Memaparkan catatan dengan label PEDOMAN. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PEDOMAN. Papar semua catatan

Ahad, 20 April 2008

Abdullah Sijang perangi khurafat Mandi Safar


DATUK Haji Abdullah Sijang.

DI PORT DICKSON, Negeri Sembilan tersergam indah sebuah masjid yang dinamakan Masjid Jamek Datuk Haji Abdullah Sijang, sempena nama seorang tokoh agama tersohor. Menyingkap sejarah ringkas Abdullah, beliau dilantik sebagai Naib Kadi pada 1949 selepas dua kali dipujuk Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, al-Sheikh Ahmad al-Haj. Awalnya beliau menolak kerana berasakan tidak layak untuk memikul tanggungjawab itu.

Pada 1957, beliau dilantik sebagai Kadi Port Dickson dan berkhidmat sehingga bersara pada 1970 dan kontraknya disambung sehingga 1979. Atas ketokohannya, beliau kemudian dilantik menganggotai Jawatankuasa Syariah Negeri Sembilan sehingga pada 2003.

Sepanjang menjadi kadi, pelbagai halangan, rintangan dilalui disebabkan keadaan masyarakat pada masa itu berada dalam keadaan daif, kesan langsung penjajahan Jepun serta warisan sosio budaya Melayu ortodoks dan kuno. Ketika itu ada dua bentuk budaya iaitu budaya Melayu dan budaya Linggi. Budaya Melayu diamalkan di Mukim Jimah, Port Dickson, Sirusa dan Pasir Panjang manakala budaya Linggi diamalkan di kampung tradisi sekitar Pekan Linggi, Kampung Pengkalan dan Kampung Tampin-Linggi.

Ulama ini tidak terbabit dalam Adat Pepatih tetapi berdepan dengan masalah ajaran sesat dan khurafat berpunca daripada sosio budaya masyarakat Melayu yang terpengaruh dengan bomoh, pawang serta animisme yang memberi ruang kepada pengaruh unsur spritual di dalam pemikiran mereka.

Antaranya ialah sihir primitif, tuhan primitif, semangat, hantu, pengaruh Hindu, semangat padi, semangat laut, korban, mukjizat Rasul, Tasawuf dan Sufi. Pengkaji sejarah mengenai Abdullah, Wan Ahmad Arshad dalam buku yang diterbitkan khas oleh Jabatan Mufti Negeri Sembilan mengatakan, antara amalan khurafat yang popular ialah ‘Mandi Safar’ yang diadakan setiap Rabu pada bulan Safar.

Masyarakat Melayu menganggapnya sebagai adat mandi pantai tahunan, sedangkan hakikatnya walaupun ia dianggap budaya, tetapi persiapan menyambutnya seolah-olah wajib mengikut syariat. Malah, jika tidak diadakan, bala akan menimpa. Mereka bermandi-manda, bersiar-siar, berpantun, menari, bahkan ada juga adat membuat azimat atau surat wafak daripada guru agama yang menyeleweng. Surat wafak itu direndam dalam laut atau perigi dan airnya diminum beramai-ramai kononnya untuk menolak bala.

“Abdullah berusaha menyedarkan masyarakat betapa terpesongnya fahaman Mandi Safar yang boleh menyebabkan berlaku pelbagai masalah sosial akibat pergaulan bebas. Beliau mengaturkan program penerangan, masyarakat mula memahami keadaan sebenar dan bertindak sebagai mata dan telinga pihak berkuasa.

“Akhirnya ditubuhkan Jawatankuasa Pencegah Maksiat di peringkat kariah dan hasil kerjasama pelbagai pihak, akhirnya pesta itu terhenti sepenuhnya pada lewat 70-an,” katanya.

Kepercayaan karut dan khurafat seperti menurun, memuja nombor ekor, bertapa, santau, sihir juga ditanganinya dan antara lokasi pemujaan popular ialah di Tanjung Tuan, bekas tapak Kota Lukut, Pengkalan Shell, Tanjung Agas dan Kuil Hindu di Tanjung Tuan Resort. Semua amalan ini termasuk sihir, menyembelih binatang untuk menjamu jin memerlukan kebijaksanaan, kesabaran ulama dan dalam hal ini, Abdullah menggunakan pendekatan ilmu, usrah, tarbiah untuk memberi penerangan betapa hinanya amalan sihir.

Abdullah memperkenalkan kaedah holistik berteraskan aqidah seperti muafakat, sembahyang hajat, kenduri kesyukuran.

“Timbul juga isu ajaran sesat Tarikat Muffaridiah mempengaruhi anggota tentera Port Dickson kononnya boleh menjadi kebal dan tidak ditembusi peluru. Ramai tentera dan polis terpengaruh terutama ketika dalam keadaan darurat, komunis,” katanya.

Abdullah bersama guru agama tentera dan Lebai Manan merangka kurikulum agama dan moral khas untuk tentera menerusi program keagamaan seperti sambutan Maal Hijrah, Maulidur Rasul, Tilawah dan Aqiqah. Isteri Abdullah, Datin Hajah Siti Tijah Sani, 72, yang ditemui Berita Minggu di kediamannya berkata, suaminya menghabiskan masa hidupnya dengan belajar dan mengajar ilmu agama tanpa jemu.

“Jika ada jemputan, dia akan pergi ke mana saja jika tiada sebarang masalah. Dalam hal mendidik anak-anak, dia tak garang tetapi tegas,” katanya yang kini tinggal bersama anak bongsunya.

Imam masjid, Shamsudin Jaafar, 64, berkata masjid itu dipenuhi aktiviti sepanjang minggu dan generasi muda termasuk dirinya tetap meneruskan amalan termasuk zikir yang diajar Abdullah.

“Saya cuma meneruskan ajaran Tok Guru. Dah ramai anak muridnya yang meninggal dunia dan berpindah ke tempat lain,” katanya yang kini menetap bersebelahan rumah Siti Tijah, di perkarangan Masjid Haji Abdullah Sijang.

BIODATA: Datuk Haji Abdullah Sijang

*Dilahirkan di Kampung Kanchung, Rantau pada 16 Februari 1915 dan meninggal dunia pada 2003 pada usia 89 tahun.

*Ayahnya, Sijang Kulup dan ibunya, Rahmah Mohd Noh.

*Mula mengaji al-Quran ketika berusia lima tahun dan berjaya khatam al-Quran pada usia lapan tahun.

*Mempunyai empat adik beradik.

*Pendidikan formal daripada Darjah Satu hingga Darjah Lima di Sekolah Rantau.

*Mula merantau pada usia 14 tahun dan destinasi pertama ialah Pondok Darul Wataniah di Kepala Batas, Pulau Pinang.

*Beliau berguru dengan Abdullah Haji Fahim (Sheikh Abdullah Fahim).

*Menyertai Sekolah Agama Idrisiah di Bukit Chandan, Kuala Kangsar pada 1931 kerana mengikut gurunya.

*Kembali semula ke Kanchung, Rantau pada usia 17 tahun serta sering menjadi contoh kepada rakan sebaya.

*Pada usia 20 tahun, berangkat ke Pondok Pasir Mas, Kelantan dan menuntut di sana selama tiga tahun.

*Pada 1937, berangkat ke Makkah dan menuntut di Madrasah Solatiyah. Mendalami Tarikat Ahmadiah daripada Tuan Guru Mohd Shafie Mohd Salleh.

*Tinggal di Makkah selama 13 tahun dan kembali ke tanah air pada 1948.

*Berkahwin dengan Siti Tijah Sani ketika berusia 31 tahun manakala isterinya 13 tahun.

*Mempunyai tiga anak iaitu Latifah, Abdul Wahid, Mohd Fauzi

INFO: Hasil perjuangan

*Pada 19 Februari 1975, tentera mengeluarkan pekeliling melarang penyebaran ajaran, zikir, tarikat baru dan luar biasa tanpa kebenaran Jabatan Nazir Agama Tentera.

*Pada Februari 1980, Tarikat Mufarridah diharamkan selepas mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu Ke-117 menyokong keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.

Oleh Mohd Azis Ngah
Berita Minggu

Ahad, 13 April 2008

Tokoh agama ulung Terengganu


Tok Guru Haji Abbas terkenal dengan prinsip hidup mesti beramal, berbakti dan berkorban demi mencapai keredaan Allah

SETIAP kali keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tok Jiring, Kuala Terengganu akan muncul antara sekolah yang sering mencatatkan keputusan membanggakan. Sekolah itu yang asalnya adalah sekolah pondok diasaskan oleh seorang tokoh agama Terengganu yang besar sumbangan terhadap pendidikan, iaitu Datuk Abas Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tok Guru Haji Abbas.

Pondok Tok Jiring yang terkenal pada 1953 berkembang menjadi sebuah sekolah menengah agama sehingga kerajaan negeri mengambilalih pentadbirannya pada 1962 sebelum Kementerian Pelajaran mengambil alih pentadbirannya dan dinaikkan taraf sebagai sebuah sekolah menengah agama termoden di Terengganu pada 1976. Siapakah sebenarnya Haji Abas? Tokoh agama ini dilahirkan di Kampung Bukit Puteri, Kuala Besut hampir seabad yang lalu. Lebih mesra dengan panggilan To' Guru Haji Abbas kerana alim dalam bidang ilmu Feqah yang merangkumi mazhab Syafie, Maliki, Hanafi dan Hambali menerusi gerakan pendidikan pondok.

Mendapat pendidikan awal di Pondok Haji Mohd bin Haji Hussein, Kuala Besut, beliau kemudian melanjutkan pelajaran ke Makkah selama 8 tahun ketika usianya baru 14 tahun.

Dari Makkah beliau ke India menyambung pengajian di Universiti Al-Jamiah Al- Islamiah, Gujerat ketika berusia 22 tahun. Selepas pulang ke tanah air, empat tahun kemudian beliau pergi semula ke Benua Kecil Hindi meneruskan pengajiannya di Universiti Darul Ulum Dioband selama setahun pada 1938. Berdasarkan catatan dalam ruangan Sejarah dan Tokoh Tempatan Terengganu, Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Terengganu, To' Guru Haji Abbas memang terkenal dengan berpegang kepada prinsipnya iaitu hidup mesti beramal, berbakti dan berkorban demi mencapai keredaan Allah.

Beliau membuktikan prinsip ilmu wajib dikembangkan demi kesejahteraan umat seluruhnya dengan mengasaskan sebuah pondok di kampung kelahirannya yang dinamakan Jamiah Diniah. Bersama beberapa ulama lain, beliau membuka sebuah lagi pondok di Kampung Raja, Besut iaitu Madrasah Nurul Ittifaq, seterusnya membuka Darul Adib Al-Khursani di Kuala Besut.

