereka yang tinggal di bangunan berisiko tinggi.

“Walaupun hanya terkena kesan gempa bumi akibat kejadian di selatan Sumatera, langkah berjaga-jaga itu perlu dan kita tidak boleh leka sama sekali.”

Menurut beliau, jika kedudukan Malaysia berhampiran dengan pusat gempa, pastinya kesan adalah maksimum manakala rakyat di sini sentiasa dalam ketakutan.

Namun kata Taksiah, pada umumnya respons terhadap kejadian bencana alam seperti ini jauh lebih baik jika diukur semasa terjadi tsunami, 26 Disember 2004.

Sebagaimana yang diketahui umum, gempa bumi berlaku apabila lapisan bumi bergerak dan menghentam satu sama lain sebelum terpisah dan membentuk tekanan ke kawasan lain.

Apabila tekanan berlaku, satu lagi gempa bumi terjadi dan gegaran susulan selepas itu merupakan pelarasan semula bumi selepas gegaran utama.

Terjadi ombak besar tsunami pula berpunca daripada gempa bumi yang berlaku di bawah dasar laut dengan gegarannya dapat dirasai beribu-ribu kilometer jauhnya. Sementara itu, mengenai langkah pencegahan, baik Rosfatihah atau Taksiah, mereka senada bahawa masyarakat tidak boleh leka dan kekal naif dengan apa yang berlaku.

Moralnya, paling utama ambil iktibar, keduanya pula, jalankan langkah yang dicadangkan dan bukannya hanya memberi pandangan semata-mata.

‘‘Selain itu, mentaliti dan sikap terhadap ancaman keselamatan harus diperbaharui atau diperbetulkan di kalangan penduduk pelbagai lapisan di negara ini.

‘‘Kita tidak lagi boleh terus hidup dengan tanggapan bahawa Malaysia akan sentiasa terselamat daripada sebarang ancaman, dengan mengambil sikap tidak peka terhadap sebarang perubahan suasana yang berlaku di persekitaran kita, termasuk di negara-negara jiran,’’ kata Rosfatihah.

Perasaan berada di zon selesa serta sikap terlalu mengambil mudah dengan suasana aman damai dan jaminan keselamatan yang telah lama dikecapi harus dikikis daripada pemikiran warga Malaysia.

Sebaliknya apa yang perlu ialah sentiasa bersiap sedia dalam menghadapi sebarang kemungkinan mendatang, ujar Taksiah sebelum membuat kesimpulan, kefahaman mengenai sebarang bencana patut dipertajamkan di kalangan kita semua.

Oleh AZLINARIAH ABDULLAH

Utusan Malaysia 14 September 2007