SEMPENA ketibaan Ramadan al-Mubarak ini, umat Islam berpusu-pusu membanjiri surau dan masjib untuk melakukan solat fardu dan sunat, khususnya solat tarawih.
Namun di sebalik keghairahan itu, umat Islam juga tidak ketinggalan untuk memenuhi hotel-hotel mewah yang menyediakan bufet berbuka puasa.
Nampaknya, sudah menjadi satu yang lazim dan diterima pakai oleh sesetengah orang Islam untuk berbuka puasa di hotel-hotel berstatus tinggi dan eksklusif ini, ketika rumah-rumah anak yatim terus menjadi suram dan kelam tanpa pengunjung meraikan Ramadan.
Setiap tahun setiap kali Ramadan tiba, kian banyak hotel dan rumah-rumah kelab eksklusif (sebahagian besarnya dimiliki dan diuruskan oleh bukan Muslim) menyediakan pelbagai pomosi serta kempen berbuka puasa.
Maka, semakin bertambah ramailah para pengunjung Muslim yang bersedia mengeluarkan ratusan hingga ribuan ringgit untuk berbuka puasa di hotel dan rumah kelab tersebut.
Mungkin, ada yang berpendapat, ini semua satu perkembangan yang baik.
Ia menjadi testimoni bahawa Muslim di Malaysia sebenarnya sudah mempunyai kedudukan ekonomi yang kukuh serta kuasa membeli mereka juga meningkat.
Namun, apa sahaja alasan yang digunakan untuk ‘menghalalkan’ trend atau gaya hidup penuh pembaziran dan penyelewengan erti sebenar berpuasa (yakni menahan diri) ini, umat Islam tetap diperintah untuk berbuka puasa dengan makanan dan minuman halal.
Sebelum tiba Ramadan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah pun memberi peringatan kepada Muslim agar hanya berbuka puasa di tempat-tempat yang memaparkan tanda atau simbol halal Jakim kerana Muslim perlu memilih makanan yang tidak meragukan.
Sehubungan itu, Jakim menggesa pemilik-pemilik premis makanan khususnya di hotel-hotel besar supaya segera memohon sijil halal agar tidak menimbulkan keraguan di kalangan umat Islam yang berbuka puasa di premis mereka.
Bagaimanapun, menurut Pegawai Perhubungan Awam Jakim (Bahagian Hab Halal), Tuan Asmawi Tuan Umar, kebanyakan hotel di negara ini tidak memohon untuk memperbaharui sijil pengesahan halal bahkan borang permohonan untuk logo halal tidak dihantar kepada Jakim.
Malah Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) telah mengambil inisiatif sendiri untuk melakukan semakan melalui laman web Jakim (www.halaljakim.gov.my) berhubung status logo halal hotel-hotel di negara ini.
Semakan di laman web ini menunjukkan majoriti hotel di negara ini terutama di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor tidak mempunyai logo halal yang diiktiraf oleh Jakim.
Namun, di dalam segala kekalutan serta kekeliruan mengenai produk dan premis halal, sikap Muslim terhadap makanan dan minuman halal lebih amat mendukacitakan.
Tidak ramai Muslim yang dilihat ambil peduli atau sekurang-kurangnya bertanya sama ada premis tempat mereka hendak makan itu ada sijil halal atau tidak.
Kalau tidak, masakan hotel-hotel besar di Lembah Klang yang rata-rata tidak mempunyai atau memohon sijil halal dibanjiri Muslim untuk berbuka puasa tanpa sebarang rasa ragu-ragu.
Lebih mengecewakan, media-media baik akhbar dan televisyen yang dikelola oleh Muslim memaparkan tempat-tempat makan yang jelas tidak memiliki logo halal dan tambahan lagi, dimiliki oleh orang bukan Islam.
Memiliki nama premis atau menu masakan berbunyi Melayu atau Islam, serta mempunyai pelayan atau tukang masak Melayu atau Islam belum benar-benar menjamin premis berkenaan menyediakan makanan halal.
Terdapat banyak premis dan menu masakan yang berbunyi Melayu atau Islam, serta mengambil pelayan atau tukang masak Melayu atau Islam, tetapi dimiliki dan diselia oleh bukan Muslim dari aspek pembelian sehinggalah kepada penyediaan perkakas dan bahan untuk makanan serta minuman pelanggan.
Sikap tidak peduli, tidak acuh dan lewa pelanggan Muslim terhadap barangan serta makanan yang mereka beli, sama ada halal atau tidak, amat merisau dan membingungkan.
Persoalan yang boleh ditanya ialah: Apa gunanya logo atau simbol halal jika umat Islam sendiri tidak mempedulinya? Baik dibakulsampahkan logo-logo tersebut.
Menurut satu anggaran tidak rasmi, penduduk Islam di negara ini mempunyai kuasa membeli bernilai lebih RM6 bilion sebulan atau RM72 bilion setahun.
Bayangkan kalau kuasa membeli itu digunakan untuk membeli barangan halal sahaja dan produk dihasilkan oleh syarikat-syarikat Islam.
Sebagai pelanggan yang mempunyai kuasa membeli yang dilaporkan kian meningkat, Muslim mempunyai kuasa untuk mendesak premis-premis makanan termasuk hotel besar dan rumah kelab mempunyai logo halal.
Dengan tindakan tidak mengunjungi mana-mana premis makanan yang tidak mempunyai logo halal, umat Islam boleh memastikan makanan dan minuman yang disediakan terjamin halal dan tanpa was was setiap masa.
Kita tidak lagi boleh bergantung semata-mata kepada pihak berkuasa seperti Jakim untuk menguatkuasakan undang-undang serta peraturan tentang makanan halal kerana ia jelas amat tidak mencukupi.
Umat Islam perlu mempunyai kesedaran bahawa wang mereka ada kuasa.
Muslim bukan sahaja mempunyai kuasa untuk membeli segala barangan yang diperlukan, baik yang berharga mahal atau tidak, tetapi juga menentukan bagaimana barang-barang tersebut disediakan.
Dengan kuasa membeli bernilai kira-kira RM72 bilion setahun, kuasa Muslim sebenar besar dan tidak tertanding oleh bukan Islam.
Oleh GAMAL NASIR MOHD. ALI
Utusan Malaysia 28 September 2007