Gerakan pendidikan dan dakwah tokoh ini tidak terhad di kawasan Besut saja, malah melewati sempadan Bukit Yong di Kelantan dengan membuka beberapa buah pondok mulai 1945. Dari Kelantan, beliau berhijrah ke Kuala Terengganu mengasaskan pondok Tok Jiring hingga sekolah itu menjadi terkenal di Terengganu dan seluruh negara amnya.

Keistimewaan To’ Guru Haji Abbas juga terserlah melalui beberapa hasil karya ilmiah dalam bidang keagamaan. Atas segala bakti itu Kerajaan Negeri Terengganu mengisytiharkannya sebagai Tokoh Ulama dalam Majlis Sambutan Ma'al Hijrah pada Tahun Hijrah 1409. Pada 17 April 1989, Sultan Terengganu berkenan mengurniakan Bintang Kebesaran Negeri Terengganu, Datuk Paduka Mahkota Terengganu, (DPMT) yang membawa gelaran Datuk kepadanya.

Seorang bekas pelajar SMKA Tok Jiring, Ahmad Saiful Abdullah, berkata beliau bersama rakan sekolahnya sering mengadakan bacaan tahlil setiap tahun sempena memperingati jasa serta sumbangan pengasas sekolah mereka.

“Itulah saja tanda penghargaan kami kepada tokoh agama itu, iaitu mendoakan rohnya diberkati kerana jasanya terlalu besar dalam melahirkan generasi muda berilmu. Sewajarnya diadakan satu sesi penceritaan sumbangan To’ Guru Haji Abbas kepada pelajar di sekolah menjelang Maal Hijrah,” katanya.

Usaha murninya melihat ramai anak watan Terengganu menuntut ilmu melalui usaha menggalakkan pembelajaran agama berterusan sehingga ke akhir hayatnya selepas kembali ke rahmatullah pada 1 Julai 1997. Berkat usahanya, seorang daripada 15 anaknya iaitu Abdul Aziz meneruskan kegiatan sekolah pondok sebagai kesinambungan mengembangkan pengajian Islam di Terengganu.


INFO: Tokoh Agama

*Tok Guru Haji Abbas dianugerahkan sebagai Tokoh Guru Terengganu pada 1990

*Diisytiharkan sebagai Tokoh Guru Peringkat Nasional pada 16 Mei 1991.

*Terbabit aktif dalam politik dan pernah dilantik sebagai senator selama enam tahun oleh Dewan Undangan Negeri Terengganu pada awal 60-an.

Oleh Mohd Azis Ngah dan Baharom Bakar
Berita Minggu

Khamis, 20 Mac 2008

Umat Islam perlu bersatu untuk kesejahteraan

SAMBUTAN Maulidur Rasul di seluruh negara semalam harus mendorong umat Islam di negara ini untuk melihat kembali sejarah perjuangan Nabi Muhammad SAW ketika berhadapan dengan pelbagai rintangan dalam kehidupan untuk menyebarkan agama Allah. Dengan sifat zuhud dalam kehidupan, gagah perkasa ketika memimpin tentera menentang musuh, menegakkan keadilan kepada semua masyarakat, Baginda dihormati kawan dan lawan.

Sejarah kehidupan Baginda diingati dan sunnahnya dijadikan pedoman dalam kehidupan umat Islam, dari dulu sehingga kini. Sambutan Maulidur Rasul semalam membawa makna yang cukup mendalam khususnya orang Islam terutama selepas pilihan raya umum lalu, yang memperlihatkan pelbagai perubahan dalam pemikiran rakyat yang sedikit sebanyak mempengaruhi tingkah laku. Mungkin nasihat Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah ketika berucap pada majlis sambutan di Ipoh, Perak boleh dijadikan ingatan untuk difikirkan bersama. Nasihat yang baginda berikan itu cukup penting sebagai peringatan kepada umat Islam di negara ini. Raja Nazrin mengingatkan kita punca sebenar kejatuhan empayar dan kerajaan terdahulu untuk dijadikan pengajaran. Dalam erti kata lain, kita harus belajar daripada kesilapan lalu untuk meneruskan kehidupan pada hari ini dan akan datang.

Sejarah Islam turut memaparkan hal yang sama mengenai turun naiknya pemerintahan, daripada kerajaan Bani Ummayyah sehinggalah Empayar Usmaniyyah. Malah kerajaan Islam di Sepanyol yang berkuasa hampir tujuh abad akhirnya hilang begitu saja. Hanya tinggal sejarah dan artifak untuk dilihat pada hari ini. Itulah putaran kemunculan dan kejatuhan kerajaan yang perlu dijadikan iktibar. Perjuangan bermula dengan kesengsaraan dan kepayahan seperti yang dialami Nabi Muhammad SAW untuk menyebar dan mengembangkan Islam sehingga terpaksa berhijrah dari Makkah tempat kelahirannya, ke kota Madinah yang kemudian menjadi pusat pentadbiran pertama Islam. Apabila Islam berkembang ke Timur, Barat, Utara dan Selatan, khalifah dan pemimpinnya mula melihat keselesaan hidup sebagai matlamat dan meninggalkan perjuangan yang diamanahkan Rasulullah, akhirnya satu persatu empayar Islam berkubur.

Kita amat berharap sambutan Maulidur Rasul kali ini dapat mengingatkan umat Islam mengenai padahnya jika melupakan perjuangan dan kekuatan ummah. Kelekaan di kalangan pemimpin mahupun pengikut, akan menyebabkan kesempatan diambil pihak lain, yang berakhir dengan kerugian. Mungkin keselesaan membuatkan kita lupa dan alpa. Tetapi selepas menyedari akan kesilapan, kita perlu kembali ke pangkal jalan untuk melihat kembali perjuangan kita yang belum selesai. Itulah yang dilakukan pemimpin terdahulu, selepas tumbangnya sesuatu kerajaan, mereka kembali mengatur langkah untuk bangkit kembali, akhirnya kejayaan mereka kecapi. Perjuangan untuk membangunkan negara perlu diteruskan.

Sejarah perjuangan Rasulullah perlu sentiasa diteliti dan dikaji supaya kita terus melaksanakan suruhannya. Perpecahan yang berlaku sebelum ini dan sekarang akibat perbezaan fahaman politik, perlu dipulih kembali dengan segera. Apapun yang berlaku kita perlu memastikan kestabilan politik dan ekonomi negara tidak terjejas. Perpaduan di kalangan masyarakat berbilang kaum perlu dipertahankan, kerana itulah aset yang kita ada untuk meneruskan perjuangan membangunkan negara yang merdeka ini.

Berita Harian

Selasa, 8 Januari 2008

Rahsia haram arak


Allah berfirman dalam Surah al-Maidah ayat 90, "Wahai mereka yang beriman, sesungguhnya arak, judi, melakukan korban untuk berhala dan menilik nasib dengan menggunakan anak panah, adalah perbuatan keji daripada amalan syaitan, maka tinggalkanlah ia semoga kamu berjaya." Menurut Tarmizi yang hasan sahih, Nabi Muhammad SAW bersabda, "Sesungguhnya arak bukanlah ubat, sebaliknya ia adalah penyakit."

Arak ialah alkohol dalam bentuk etil dan sejenis dadah yang bertindak pada otak manusia dan sering menyebabkan ketagihan. Ia biasanya dihasilkan oleh sel-sel ragi atau yis yang bertindak pada karbohidrat yang terdapat dalam buah-buahan dan biji-bijian. Dalam pasaran, ada tiga jenis arak yang popular, iaitu bir yang dibuat daripada biji-bijian dan mengandungi dua sehingga enam peratus alkohol, wain yang diperbuat daripada buah-buahan dan mengandungi 11 sehingga 14 peratus alkohol dan minuman keras yang dikenali sebagai likuor. Likuor dihasilkan dengan memeram atau mendidihkan bahan makanan sehingga menjadi arak dan ia mengandungi 40 sehingga 50 peratus alkohol.

Apabila seseorang meminum alkohol, ia terus bertindak pada sel-sel otak dengan meransang otak itu sebelum mengganggu fungsinya sehingga menyebabkan gangguan pada penglihatan, hilang ingatan dan seumpamanya. Pengambilan dua sehingga tiga gelas alkohol dalam masa sejam sudah mencukupi bagi menjadikan seseorang tidak stabil. Ketagihan arak memberikan kesan negatif kepada diri, keluarga dan masyarakat. Dari sudut diri, ia menyebabkan sawan dan halusinasi. Pengambilannya dalam jangka masa yang panjang dapat merosakkan otak buat selama-lamanya. Di samping itu, ia juga boleh menyebabkan sakit jantung, radang paru-paru, batuk kering, barah mulut dan kerongkong, kerosakan dan barah hati serta melemahkan sistem pertahanan badan. Di Amerika Syarikat (AS), terdapat 10 sehingga 15 juta penagih arak. Daripada jumlah itu, 4.5 juta adalah dalam kalangan remaja. Jumlah kematian yang disebabkan oleh arak di AS adalah 100,000 orang setiap tahun.

Pada bulan November 2001, Institut Kebangsaan Penyalahgunaan Alkohol dan Alkoholisme AS melaporkan, kerosakan dan kerugian berpunca daripada penggunaan alkohol berjumlah AS$185 billion setahun. Di Britain pula, BBC News bertarikh 17 Ogos 2001 melaporkan peratus wanita yang mengambil alkohol melebihi kadar yang diizinkan meningkat sebanyak 50 peratus dalam masa 10 tahun. Golongan remaja yang berumur antara 11 sehingga 15 tahun didapati meminum alkohol dua kali lebih banyak dibandingkan dengan tahun 1990. Laporan itu juga menunjukkan, setiap seorang daripada empat orang lelaki dan setiap seorang daripada tujuh orang wanita di Britain meminum alkohol melebihi kadar yang diizinkan. Kerugian yang terpaksa ditanggung oleh rakyat kerana kerosakan dan masalah yang timbul daripada pengambilan arak ini berjumlah lebih kurang tiga billion pound sterling setiap tahun. Majalah Time edisi 28 Januari 2002 pula melaporkan, satu perlima daripada remaja yang berumur antara 15 sehingga 16 tahun di Britain pernah mabuk sebanyak tiga kali dalam masa sebulan.

