AL-QURAN diturunkan pada bulan Ramadan. Al-Quran yang secara harfiah bermaksud ‘bacaan sempurna’ merupakan nama pilihan Allah yang sungguh tepat, kerana tiada satu bacaan pun sejak manusia mengenal tulisan lima ribu tahun lalu yang dapat menandingi al-Quran.
Al-Quran yang diturunkan pertama kali kepada Nabi Muhammad s.a.w. inilah yang menjadi panduan dan petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan perbezaan antara yang benar dengan yang palsu selamanya, sepanjang masa dan usia manusia (lihat surah Al-Baqarah ayat 185).
Betapa pentingnya, bulan ini juga disebut sebagai bulan al-Quran. Diceritakan dalam satu hadis bahawa Jibril sering datang kepada Nabi s.a.w. pada setiap Ramadan bagi tujuan memantapkan ayat-ayat yang telah diturunkan. Ibnu Katsir mengatakan bahawa Allah s.w.t. menyanjung bulan Ramadan dibandingkan bulan-bulan yang lain iaitu dengan memilihnya sebagai bulan di mana al-Quran diturunkan.
Orang yang berpuasa dan membaca al-Quran bererti ia telah menyatukan Ramadan dengan al-Quran. Al-Quran yang sering kita ingati nuzulnya ini diturunkan pada bulan Ramadan juga sebagai isyarat menggalakkan umat Islam lebih banyak membaca dan mempelajari al-Quran dengan harapan akan memperoleh petunjuk darinya. Ini kerana orang yang berpuasa itu pada hakikatnya telah menyiapkan wadah hatinya yang sudah disucikan melalui proses puasa bagi menerima petunjuk Ilahi itu.
Al-Quran juga menghimpunkan segala hakikat kebenaran yang diseru oleh seluruh para Nabi dan Rasul sejak Adam, Nuh, Ibrahim, Musa dan Isa (a.s). Sekiranya mereka semua dihidupkan pada masa ini tentu mereka akan menjadi orang pertama menerima dan mengikutinya, kerana itulah bayangan ajaran risalah mereka yang terpancar dari skrin ajaran terakhir (syariat Islam yang maha suci).
Dari hakikat ini umat Islam harus kembali menghayati dan mengamalkan isi kandungan al-Quran serta menciptakan tradisi untuk bersaing dalam menerapkan ayat-ayat tersebut di dalam realiti kehidupan. Apa yang berlaku di kalangan umat Islam sendiri hari ini hanya memuliakan atau mentaqdiskan huruf dan lagu-lagu al-Quran sahaja. Mereka membacanya dengan penuh bertajwid, sedangkan makna dan sebahagian ajarannya dilupakan sama sekali. Dalam hal ini Allah s.w.t. berfirman dalm surah Muhammad ayat 24 yang bermaksud, “Adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran al-Quran)?" Bagaimana al-Quran dapat dijadikan sebagai petunjuk, penjelasan dan pembeza antara yang makruf dan mungkar jika pintu hati kita sentiasa tertutup untuknya.
Hati yang beku dan tertutup inilah juga yang dinyatakan dalam al-Quran surah Al-Araf ayat 179 yang bermaksud: “Dan sesungguhnya kami jadikan untuk neraka jahanam itu banyak jin dan manusia yang mempunyai hati (tetap) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya, dan yang mempunyai telinga tetapi tidak mahu mendengar ajaran dan nasihat.”
Sebab lain yang menjadikan mereka tertutup terhadap ajaran al-Quran ialah kerana, ‘terlalu cintakan dunia’ dan ‘takut mati’. Dunia ini mempesona dan terlalu menarik untuk ditinggalkan sehingga ada orang yang ingin ‘hidup seribu tahun lagi’.
Akibat kebekuan hati manusia kita dapat lihat dalam bentuk tindakannya yang sangat rakus sehingga membawa manusia kepada kebinasaan dan kehancuran. Pembunuhan yang berlaku sesama manusia adalah manifestasi dari hati yang tertutup oleh keimanan dan kebenaran. Ingatlah orang yang selama hidupnya tidak mengetahui makna kasih sayang terhadap orang lain, tidak akan masuk ke dalam hatinya cahaya keimanan.
Sifat perikemanusiaan telah hilang, yang lahir adalah sifat kebinatangan yang tanpa batas. Semuanya itu mencerminkan lunturnya nilai-nilai kemanusiaan yang seharusnya menjadi amalan dan pegangan semua umat Islam.
Malangnya hari ini banyak sekali manusia tidak mampu melihat bencana yang mungkin ditimbulkan oleh watak-watak manusia yang rakus ini kerana ia sudah ditutupi dengan kemewahan duniawi yang melampaui batas.
Oleh MOHD. SHAUKI ABD. MAJID
MOHD. SHAUKI ABD. MAJID ialah Pengurus Penyelidikan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).
Utusan Malaysia 28 September 2007