Jumaat, 14 September 2007

Ibadah puasa mendisiplin diri


DI negara kita, umat Islam menyambut kehadiran Ramadan dengan penuh rasa kesyukuran, melakukan pelbagai program keagamaan dan optimis untuk melaksanakan puasa dengan mengharapkan keberkatan, rahmat dan keampunan Allah s.w.t.
Seperti yang kita sedia maklum, Ramadan merupakan penghulu segala bulan yang mempunyai pelbagai fadilat di dalamnya dan melipatgandakan pahala bagi mereka yang mengerjakan amal kebajikan pada bulan tersebut.
Ramadan juga digelar sebagai bulan kesabaran dan pembersihan jiwa, bulan yang penuh keberkatan, bulan yang di dalamnya terdapat suatu malam yang lebih mulia daripada seribu bulan, bulan yang di dalamnya diturunkan al-Quran, bulan yang permulaannya penuh rahmat, pertengahannya penuh keampunan dan di akhirnya adalah kebebasan daripada azab neraka.
Kewajipan melaksanakan ibadah puasa merupakan peluang beribadat bagi mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Ini kerana puasa dapat mendidik dan melatih umat Islam menjadi umat yang cemerlang dan produktif. Melalui ibadah puasa, kita dilatih menjadi orang yang berdisiplin, menepati waktu, sabar, mempunyai belas kasihan, suka menolong orang, bersifat sederhana serta tidak boros dan kedekut dalam berbelanja.
Kesempatan beribadat di bulan Ramadan ini juga hendaklah dijadikan peluang untuk melakukan penghijrahan terhadap jiwa dan minda serta mengharapkan terhapusnya dosa-dosa yang dilakukan sama ada disebabkan kelalaian atau kelemahan kita sendiri.
Maka dengan sebab itulah, orang yang berpuasa akan bertambah mantap imannya, yang cuai sembahyangnya akan lebih berdisiplin, yang pemarah akan menjadi lebih tenang, yang gemar melakukan maksiat akan lebih sedarkan diri, yang bakhil dan kedekut akan menjadi lebih pemurah dan yang malas beribadat akan lebih rajin.
Oleh yang demikian, ibadat puasa perlu dilaksanakan dengan penuh keimanan dan keinsafan dengan menghindari perkara-perkara yang boleh membatalkannya serta menjauhi diri mengikut hawa nafsu yang rakus.
Yang lebih penting kita berusaha memperbaiki dan meningkatkan mutu amalan wajib dan menyempurnakannya dengan amalan-amalan sunat, membanyakkan amalan sedekah, membaca al- Quran dan mempelajarinya, dan menghidupkan pelbagai unsur kebaikan pada malamnya seperti sembahyang tarawih, qiamullail dan sebagainya.
Imam Al-Ghazali menyebut dalam kitabnya Ihya’ Ulumuddin, puasa adalah alat pemaksa supaya nafsu tunduk kepada petunjuk akal yang telah menjadikan al-Quran sebagai pedoman hidupnya.

Oleh A. MOHD. RAHIMIN SIHAT

Utusan Malaysia 14 September 2007