Banyak pakar perubatan berpendapat bahawa arak apabila diminum dengan kadar yang sedikit, bermanfaat bagi jantung. Oleh itu, banyak pakar dalam bidang kardiologi menggalakkan masyarakat meminum arak sebanyak satu sehingga dua gelas sehari supaya kesihatan jantung mereka terpelihara. Namun Dr. James H. Stein, pakar jantung dan penolong profesor di Fakulti Perubatan Universiti Wisconsin, mempunyai pandangan yang berbeza. Dalam tulisannya yang diterbitkan oleh Milwaukee Journal Sentinel bertarikh 25 November 1998, beliau menyatakan, "Banyak pesakit dan pakar perubatan mahu mempercayai arak adalah penawar ajaib yang dapat menyelamatkan jantung kita. Sayang sekali, hakikatnya tidak seperti yang difikirkan kerana alkohol sebenarnya merosakkan jantung dengan cara melemahkan otot-otot, mengganggu cara jantung mengepam darah dan menaikkan tekanan darah. Alkohol juga merosakkan hati, menyebabkan radang pankreas, kanser esofagus dan perut. Oleh itu, banyak yang keliru apabila mereka diberitahu pengambilan satu sehingga dua gelas alkohol setiap hari menyihatkan jantung.

Pengambilan alkohol yang sedikit memang menambahkan kolesterol baik (HDL) di dalam darah, namun ia hanya benar bagi wain merah bukannya bir. Sebenarnya, bukan alkohol yang menyihatkan jantung. Sebaliknya, bahan flavonoid yang diperoleh daripada buah-buahan digunakan bagi menyediakan arak. Oleh itu, cara yang selamat bagi menyihatkan jantung adalah dengan memakan sayur-sayuran dan buah-buahan seperti bawang, anggur dan epal yang kaya dengan flavonoid, bukannya meminum arak".

BBC News bertarikh 24 Mei 2001 melaporkan kenyataan yang dibuat oleh Presiden Men's Health Forum di Britain, Dr. Ian Bank, yang menyatakan statistik yang mengaitkan alkohol dengan perbuatan membunuh diri, jenayah, kemalangan, tindakan ganas serta masalah kesihatan adalah menggerunkan. Kenyataan ini diperkukuhkan oleh Pengerusi Pertubuhan Kaunselor-Kaunselor Penyalahgunaan Alkohol dan Dadah Kebangsaan di Britain, Rosa Della-Tolla, yang menegaskan banyak yang memfokuskan berkenaan bahaya dadah dan melupakan alkohol. Sedangkan kesan negatif hasil daripada penyalahgunaan alkohol lebih besar daripada dadah. Masalahnya, pengambilan alkohol diterima sebagai sesuatu yang biasa dalam masyarakat, sedangkan kesan pengambilannya lebih teruk. Sehubungan itu, Islam tidak membenarkan arak sama sekali dan tidak menganggapnya sebagai penawar walaupun terdapat sedikit kebaikan padanya. Namun, kemudaratannya lebih besar daripada kebaikan. Allah berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 219, "Dan mereka bertanya kamu berkenaan arak dan judi. Katakanlah, pada kedua-duanya ada banyak keburukan dan beberapa kebaikan, namun keburukannya adalah lebih besar daripada kebaikannya."

Oleh Danial Zainal Abidin

Dipetik daripada majalah Dewan Kosmik Jilid 16 Bil.01 Januari 2008

Ahad, 18 November 2007

Kembalikan Barat dan Timur di landasan iman



"Jangan terlalu berkhayal!"

Sanggah seorang pemuda.

"Barat telah datang dengan serba serbi kekuatannya, tekniknya, senjatanya, meriamnya, kapal terbang dan kapal udaranya dan foto-foto telanjang dari bintang filemnya. Bahkan juga serentak, serempak dengan itu, mereka pun telah mengirimkan missie dan zending untuk membuka mata Timur kepada kebenaran. Kalbu Timur hendak maju dan setaraf dengan mereka. Kekerasan harus dilawan dengan kekerasan. Imbangan kekuatan hanyalah kekuatan pula!"

"Tidak!" jawabku. "Bila mana kekerasan dilawan dengan kekerasan adalah mengadu batu dengan batu. Kedua-duanya akan habis musnah. Apabila kekerasan telah dilawan dengan kekerasan, kedua-duanya akan hancur. Yang menang jadi bara yang kalah jadi abu. Dan dendam kesumat ini tidak akan habis-habisnya di dunia ini."



Jepang telah mencoba melawan kekerasan, menentang Barat dengan senjata Barat. Akhirnya dia pun hancur. Tetapi siapakah yang berani mengatakan bahawasanya dengan kesumat tidak ada pada hati orang Jepang? Siapakah yang tahu, apakah yang tersembunyi di belakang senyum simpul "Dai Nippon" yang terkenal dengan 1001 arti itu?

Jalan satu-satunya hanyalah mengembalikan persatuan Barat dan Timur dalam daerah kemanusiaan yang luas. Isi mengisi dan bantu membantu menambah mana yang kurang. Keduanya sekarang, Barat dan Timur sama-sama dalam ditimpa sakit. Dan keduan-duanya harus berikhtiar mengobati diri masing-masing.

"Manakah sakitnya yang lebih teruk?" Untuk menjawab ini, haruslah dijelaskan batas di antara miskin dan kaya, di dalam artinya yang asli. Orang yang miskinlah orang yang ingin akan kejayaan. Tetapi ia tidak ada kesanggupan untuk mencapainya. Cita-cita di hati hendak memeluk gunung, apa daya tangan tak sampai. Orang yang kaya ialah orang yang mempunyai genap kesanggupan, tapi tak mempunyai hajat dan keinginannya lagi.

Di samping keduanya itu ada lagi yang lebih teruk sakitnya, ialah orang yang fakir miskin, melarat. Yaitu orang yang kesanggupannya cukup dan syahwatnya pun keras pula, tetapi tidak mempunyai kekayaan khayal untuk mengungkung syahwat itu. Sebab itu ditempuhnyalah segenap usahanya buat mencapai maksudnya. Inilah orang yang semelaratnya dan inilah penyakit yang lebih teruk.

Setelah ini harus dipelajari pula perbedaan lemah dan kuat. Orang yang lemah ialah orang yang mungkin mencapai haknya dengan kekuatan. Sayang kekuatan belum cukup pula mempunyai khayal. Khayalnya senantiasa yang mutlak atau menolaknya, sekali kali bukanlah dengan pedang. Sebab itu mempergunakan pedang bagi mereka, adalah kelemahan yang telah sangat buntu karena gelap mata.

Siapakah orang itu?

Orang lemah yang sangat lemah, ialah orang yang mempunyai cukup kekuatan, tetapi tidak mempunyai pengetahuan dari ilham khayalnya, bahasanya "hak" dan "kebenaran" itu bukanlah yang dapat dirampas dengan meriam atau dipecahkan dengan kapak atau diselesaikan dengan bom atom.

Setelah melihat kaya dan miskin, dan miskin yang sangat lemah, setelah melihat perbandingan lemah dan kuat, dan lemah yang sangat lemah itu, dapatlah kiranya tuan membandingkan siapa di antara keduanya itu. Barat dan Timur yang telah teruk sakitnya.

Timur sekarang ini masih miskin. Tetapi Barat 100 kali lebih lemah.

Cobalah tuan rasakan sendiri, bagaimana tekanan batin seseorang yang terlalu banyak menumpahkan darah orang lain, sudah terlalu banyak berhutang, batinnya mulai berontak memberitahu, bahawa hutang mesti dibayar, piutang mesti diterima.

Dan bila kiranya hal itu akan habis, kalau sekiranya kekerasan dibalas dengan kekerasan?




Jangan dinantikan batu dengan batu! Sebab keduanya akan hancur. Jangan ditangkis kemegahan akal dengan kemegahan akal pula. Kedua-duanya sama akan bertemu jalan buntu. Barat telah bankrup karena tamadun yang semacam itu. Orang Timur tidak boleh menampak jejak orang yang pergi ke dalam kehancuran, tetapi berusahalah memegang tangannya dan membawanya naik. Pandanglah alam dari segi kesatuannya. Barat dan Timur, Utara dan Selatan adalah empat sudut dari satu alam. Kita dan dia adalah satu. Karena bercerailah kita keduanya menjadi lemah.

Jangan dilawan akal dengan akal, tetapi taklukkanlah akal dengan khayal. Jangan disambut yang keras dengan yang keras, sebab keduanya pasti binasa. Tetapi sambutlah dengan angin. Penat tangannya mencencang dan berhenti. Senang angin tidak akan luka di dadanya.

Memang, tamadun Barat belum berhenti mengalir masih banyak lekung yang akan diisinya, di Barat, di Utara dan di Selatan. Tetapi kekuatan itu akan patah setelah ia berani menentang cahaya Mentari khayal Timur. Mulanya tentu dia akan murka dengan garangnya. Lantaran murka dia menjadi gelap mata. Sia-sia menjaring angin terasa ada dapat tidak. Akhirnya dia pun mengaku berputus asa.

Maka tampillah ke muka hai Timur! Bubutkan saputangan dari sakumu dan sekalah keringatnya yang mengalir di dahinya. Hapuslah darah yang mengalir dari mulutnya. Dia pada hakikatnya adalah temanmu. Kalau dia binasa, engkau pun akan binasa pula....!

Oleh Dr. Haji Abdul Malik Karim Amrullah (HAMKA)

Dipetik dari majalah Milenia Muslim November 2007 Tahun 5 Bil 63

Khamis, 15 November 2007

Ahli sunah larang ithbat tempat bagi Allah


SOALAN: Sekiranya ada seseorang bukan muslim bertanyakan saya di manakah Allah, apakah jawapan yang sesuai yang saya harus berikan kepada beliau?


JAWAPAN:
Ustaz nukilkan di sini dialog Imam Abu Hanifah dengan seorang ateis (orang yg tidak mengakui atau mempercayai kewujudan Tuhan) bernama Dahri untuk bacaan, sekali gus hujah-hujah logik yang digunakan oleh Imam Abu Hanifah boleh membantu dalam menjelaskan persoalan di manakah Allah?

Pada suatu ketika, kota Baghdad didatangi oleh seorang pendakyah Yahudi bernama Dahri. Kedatangannya mencetuskan kegemparan di kalangan umat Islam.

Dahri cuba merosakkan pegangan umat Islam dengan membahaskan soal-soal yang berhubung kait dengan ketuhanan. Dicabarnya para ulama Baghdad untuk berdebat dengannya. Setiap kali cabarannya disahut, hujah-hujah Dahri tidak pernah dapat dipatahkan sehingga akhirnya tidak ada lagi ulama Baghdad dan ulama-ulama di sekitarnya yang sanggup berhadapan dengannya.

Akhirnya wakil Khalifah menemui Imam Hammad bin Abi Sulaiman Al-Asy’ari, seorang ulama yang tidak kurang hebat ketokohannya serta kredibilitinya.

Khalifah memerintahkan perdebatan antara Imam Hammad dan Dahri disegerakan. Dan ia mesti dibuat di Masjid Jamek di tengah-tengah kota Baghdad. Sehari sebelum itu, Masjid Jamek telah penuh sesak dengan orang ramai.

“Maha suci Allah, maha suci Allah, maha suci Allah, sesungguhnya aku tiada daya usaha melainkan melainkan Allah lah pelindungku Tuhan yang maha tinggi lagi Maha Agung”. Lidah Imam Hammad terus melafazkan kalimat menyucikan segala tohmahan yang tidak layak bagi zat yang Maha Agung. Dia beristighfar terus.

Keesokannya, pagi-pagi lagi muncul Abu Hanifah, murid Imam Hammad yang paling rapat dan yang paling disayanginya. Namanya yang sebenar ialah Nu’man, yang ketika itu usianya masih remaja. Bila ternampak keadaan gurunya yang gundah gulana itu, Abu Hanifah pun bertanya untuk mendapat kepastian. Lalu Imam Hammad menceritakan keadaan yang sebenar.


Membantu guru

Beliau juga memohon izin membantu gurunya berdepan dengan si Dahri. Maka berangkatlah ilmuwan belasan tahun itu bersama gurunya ke Masjid Jamek di mana majlis dialog akan diadakan yang dihadiri oleh orang ramai dan Khalifah. Seperti biasanya, sebelum menyampaikan dakyahnya, Dahri mencabar dan memperlekeh-lekehkan ulama dengan bersuara lantang dari atas pentas.

“Hai Dahri, apalah yang digusarkan. Orang yang mengetahuinya pasti menjawabnya!” Tiba-tiba suara Abu Hanifah memeranjatkan Dahri dan menyentakkan kaum Muslimin yang hadir. Dahri sendiri terkejut. Matanya memandang tajam mata Abu Hanifah yang masih muda.

“Siapa kamu hai anak muda? Berani sungguh menyahut cabaranku...Sedangkan ulama yang hebat-hebat, yang berserban dan berjubah labuh telah ku kalahkan...!” Lantang suara Dahri membidas Abu Hanifah.

“Wahai Dahri,” balas Abu Hanifah, “Sesungguhnya Allah tidak mengurniakan kemuliaan dan kebesaran itu pada serban atau jubah yang labuh. Tetapi Allah mengurniakan kemuliaan kepada orang-orang yang berilmu dan bertakwa”.

Abu Hanifah lalu membacakan firman Allah s.w.t yang bermaksud: Allah telah meninggikan darjat orang beriman dan berimu antara kamu beberapa darjat. (Al-Mujadalah: 11)

Geram rasanya hati Dahri mendengarnya kepetahan lidah pemuda ini berhujah. Maka berlangsunglah majlis dialog.

“Benarkah Allah itu wujud?,” soal Dahri memulakan majlis dialognya.

“Bahkan Allah memang wujud,” tegas Abu Hanifah.

“Kalau Allah maujud (wujud), di manakah tempatnya..?” Suara Dahri semakin meninggi.

“Allah tetap wujud tetapi dia tidak bertempat!” jelas Abu Hanifah.

“Hairan, kau kata Allah itu wujud, tetapi tidak bertempat pula...?” bantah Dahri sambil tersenyum sinis kepada hadirin.

“Ah, itu senang sahaja wahai Dahri. Cuba kau lihat pada dirimu sendiri. Bukankah pada dirimu itu ada nyawa...,” Abu Hanifah berhujah.

“Bahkan, memang aku ada nyawa, dan memang setiap makhluk yang bernafas itu ada nyawa...!,” sahut Dahri.

“Tetapi adakah kau tahu di manakah letaknya nyawa atau rohmu itu...? Dikepalakah, diperutkah atau adakah dihujung tapak kakimu..?” Tersentak Dahri seketika.

Setelah itu Abu Hanifah mengambil segelas susu lalu lalu berkata: “Adakah dalam air susu ini ada terkandung lemak...?”

Pantas Dahri menjawab, “Ya, bahkan!”

Abu Hanifah bertanya lagi, “Kalau begitu di manakah lemak itu berada...? Di bahagian atasnya atau di bawahkah...?” Sekali lagi Dahri tersentak, tidak mampu menjawab pertanyaan Abu Hanifah yang petah itu.

“Untuk mencari di manakah roh dalam jasad dan di manakah kandungan lemak dalam susu ini pun kita tidak upaya, masakan pula kita dapat menjangkau di manakah beradanya Zat Allah s.w.t di alam maya ini? Zat yang mencipta dan mentadbir seluruh alam ini termasuk roh dan akal dangkal kita ini, pun ciptaan-Nya, yang tunduk dan patuh di bawah urusan tadbir kerajaan-Nya Yang Maha Agung...!”

“Hai anak muda! Apakah yang wujud sebelum Allah. Dan apa pula yang muncul selepas Dia nanti...” soal Dahri lagi.

“Wahai Dahri! Tidak ada suatu pun yang wujud sebelum Allah s.w.t dan tidak ada sesuatu jua yang akan muncul selepas-Nya. Allah tetap Qadim dan Azali. Dialah yang Awal dan Dialah yang Akhir,” tegas Abu Hanifah, ringkas tapi padat.

“Pelik sungguh! Mana mungkin begitu....Tuhan wujud tanpa ada permulaannya? Dan mana mungkin Dia pula yang terakhir tanpa ada lagi yang selepas-Nya....?,” Dahri cuba berdalih dengan minda logiknya.

Dengan tersenyum Abu Hanifah menjelaskan, “Ya! Dalilnya ada pada diri kamu sendiri. Cuba kau lihat pada ibu jari mu itu. Jari apakah yang kau nampak berada sebelum jari ini..?” Sambil menuding ibu jarinya ke langit.


Tidak terfikir

Beberapa hadirin turut berbuat demikian. “Dan pada jari manis kau itu, ada lagikah jari yang selepasnya...” Dahri membelek-belek jarinya. Tidak terfikir dia persoalan yang sekecil itu yang diambil oleh Abu Hanifah.”

“Jadi...! Kalaulah pada jari kita yang kecil ini pun, tidak mampu kita fikir, apatah lagi Allah Zat Yang Maha Agung itu, yang tiada suatu pun yang mendahului-Nya dan tiada sesuatu yang kemudian selepas-Nya.”

Sekali lagi Dahri tercenggang. Bungkam. Namun masih tidak berputus asa untuk mematahkan hujah anak muda yang telah memalukannya di khalayak ramai. Khalifah memerhatikan sahaja gelagat Dahri dengan penuh tanda tanya. Dahri berfikir seketika, mencari jalan, mencari idea. Semacam suatu ilham baru telah menyuntik mindanya, iapun tersenyum lalu bertanya.

“Ini soalan yang terakhir buat mu, hai.. budak mentah!,”. Sengaja Dahri mengeraskan suaranya agar rasa malunya itu terperosok, dan seolah-olah memperkecilkan kemampuan Abu Hanifah.

“Allah itu ada, kata mu. Ha! apakah pekerjaan Tuhanmu ketika ini?” Soalan tersebut membuat Abu Hanifah tersenyum riang.

“Ini soalan yang sungguh menarik. Jadi kenalah dijawab dari tempat yang tinggi supaya dapat didengar oleh semua orang,” katanya. Pemuda ideologi Ad-Dahriyyun yang sedari tadi mentalitinya dicabar terus, berjalan turun meninggalkan mimbar masjid Jamek, memberi tempat untuk Abu Hanifah:

“Wahai sekelian manusia. Ketahuilah bahawa kerja Allah ketika ini ialah menggugurkan yang batil sebagaimana Dahri yang berada di atas mimbar, diturunkan Allah ke bawah mimbar. Dan Allah juga telah menaikkan yang hak sebagaimana aku, yang berada di sana, telah dinaikkan ke atas mimbar Masjid Jamek ini... !”

Bagai halilintar, hujah Abu Hanifah menerjah ke dua-dua pipi Dahri. Seiring dengan itu bergemalah pekikan takbir dari orang ramai. Mereka memuji-muji kewibawaan Abu Hanifah yang berjaya menyelamatkan maruah Islam dari lidah Dahri yang sesat lagi menyesatkan itu.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud, Dialah yang awal dan dialah yang akhir, dan yang zahir dan yang batin, dan dialah yang mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (al-Hadid: 3) dalam ayat yang keempat daripada surah yang sama Allah berfirman yang bermaksud, … dan dia tetap bersama kamu di mana sahaja kamu berada.

Maksudnya Allah s.w.t sentiasa mengawasi manusia dengan ilmunya, memerhati, mendengar serta berkuasa ke atas mereka biar di mana sahaja mereka berada. Di dalam fahaman ahli sunnah adalah ditegah mengishbat tempat bagi Allah, dengan menentukan lokasi baginya.

Hanya makhluk sahaja yang memerlukan tempat, namun Allah s.w.t tidak sama dengan makhluk, dan tidak memerlukan apa yang diperlukan oleh makhluk.


Utusan Malaysia 16 November 2007

Rabu, 14 November 2007

Barat kaya akal miskin khayal, Timur kaya khayal miskin akal


Dilarang kita semata-mata menuruti akal, karena akal pun meminta pertolongan kepada pembantunya sendiri, yaitu pancaindra.

"Jangan engkau buat Aku jadi patung, jangan engkau beri bentuk Aku!"


Di dalam kitab suci tua 'Upanisad' terlukislah soal jawab antara Arjuna dengan Kresna. Nampak di sana lukisan khayal, memandang hidup dalam kesatuannya tadi.

Yang lain hanyalah 'maya' belaka, wujud yang fana ke dalam ujud yang baqa.
Dan tidaklah sampai insan meningkat bukit itu kecuali apabila ia meniadakan dirinya (fana) menunjukkan akalnya ke dalam khayal.

"Itulah yang sebenarnya ada," kata Buddha Gautama. Tujulah ke sana supaya tercapai olehmu Nirwana."

"Itulah dia Tao," kata Lao Tze.

"Itulah dia kerajaan yang akan datang, itulah dia Bapa yang di syurga," kata Yesus Kristus.

"Tiada Tuhan melainkan Dia," kata Muhammad.

Dan semuanya itu terlukislah sudah pada ma'bad (rumah persembahan) di Kharnak (Mesir) dengan nama 'Ra'. Semuanya itu terlukislah sudah dalam khayal hokum Hamurabbi.

Terlukislah sudah pada puncaknya piramid, yang tersusun teratur dari bawah sampai ke puncaknya menghadap langit dengan bentuk satu noktah. Melambangkan artinya: "ke sanalah tujuan sebenarnya." Dan di samping piramid tidurlah Sphinx (Aboul Houl), sekerat ke bawah ialah binatang, dan sekerat ke atas ialah manusia. Yang sekerat ke bawah itu adalah melambangkan akal dengan segala pembantunya dan bakatnya yang merunjutkannya ke bumi dan sekerat ke atas adalah melambangkan Insan yang membawanya menghadapi hidup karena khayalnya.

Tuan tercengang, ternganga, memikirkan Darwin yang baru datang kemaren membawa teori 'evolusi'. Akan beransur padamlah lilin kecengangan itu bila tuan renungi kembali Sphinx itu.

Bahagialah bangsa Yunani atau berbahagialah bangsa Barat sekarang ini, kerana Thales telah terlebih dahulu belayar ke Timur, mengharungi lautan besar, bermain khayal dalam deburan ombak lalu timbullah permulaan kebangkitan menyelidik. Maka lahirlah kesimpulan mereka: "Asal segala sesuatu adalah air".


Dari tuntutan khayal yang kaya itu, seluruh Timur dengan pimpinan Nabinya telah mempergunakan akal, memuja suatu yang ditunjukkan khayal itu. Dalam segala bekas tangan dalam jambangan bunga, dalam ma'bad, dalam upacara dan perlambangan, keagamaan, nampaklah keindahan khayal.

Kesudahannya entah kerana kurang periksa atau kurang imbangan, berkacaulah di antara turak dan suri. Kusutlah benang, maka salahlah ragi kain.

Membekulah peribadatan dan persembahan karena pecah berderai himpunan khayal kepada yang Satu.
Alat telah menjadi tujuan, rumus telah menjadi ganti dari yang dirumusi. Pindah pujaan kepada barang kepada batu kepada kayu kepada kubur.

Khayal telah ditinggalkan oleh akal. Ke mana-mana kita berjalan, terdengar nama Allah disebut orang. "Astaghfirullah, Subhanallah, Alhamdulillah." Allah menjadi buah mulut tetapi hanya dari leher ke atas.


Dan Barat pun digila oleh akalnya. Khayalnya telah miskin. Maka pecah berderai pulalah dia dalam bentuk yang lain. Disembahnya buatan tangan sendiri, disembahnya kekuatan akalnya, dimegahkannya hasil tangannya lalu diadunya kepadanya dengan tembok. Lalu dibunuhnya saudaranya dengan hasil akalnya. Berpisahlah dua negeri yang telah miskin.

Orang Timur miskin karena khayalnya ditinggalkan akalnya. Ingatannya telah terpaling dari 'Kesatuan yang ada Yang mutlak' kepada 'maya' belaka. Membeku dan membantu
maka tidak heran jika beratus tahun (di Timur) mereka dapat diperintah, diperbudak, dihisap darahnya oleh yang mempergunakan akal tadi.

Tetapi saudaraku! Ini hanya suatu 'insiden' kecil dalam perjalanan hidup yang masih lama. Karena walaupun kejadian demikian, namun khayal masih tempat akal menyerah. Kita mengaku, memang akal Barat telah menaklukkan kulit dari hidup Timur. Tetapi akal Barat belum dapat dan skali-kali tidak akan dapat menaklukkan khayal dalam kemegahan dan kebesarannya.

Seorang hamba akal dengan megah mendabik dada dan berkata kepada Buddha Gautama, "Hai Sakiamuni! Tidakkah engkau tahu bahawasanya dengan alat baru yang kami peroleh, kami telah dapat mengetahui rahasia puncak gunung kemegahanmu, yaitu Himalaya? Bahkan puncak yang tertinggi sekali, yaitu Everest?" Dengan senyum Buddha Gautama akan menjawab, "Lanjutkanlah perjalananmu ke puncak gunung Nirwana tanpa mempunyai tangga kecuali khayalmu. Dari sana akan dapat kamu lihat 'rahsia' dari 'Yang Ada!'.

Datang lagi yang lain dan berkata kepada Musa, "Alat-alat kami yang baru telah dapat menangkap suara bagaimanapun juga jauhnya." Musa menjawab dengan senyum, "Sumber dari segenap suara itu telah ku dengar ketika aku berada di puncak Tursina."

Kepada Isa al-Masih mereka berkata pula, "Alat pengobatan yang terbaru telah kami peroleh untuk mengobati penyakit yang berbahaya. Dengan senyum pula al-Masih menjawab, "Ilmu penerbangan telah maju dan perhubungan jarak antara satu tempat dengan tempat yang lain dewasa ini telah dapat dilalui dengan tempo yang singkat sekali ya Muhammad Rasulullah!"

Dengan senyum pula Muhammad menjawab, "Dan aku melintasi alam cakerawala, melalui bintang-bintang sampai langit pangkat ke tujuh dan Sidratul Muntaha hanya dalam beberapa saat."


Dengan serentak Buddha, Musa, Isa, Muhammad dan lain-lain mengemukakan satu pertanyaan, tetapi semuanya tidak dapat menjawab karena semuanya terikat oleh akalnya, tetapi dingin khayalannya; "dan sudahkah tuan mendapat alat baru untuk menghubungkan tuan secara langsung dengan sumber tenaga dari segala yang ada?" Dan aku tidak benci melihat mereka terdiam, sebab diam mereka itu adalah suatu pengakuan yang nyata atas "mesti adanya khayal menuntun akal."

Pertentangan karena perselisihan pendapat dengan sendirinya akan hilang. Dan kejadian-kejadian berturut dalam sejarah, menginsafkan Barat dalam kemiskinannya. Dia mengenal Sphinx hanya sekadar ekornya dan mengenal Garuda hanya sekadar paruhnya. Mereka tidak faham ke mana ia terbang dengan sayapnya itu. Itulah sebabnya maka kemajuan Barat itu dalam bentuknya yang selama ini, hanya kemajuan yang cepat sekali menuju keruntuhan.

Memperkaya syahwat tubuh dan berjuang mengejarnya dengan membunuh kawan. Bertambah cepat tamadun dan kemajuan, bertambah banyak orang yang miskin.
Memenuhi perut beberapa orang buat mengosongkan perut bermiliyun-miliyun orang. Telah didapat obat untuk memanjangkan umur, supaya lebih lama hidup di dunia untuk menderita kekosongan batin.

Memperdekat hubungan antara benua dengan benua yang lain, supaya hati bertambah berjauhan kerana penuntunnya hanyalah akal sedang akal itu tetap bodoh.
Tujuan ialah mempermudahkan hidup, mengaspal jalan raya supaya cepat menghancurkan negeri musuh. Padahal yang dikatakan musuh itu ialah saudaranya sendiri.

Meramaikan rumah-rumah tontonan, buat memecah ruang tangga. Berjuang untuk mengurangi jam bekerja, supaya lebih panjang waktu untuk pelesir dan kecabulan.
Akhirnya membunuh kawan dan membunuh diri sendiri, karena bosan hidup. Berperang buat berdamai dan buat berperang lagi. Pendeknya suatu perdamaian hanyalah suatu pengasoan untuk melanjutkan perang. Dan di saat ini terjadi "Air gadang batu bersibak."

Yang satu ditonton oleh kesombongan dan ketakburan dan yang lain ditonton oleh hati dengki dan kebencian. Berlomba mempermodern alat pembunuh, sedang yang diperebutkan hanya satu iaitu roti.

Seorang bertanya, "bukankah agama Kristen yang memancarkan cahayanya dari Timur dan penuh dengan khayal itu telah dipakai oleh bangsa Barat?" Jawabnya, "memang telah dipakainya laksana memakai sehelai baju. Padahal agama itu bukanlah suatu pakaian seperti baju melainkan pakaian hati. Sebab itu, manakala dirinya telah berasa kepanasan "baju itu pun ditanggalkannya."

Datang pula pertanyaan, "bukankah agama Islam telah tersiar amat luas di Timur dan telah masuk ke dalam masyarakat Timur seluruhnya, hingga ke Tiongkok ataupun India? Bukankah agama itu menyuruh mengutamakan akal?" "Memang agama yang dibawa oleh Muhammad itu telah tersiar di Timur dan memang Baginda menyuruh merangkaikan akal dengan khayal. Tetapi sudah berapa abad lamanya agama itu telah tinggal rangka belaka. Dia telah seperti 'anak dagang' dalam negeri sendiri.

Sehingga dari dalam masjid sendiri pun, dia telah pernah diusir. Sebanyak 360 buah berhala telah dihancurkan oleh Muhammad dari keliling Kaabah tetapi umat yang mengakui jadi pengikut dengan diam-diam telah mendirikan berhala yang lain di mana lebih banyak dari 360 buah. Mungkin 3,600 buah atau lebih banyak dari itu.

Mereka telah pergi meminta kurnia dan perlindungan dari kuburan. Dahulu Muhammad menyuruh umatnya menziarahi kuburan siapapun dari umat Islam dan menyuruh menghadiahkan doa untuk orang berkubur di kuburan itu supaya dia dilapangkan Allah di akhirat. Tetapi sebaliknya sekarang umatnya telah memohonkan apa-apa yang dihajatinya kepada orang yang telah mati itu yang seharusnya dihadiahi doa itu.

Oleh Dr. Haji Abdul Malik Karim Amrullah (HAMKA)

Dipetik dari majalah Milenia Muslim isu Oktober 2007 Thn 5 Bil. 62

Jumaat, 28 September 2007

Menghayati pengajaran daripada al-Quran


AL-QURAN diturunkan pada bulan Ramadan. Al-Quran yang secara harfiah bermaksud ‘bacaan sempurna’ merupakan nama pilihan Allah yang sungguh tepat, kerana tiada satu bacaan pun sejak manusia mengenal tulisan lima ribu tahun lalu yang dapat menandingi al-Quran.

Al-Quran yang diturunkan pertama kali kepada Nabi Muhammad s.a.w. inilah yang menjadi panduan dan petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan perbezaan antara yang benar dengan yang palsu selamanya, sepanjang masa dan usia manusia (lihat surah Al-Baqarah ayat 185).

Betapa pentingnya, bulan ini juga disebut sebagai bulan al-Quran. Diceritakan dalam satu hadis bahawa Jibril sering datang kepada Nabi s.a.w. pada setiap Ramadan bagi tujuan memantapkan ayat-ayat yang telah diturunkan. Ibnu Katsir mengatakan bahawa Allah s.w.t. menyanjung bulan Ramadan dibandingkan bulan-bulan yang lain iaitu dengan memilihnya sebagai bulan di mana al-Quran diturunkan.

Orang yang berpuasa dan membaca al-Quran bererti ia telah menyatukan Ramadan dengan al-Quran. Al-Quran yang sering kita ingati nuzulnya ini diturunkan pada bulan Ramadan juga sebagai isyarat menggalakkan umat Islam lebih banyak membaca dan mempelajari al-Quran dengan harapan akan memperoleh petunjuk darinya. Ini kerana orang yang berpuasa itu pada hakikatnya telah menyiapkan wadah hatinya yang sudah disucikan melalui proses puasa bagi menerima petunjuk Ilahi itu.

Al-Quran juga menghimpunkan segala hakikat kebenaran yang diseru oleh seluruh para Nabi dan Rasul sejak Adam, Nuh, Ibrahim, Musa dan Isa (a.s). Sekiranya mereka semua dihidupkan pada masa ini tentu mereka akan menjadi orang pertama menerima dan mengikutinya, kerana itulah bayangan ajaran risalah mereka yang terpancar dari skrin ajaran terakhir (syariat Islam yang maha suci).

Dari hakikat ini umat Islam harus kembali menghayati dan mengamalkan isi kandungan al-Quran serta menciptakan tradisi untuk bersaing dalam menerapkan ayat-ayat tersebut di dalam realiti kehidupan. Apa yang berlaku di kalangan umat Islam sendiri hari ini hanya memuliakan atau mentaqdiskan huruf dan lagu-lagu al-Quran sahaja. Mereka membacanya dengan penuh bertajwid, sedangkan makna dan sebahagian ajarannya dilupakan sama sekali. Dalam hal ini Allah s.w.t. berfirman dalm surah Muhammad ayat 24 yang bermaksud, “Adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran al-Quran)?" Bagaimana al-Quran dapat dijadikan sebagai petunjuk, penjelasan dan pembeza antara yang makruf dan mungkar jika pintu hati kita sentiasa tertutup untuknya.

Hati yang beku dan tertutup inilah juga yang dinyatakan dalam al-Quran surah Al-Araf ayat 179 yang bermaksud: “Dan sesungguhnya kami jadikan untuk neraka jahanam itu banyak jin dan manusia yang mempunyai hati (tetap) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya, dan yang mempunyai telinga tetapi tidak mahu mendengar ajaran dan nasihat.”

Sebab lain yang menjadikan mereka tertutup terhadap ajaran al-Quran ialah kerana, ‘terlalu cintakan dunia’ dan ‘takut mati’. Dunia ini mempesona dan terlalu menarik untuk ditinggalkan sehingga ada orang yang ingin ‘hidup seribu tahun lagi’.

Akibat kebekuan hati manusia kita dapat lihat dalam bentuk tindakannya yang sangat rakus sehingga membawa manusia kepada kebinasaan dan kehancuran. Pembunuhan yang berlaku sesama manusia adalah manifestasi dari hati yang tertutup oleh keimanan dan kebenaran. Ingatlah orang yang selama hidupnya tidak mengetahui makna kasih sayang terhadap orang lain, tidak akan masuk ke dalam hatinya cahaya keimanan.

Sifat perikemanusiaan telah hilang, yang lahir adalah sifat kebinatangan yang tanpa batas. Semuanya itu mencerminkan lunturnya nilai-nilai kemanusiaan yang seharusnya menjadi amalan dan pegangan semua umat Islam.

Malangnya hari ini banyak sekali manusia tidak mampu melihat bencana yang mungkin ditimbulkan oleh watak-watak manusia yang rakus ini kerana ia sudah ditutupi dengan kemewahan duniawi yang melampaui batas.


Oleh MOHD. SHAUKI ABD. MAJID

MOHD. SHAUKI ABD. MAJID ialah Pengurus Penyelidikan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).
Utusan Malaysia 28 September 2007

Pastikan juadah berbuka suci, halal


SEMPENA ketibaan Ramadan al-Mubarak ini, umat Islam berpusu-pusu membanjiri surau dan masjib untuk melakukan solat fardu dan sunat, khususnya solat tarawih.

Namun di sebalik keghairahan itu, umat Islam juga tidak ketinggalan untuk memenuhi hotel-hotel mewah yang menyediakan bufet berbuka puasa.

Nampaknya, sudah menjadi satu yang lazim dan diterima pakai oleh sesetengah orang Islam untuk berbuka puasa di hotel-hotel berstatus tinggi dan eksklusif ini, ketika rumah-rumah anak yatim terus menjadi suram dan kelam tanpa pengunjung meraikan Ramadan.

Setiap tahun setiap kali Ramadan tiba, kian banyak hotel dan rumah-rumah kelab eksklusif (sebahagian besarnya dimiliki dan diuruskan oleh bukan Muslim) menyediakan pelbagai pomosi serta kempen berbuka puasa.

Maka, semakin bertambah ramailah para pengunjung Muslim yang bersedia mengeluarkan ratusan hingga ribuan ringgit untuk berbuka puasa di hotel dan rumah kelab tersebut.

Mungkin, ada yang berpendapat, ini semua satu perkembangan yang baik.

Ia menjadi testimoni bahawa Muslim di Malaysia sebenarnya sudah mempunyai kedudukan ekonomi yang kukuh serta kuasa membeli mereka juga meningkat.

Namun, apa sahaja alasan yang digunakan untuk ‘menghalalkan’ trend atau gaya hidup penuh pembaziran dan penyelewengan erti sebenar berpuasa (yakni menahan diri) ini, umat Islam tetap diperintah untuk berbuka puasa dengan makanan dan minuman halal.

Sebelum tiba Ramadan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah pun memberi peringatan kepada Muslim agar hanya berbuka puasa di tempat-tempat yang memaparkan tanda atau simbol halal Jakim kerana Muslim perlu memilih makanan yang tidak meragukan.

Sehubungan itu, Jakim menggesa pemilik-pemilik premis makanan khususnya di hotel-hotel besar supaya segera memohon sijil halal agar tidak menimbulkan keraguan di kalangan umat Islam yang berbuka puasa di premis mereka.

Bagaimanapun, menurut Pegawai Perhubungan Awam Jakim (Bahagian Hab Halal), Tuan Asmawi Tuan Umar, kebanyakan hotel di negara ini tidak memohon untuk memperbaharui sijil pengesahan halal bahkan borang permohonan untuk logo halal tidak dihantar kepada Jakim.

Malah Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) telah mengambil inisiatif sendiri untuk melakukan semakan melalui laman web Jakim (www.halaljakim.gov.my) berhubung status logo halal hotel-hotel di negara ini.

Semakan di laman web ini menunjukkan majoriti hotel di negara ini terutama di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor tidak mempunyai logo halal yang diiktiraf oleh Jakim.

Namun, di dalam segala kekalutan serta kekeliruan mengenai produk dan premis halal, sikap Muslim terhadap makanan dan minuman halal lebih amat mendukacitakan.

Tidak ramai Muslim yang dilihat ambil peduli atau sekurang-kurangnya bertanya sama ada premis tempat mereka hendak makan itu ada sijil halal atau tidak.

Kalau tidak, masakan hotel-hotel besar di Lembah Klang yang rata-rata tidak mempunyai atau memohon sijil halal dibanjiri Muslim untuk berbuka puasa tanpa sebarang rasa ragu-ragu.

Lebih mengecewakan, media-media baik akhbar dan televisyen yang dikelola oleh Muslim memaparkan tempat-tempat makan yang jelas tidak memiliki logo halal dan tambahan lagi, dimiliki oleh orang bukan Islam.

Memiliki nama premis atau menu masakan berbunyi Melayu atau Islam, serta mempunyai pelayan atau tukang masak Melayu atau Islam belum benar-benar menjamin premis berkenaan menyediakan makanan halal.

Terdapat banyak premis dan menu masakan yang berbunyi Melayu atau Islam, serta mengambil pelayan atau tukang masak Melayu atau Islam, tetapi dimiliki dan diselia oleh bukan Muslim dari aspek pembelian sehinggalah kepada penyediaan perkakas dan bahan untuk makanan serta minuman pelanggan.

Sikap tidak peduli, tidak acuh dan lewa pelanggan Muslim terhadap barangan serta makanan yang mereka beli, sama ada halal atau tidak, amat merisau dan membingungkan.

Persoalan yang boleh ditanya ialah: Apa gunanya logo atau simbol halal jika umat Islam sendiri tidak mempedulinya? Baik dibakulsampahkan logo-logo tersebut.

Menurut satu anggaran tidak rasmi, penduduk Islam di negara ini mempunyai kuasa membeli bernilai lebih RM6 bilion sebulan atau RM72 bilion setahun.

Bayangkan kalau kuasa membeli itu digunakan untuk membeli barangan halal sahaja dan produk dihasilkan oleh syarikat-syarikat Islam.

Sebagai pelanggan yang mempunyai kuasa membeli yang dilaporkan kian meningkat, Muslim mempunyai kuasa untuk mendesak premis-premis makanan termasuk hotel besar dan rumah kelab mempunyai logo halal.

Dengan tindakan tidak mengunjungi mana-mana premis makanan yang tidak mempunyai logo halal, umat Islam boleh memastikan makanan dan minuman yang disediakan terjamin halal dan tanpa was was setiap masa.

Kita tidak lagi boleh bergantung semata-mata kepada pihak berkuasa seperti Jakim untuk menguatkuasakan undang-undang serta peraturan tentang makanan halal kerana ia jelas amat tidak mencukupi.

Umat Islam perlu mempunyai kesedaran bahawa wang mereka ada kuasa.

Muslim bukan sahaja mempunyai kuasa untuk membeli segala barangan yang diperlukan, baik yang berharga mahal atau tidak, tetapi juga menentukan bagaimana barang-barang tersebut disediakan.

Dengan kuasa membeli bernilai kira-kira RM72 bilion setahun, kuasa Muslim sebenar besar dan tidak tertanding oleh bukan Islam.


Oleh GAMAL NASIR MOHD. ALI
Utusan Malaysia 28 September 2007

Khamis, 27 September 2007

Islam iktiraf ujian DNA


UJIAN asid deoksiribonukleik (DNA) memang diketahui oleh kebanyakan kita sebagai ujian klinikal yang digunakan untuk mensabitkan kesalahan bagi penjenayah, mengenal nasab keturunan, pengecaman anggota tubuh yang terputus dan mengenal pasti jantina.

Ujian DNA wujud kerana kepesatan pembangunan sains dan teknologi, dan dalam hal ini, tamadun Islam sangat mengiktiraf penggunaan sains dan teknologi kerana ia sebenarnya mampu menyelesaikan permasalahan umat manusia. Malah, sebahagian daripada ayat-ayat al-Quran yang dianugerahkan kepada manusia sebenarnya membentuk nilai-nilai dan rahsia sains.

Selanjutnya, mereka yang berada dalam kerjaya ini adalah kalangan pakar yang diiktiraf dan pandangan mereka memang diterima oleh mahkamah sebagai salah satu cabang keterangan (Al-Bayyinah) dalam membuat keputusan perbicaraan. (Dr. Zulfakar Ramlee Saad, ‘Keterangan Forensik dalam Islam’, Majalah VISI, November 2006).

Bersama prinsip-prinsip keadilan yang lain, ia digunapakai dalam undang-undang keterangan yang dipakai oleh Mahkamah Syariah. Umpamanya dalam Akta Keterangan Mahkamah Syariah (AKMS) Wilayah-Wilayah Persekutuan dalam Bahagian: Bila Pendapat Orang Ketiga Menjadi Qarinah, dalam Seksyen 33(2) yang memperuntukkan; “Orang yang sedemikian itu dipanggil pakar.”

Kes Hilal bin Umaiyah adalah kes li‘an yang pertama dalam perundangan Islam. Ia pembubaran perkahwinan yang sekali gus menafikan anak yang dikandung isteri Hilal adalah daripada benih pihak suami. Sabda Rasulullah sebagai susulan daripada kes ini merupakan prinsip-prinsip qiyafah (iaitu penentuan nasab berdasarkan persamaan atau iras di antara seorang dengan seorang yang lain) yang mempunyai keselarian dan padanan dengan kaedah ujian DNA.

Antaranya ia bermaksud, “Lihatlah nanti ciri-ciri anak yang dilahirkan, seandainya anak tersebut memiliki anak mata yang hitam, berpaha besar dan betis yang berisi, maka sifat-sifat ini lebih mirip kepada lelaki yang dituduh berzina dengan isteri Hilal, iaitu Suraik bin Sahma.” Setelah isteri Hilal melahirkan anak, si kecil itu dikatakan mempunyai sifat-sifat yang telah dinyatakan oleh Rasulullah, lalu Baginda memberikan penegasan, “Sekiranya bukan menjadi ketetapan al-Quran (iaitu melalui li‘an), pasti antara aku dengan dia (isteri Hilal) ada perkara yang perlu diselesaikan.”

Dalam satu keadaan yang lain seorang lelaki Arab daripada Bani Fazarah menemui Nabi mengadu hal anaknya yang dilahirkan oleh isterinya dan bayi tersebut berkulit hitam sedangkan dia dan isterinya sama-sama dari kalangan Arab.

Baginda menyoalnya semula dengan melahirkan satu perbincangan yang mengarah kepada suatu jawapan dan rumusan yang penuh hikmah dengan mengumpamakan keturunan manusia dengan susur galur keturunan unta yang dipeliharanya.

Akhirnya lelaki Arab tersebut berpuas hati kerana mendapat kesimpulan bahawa anak yang dilahirkan itu mempunyai warna kulit yang berbeza dengannya atau isterinya kerana dia mewarisi warna kulit nenek moyangnya.

Dalam Mahkamah Syariah, kaedah seperti ini iaitu pembuktian forensik dan saintifik dikemukakan di bawah peruntukan pendapat pakar umpamanya Seksyen 33(1) AKMS Wilayah-Wilayah Persekutuan yang menyebut:

Ketulenan
“Apabila mahkamah perlu membuat sesuatu pendapat atas sesuatu perkara mengenai undang-undang negara asing atau mengenai sains atau seni, atau berkenaan identiti atau ketulenan tulisan tangan atau cap jari, atau berhubungan dengan penentuan nasab, maka pendapat atas perkara itu daripada orang yang mempunyai kemahiran khusus dalam undang-undang negara asing, sains atau seni itu, atau dalam soal tentang identiti atau ketulenan tulisan tangan atau cap jari, atau berhubungan dengan penentuan nasab, ialah qarinah.”

Sejak dahulu lagi manusia mengaitkan darah dengan pembunuhan. Melalui pendekatan sedemikianlah saudara-saudara Nabi Yusuf cuba memperdayakan ayahanda mereka, Nabi Yaakub berikutan kehilangan Nabi Yusuf.

Ketika zaman Rasulullah pula pertelingkahan yang berlaku di antara dua saudara yang mendakwa telah membunuh Abu Jahal semasa Perang Badar juga telah diselesaikan dengan cara melihat kesan darah yang terdapat di pedang mereka.

Apa yang dibincangkan ini menunjukkan bahawa dengan keterangan-keterangan yang dinyatakan dalam al-Quran, manusia sebenarnya sentiasa dapat mengungkai persoalan dan permasalahannya sendiri sekalipun zaman dan masa berubah.

Walaupun keterangan forensik melalui ujian DNA berada dalam kategori qarinah, dan qarinah menjadi sebahagian daripada bayyinah (keterangan) dengan kedudukannya tidak sama seperti syahadah (kesaksian) dan iqrar, tetapi ia masih dapat membantu para penyiasat dan pihak berkuasa untuk mendapatkan tahap pembuktian sekurang-kurangnya di peringkat ghalabah al-dhan (beyond doubt). Pensabitan nasab/identiti melalui DNA dikatakan mencapai ketepatan melebih 99.9 peratus yang hampir mencapai tahap yakin. Pendekatan ini selaras dengan pandangan sesetengah ulama menyatakan bahawa tahap yakin yang perlu untuk mensabitkan kes-kes jenayah bukanlah semata-mata dengan pendekatan kesaksian atau iqrar. Gabungan beberapa keterangan yang saling kuat-menguatkan antara satu sama lain juga boleh membawa kepada tahap yakin, sekali gus memberi pengajaran kepada pihak penjenayah bahawa mereka tidak mudah terlepas begitu sahaja.


Oleh SITI SHAMSIAH MD. SUPI

SITI SHAMSIAH MD SUPI ialah Pegawai Penyelidik Pusat Syariah, Undang-Undang dan Sains Politik.
Utusan Malaysia 28 September 2007

Amalan jihad melindung agama Allah


SAYA pelajar institut pengajian tinggi awam dan mempunyai kenalan sekuliah beragama Hindu. Dia bertanyakan soalan mengenai penghayatan umat Islam yang lebih menonjol pada Ramadan. Pemerhatiannya seolah-olah menyatakan Ramadan adalah bulan jihad Islam. Dia pernah bertanya adakah jihad termasuk dalam pengajaran agama Islam, jika jihad termasuk dalam ajaran Islam bagaimanakah untuk membuktikannya?

Siswa ingin tahu,
Bangi.


RAMADAN sebagai bulan ibadat, penuh rahmat dan barakah menciptakan suasana keagamaan dan spiritual di kalangan umat Islam. Di dalamnya ada pelbagai modul, sesi, kaedah latihan dan mujahadah seperti menahan diri supaya tidak makan dan minum serta menahan marah.

Kita juga digalakkan memperbanyakkan ibadat serta meninggalkan perkara mungkar. Boleh dikatakan Ramadan adalah bulan latihan dan jihad membina jiwa suka berkorban, membangkitkan spiritual dan jati diri Muslim.

Jihad adalah salah satu bahagian utama Islam. Dari sudut bahasa, jihad bermaksud kesungguhan dan keinginan. Keinginan teman saudara mempelajari atau mengambil tahu mengenai Islam boleh ditakrifkan sebagai jihad. Mungkin ini boleh memberi gambaran lebih jelas kepada beliau konsep umum jihad.

Tetapi sebelum itu harus kita amati dan fahami apakah pengertian jihad itu terlebih dulu kerana secara langsung menjawab persoalan mengapa ia penting dalam Islam. Media Barat khususnya sudah menyempitkan pengertian jihad dan menyamakannya dengan keganasan.

Jihad secara umumnya bermaksud berusaha bersungguh-sungguh ke arah sesuatu yang ideal atau ke arah mencari reda Allah. Contohnya, kita wajib solat kerana ia tunggak agama dan kita juga maklum solat berjemaah di masjid ganjarannya adalah berganda.

Kita juga sedia maklum, bukan semua orang boleh bangun awal pagi semata-mata untuk bersolat Subuh berjemaah. Tetapi bagi yang insaf dan sanggup, dia akan berusaha bersungguh-sungguh mengatasi sama ada sifat malas, tarikan nafsunya untuk terus tidur dan sebagainya.

Usaha ini adalah jihad. Rasulullah SAW bersabda, jihad yang paling besar ialah jihad menentang hawa nafsu kita sendiri. Ini dalam konteks peribadi. Begitu juga dalam konteks keluarga dan masyarakat. Segala usaha gigih kita untuk menyampaikan mesej Islam adalah jihad.

Perkara yang sering menjadi tumpuan media atau pihak tertentu apabila berbicara mengenai istilah jihad ini ialah jihad mempertahankan Islam atau jihad menentang mereka yang mencabul kedaulatan Islam.

Antara dalil mengenai jihad ialah firman Allah yang bermaksud: "Tetapi Rasul dan orang yang beriman bersamanya, mereka berjihad dengan harta dan diri mereka. Dan mereka itulah orang yang beroleh kebaikan, dan mereka orang yang beruntung." (Surah At-Taubah, ayat 88)

Allah berfirman yang bermaksud: "Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, pada hal belum nyata bagi Allah orang yang berjihad di antaramu, dan belum nyata orang yang sabar." (Surah Al-Imran, ayat 142)

Jihad dalam ayat itu merujuk kepada pengertian berperang menegakkan Islam dan melindungi orang Islam, memerangi hawa nafsu, mendermakan harta untuk Islam dan membanteras yang batil dan menegakkan yang benar.

Bagaimana menjadikan setiap amalan kita itu yang terbaik melainkan kita bersungguh-sungguh. Bagaimana mungkin boleh kita katakan kita sudah berikan yang terbaik melainkan selepas kita korbankan sedikit kesenangan seperti bersolat Subuh berjemaah.

Adalah mudah untuk masuk syurga, tapi harganya tidak murah. Mudah kerana Allah menggariskan apa yang perlu kita lakukan, Rasulullah SAW pula menunjukkan jalannya. Tetapi ia tidak murah kerana yang harus kita korbankan ialah apa kita amat sayang, suka atau amat hargai. Dan pengorbanan yang paling tinggi ialah dengan nyawa kita bila keadaan memerlukan.


Jawapan disediakan Amir Razelan dengan kerjasama Wanita JIM. Sebarang persoalan dan jawapan yang lalu sila lawati www.bicarakalbu.blogspot.com.

Berita Harian 28 September 2007

Ramadan uji kesabaran beramal, nafsu dan kepayahan


RAMADAN al-Mubarak bagaikan setompok tanah subur yang dapat menumbuhkan segala macam tanaman dan menghasilkan manfaat. Umat Islam sewajarnya mempergunakan masa cukup berharga sepanjang Ramadan untuk memperbanyakkan amal dan mendekatkan diri kepada Allah.

Walaupun berpuasa itu pada zahirnya mengubah soal lahiriah seperti makan, minum dan hubungan kelamin pada siang hari, tetapi dari segi hakikatnya, puasa (Ramadan) itu diperintahkan bertujuan mengubah mental dan spiritual manusia.

Puasa seharusnya mengubah seseorang tampil menjadi insan yang baik akhlak, tingkah lakunya, serta meninggalkan apa saja tabiat atau kebiasaan tidak baik lalu menggantikannya dengan akhlak mulia dalam waktu yang agak lama iaitu sebulan penuh.

Ini bermakna suatu latihan yang berat bagi umat Islam untuk dijadikan amal selanjutnya, sehingga mereka akan menjadi insan muttaqin. Jelasnya, matlamat akhir daripada pelaksanaan puasa Ramadan itu ialah untuk membentuk manusia bertakwa.

Ketakwaan itu ialah pemeliharaan diri daripada segala perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah dan seksa-Nya. Hal itu akan terlaksana dengan cara mentaati segala titah perintah Allah, mengawasi dan menjaga diri daripada godaan hawa nafsu serta membersihkan diri daripada segala macam sifat tercela.

Antara rahsia penting berpuasa ialah melatih kita supaya bersifat sabar dan sifat sabar hasil didikan Ramadan itu mudah-mudahan terus diamalkan selepas tamat bulan mulia itu. Memanglah bagi sebahagian umat Islam, berpuasa sebulan Ramadan itu menjadi satu kepayahan dan penderitaan, kerana terpaksa menahan diri daripada memenuhi tabiat makan, minum dan hubungan suami isteri di siang hari.

Jasmani menjadi lemah disebabkan lapar dan dahaga, lalu dengan demikian ghairah bekerja menjadi berkurang. Tetapi bagi Muslim yang taat, segala kepayahan dan penderitaan ketika berpuasa akan diterima dan ditempuh dengan penuh kesabaran dan ikhlas kerana Allah.

Ada tiga macam kesabaran dalam ibadat puasa, iaitu sabar kerana patuh mengerjakan suruhan Allah, sabar kerana mengekang hawa nafsu dan sabar kerana menderita kepayahan lapar dan dahaga. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Puasa itu separuh sabar dan sabar itu separuh daripada iman.”

Sesungguhnya Ramadan ibarat stesen bahan bakar yang membekal kekuatan jiwa manusia dan bekal rohani juga moral bagi perjalanan hidup, iaitu kesabaran. Terhadap orang yang sabar, Allah sudah berjanji menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami akan memberikan kepada orang-orang yang sabar dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang sudah mereka kerjakan.” (Surah An-Nahl, ayat 96)

Benarlah puasa adalah pusat latihan untuk memantapkan rohaniah atau jiwa manusia. Dengan berpuasa, setiap mukmin melatih diri sendiri untuk bersikap patuh dan taat terhadap Allah. Seorang yang sedang berpuasa, dalam rumahnya tersedia makanan dan minuman yang lazat rasanya tetapi dia mampu mengawal keinginannya itu, walaupun jika dilanggarnya tidak ada manusia lain yang melihat atau mengetahuinya.

Inilah didikan puasa. Kemampuan menguasai keinginan itu sendiri adalah satu kepatuhan yang murni. Mukmin yang lulus dalam latihan sedemikian diharapkan akan lulus pula dalam mematuhi pelbagai peraturan lain dalam masyarakat dan negara.

Ramadan memang bulan yang agung dan terbaik. Semoga Ramadan kali ini bermakna bagi kita iaitu dengan menghayati puasa dan beribadah sebaiknya. Jadikan Ramadan sebagai detik untuk berubah ke arah lebih baik, bukan meneruskan perbuatan membazir dan melekakan.


Oleh Wan Aminurrashid Abd Hamid
Berita Harian 28 September 2007

Bermabit di luar kawasan masih sah


Bermalam di Muzdalifah

MUZDALIFAH adalah tempat jemaah haji perlu bermalam pada malam 10 Zulhijah sebagai syarat wajib haji. Mereka perlu berada di Muzdalifah walaupun sekejap antara tengah malam 10 Zulhijah hingga fajar 10 Zulhijah.

Bermalam itu adalah syarat wajib dalam ibadat haji dan jika tidak sempurna bermalam itu tanpa uzur syarie, jemaah haji akan dituntut membayar dam. Dam dikenakan sebagai ganti kerana meninggal salah satu syarat wajib haji. Jika tidak membayar dam disebabkan kesalahan itu, maka hajinya tergantung sehinggalah ia menjelaskan dam berkenaan.

Dam itu dikenali sebagai dam tertib dan takdir iaitu menyembelih seekor kibas, kambing atau satu pertujuh daripada lembu, unta atau kerbau. Jika tak berkuasa, hendaklah berpuasa 10 hari, tiga hari pada masa haji dan tujuh hari apabila balik ke tempatnya.

Jika tidak berupaya disebabkan tua, hendaklah dikeluarkan satu cupak tiap-tiap satu hari (10 cupak). Jika tidak berdaya juga, tertangguhlah di atas zimmanya (orang yang bertanggungjawab ke atasnya).

Bagaimanapun, penulisan kali ini bukan untuk mengetengahkan mengenai bermalam di Muzdalifah tetapi memfokuskan kepada bumi Muzdalifah yang sentiasa menyaksikan berlaku perubahan dari sudut pengurusan berkaitan ibadat bermalam di Muzdalifah.

Permasalahannya ialah apa hukum bermalam di Muzdalifah bagi jemaah haji yang ditempatkan di kawasan Muhassir akibat tidak ada tempat disebabkan terlampau ramai jemaah haji. Arahan daripada Kerajaan Arab Saudi, kawasan itu adalah kawasan untuk bermalam di Muzdalifah, sedangkan kawasan berkenaan zaman sebelumnya tidak ditempatkan jemaah haji. Tempat itu dinamakan Muhassir, lembah yang terletak antara Muzdalifah dan Mina.

Mengikut Imam Syafie dalam Al-Umm, Muzdalifah bermula daripada dua Ma'zamai (banjaran) Arafah hingga sampai ke Qam (tunduk lingkungan) Muhassir. Qam Muhassir ialah tempat di sebelah kanan dan kiri tempat berkenaan. Tempat belakang, hadapan, lembah dan bukit kawasan itu semuanya adalah Muzdalifah.

Permasalahan yang timbul kini, bilangan jemaah haji semakin bertambah dari setahun ke setahun. Justeru, apakah dibolehkan jemaah menjadikan tempat bermalam diluaskan ke kawasan Mina/Muzdalifah melebihi kawasan asal iaitu Muhassir.

Apakah boleh dan sah bermalam di Muzdalifah di luar kawasan asal yang sudah ditentukan. Apakah kawasan yang dimaksudkan Muhassir itu sah bermalam bagi Muzdalifah disebabkan keadaan darurat dalam suasana jemaah haji yang terlampau ramai.

Nabi SAW tidak menjelaskan secara tepat sempadan kedudukan Muzdalifah dan Mina. Ia menjadi bahan ijtihad fukaha kerana ketiadaan nas qat'ie (jelas) mengenainya.

Mengikut Prof Dr Wahbah Al Zuhali, Batnu (wadi) Muhassir adalah kawasan antara Mina dan Muzdalifah. Al-Hanafiah menyatakan makruh bermalam Muzdalifah di Muhassir, tetapi jika bermalam juga di situ ia tetap sah tetapi makruh.

Juga mafhum daripada kata Iman Al Hanafiah ini, boleh bermalam dalam keadaan terpaksa dan sah menurut Al-Hanafiah juga bermalam keseluruhan malam hingga ke fajar hari ke 10 Zulhijah di Muzdalifah adalah sunat, tetapi berhenti atau lalu sekejap dalam sebarang keadaan di Muzdalifah adalah wajib.

Bekas Ketua Hakim Syarie Qatr, Al Syeikh Abdullah Zaid Al-Mahmud pula menyatakan jika Mina dipenuhi manusia, maka harus untuk turun bermalam di mana-mana kawasan sekitarnya daripada bumi Muzdalifah, Arafah atau Muhassir. Ia berlaku akibat darurat yang perlu diambil menurut kadarnya dan kesulitan mendatangkan kesenangan.

Mufti Besar Arab Saudi, Al-Marhum Al-Syaik Ben Bez pula menfatwakan apabila seorang jemaah haji berusaha mencari tempat untuk bermabit di Mina tetapi tidak mendapat tempat, maka tidak menjadi masalah dia bermabit di luarnya dan tiada dam baginya kerana dia tiada kemampuan.

Menurut Prof Manna' Khalil al- Qatan, adalah boleh menganggap semua tempat ini sebagai tempat Mauqif (berhenti) dan mabit (bermalam) atas dua sebab:

> Kaedah umum fikah (darurat membenarkan perkara yang luar daripada kebiasaan)
> Kaedah usul fikah (hajat boleh menempati tempat darurat yang am atau khas)

Jelasnya, jika hukum ini berlaku kepada bermalam di Muzdalifah dikira sah, maka ia juga boleh diterima pakai jika perkara ini berlaku kepada masalah bermalam di Mina. Dengan kata lain, sah jika dalam keadaan darurat bermalam di Muhassir kerana ketiadaan tempat untuk bermalam.

Keadaan itu juga boleh berlaku kepada bumi Mina, jika tidak ada tempat untuk bermalam di Mina disebabkan tidak ada tempat duduk yang sempurna dan juga bersandar kepada keselamatan jemaah haji walaupun di Muhassir.

Oleh itu, perlu diingat juga apa-apa perubahan, pembaharuan dan pembangunan yang dibuat oleh Kerajaan Arab Saudi sama ada di Jamrah (tempat melontar), tempat sai, kawasan Masjidil Haram dan lain-lain tempat sudah diambil kira segi hukum dan sahnya dalam melaksanakan ibadat haji.


Oleh Tengku Aziz Raja Abdullah

Penulis ialah Pengurus Besar (Bimbingan) Lembaga Tabung Haji
Berita Harian 28 September 2007