UJIAN asid deoksiribonukleik (DNA) memang diketahui oleh kebanyakan kita sebagai ujian klinikal yang digunakan untuk mensabitkan kesalahan bagi penjenayah, mengenal nasab keturunan, pengecaman anggota tubuh yang terputus dan mengenal pasti jantina.
Ujian DNA wujud kerana kepesatan pembangunan sains dan teknologi, dan dalam hal ini, tamadun Islam sangat mengiktiraf penggunaan sains dan teknologi kerana ia sebenarnya mampu menyelesaikan permasalahan umat manusia. Malah, sebahagian daripada ayat-ayat al-Quran yang dianugerahkan kepada manusia sebenarnya membentuk nilai-nilai dan rahsia sains.
Selanjutnya, mereka yang berada dalam kerjaya ini adalah kalangan pakar yang diiktiraf dan pandangan mereka memang diterima oleh mahkamah sebagai salah satu cabang keterangan (Al-Bayyinah) dalam membuat keputusan perbicaraan. (Dr. Zulfakar Ramlee Saad, ‘Keterangan Forensik dalam Islam’, Majalah VISI, November 2006).
Bersama prinsip-prinsip keadilan yang lain, ia digunapakai dalam undang-undang keterangan yang dipakai oleh Mahkamah Syariah. Umpamanya dalam Akta Keterangan Mahkamah Syariah (AKMS) Wilayah-Wilayah Persekutuan dalam Bahagian: Bila Pendapat Orang Ketiga Menjadi Qarinah, dalam Seksyen 33(2) yang memperuntukkan; “Orang yang sedemikian itu dipanggil pakar.”
Kes Hilal bin Umaiyah adalah kes li‘an yang pertama dalam perundangan Islam. Ia pembubaran perkahwinan yang sekali gus menafikan anak yang dikandung isteri Hilal adalah daripada benih pihak suami. Sabda Rasulullah sebagai susulan daripada kes ini merupakan prinsip-prinsip qiyafah (iaitu penentuan nasab berdasarkan persamaan atau iras di antara seorang dengan seorang yang lain) yang mempunyai keselarian dan padanan dengan kaedah ujian DNA.
Antaranya ia bermaksud, “Lihatlah nanti ciri-ciri anak yang dilahirkan, seandainya anak tersebut memiliki anak mata yang hitam, berpaha besar dan betis yang berisi, maka sifat-sifat ini lebih mirip kepada lelaki yang dituduh berzina dengan isteri Hilal, iaitu Suraik bin Sahma.” Setelah isteri Hilal melahirkan anak, si kecil itu dikatakan mempunyai sifat-sifat yang telah dinyatakan oleh Rasulullah, lalu Baginda memberikan penegasan, “Sekiranya bukan menjadi ketetapan al-Quran (iaitu melalui li‘an), pasti antara aku dengan dia (isteri Hilal) ada perkara yang perlu diselesaikan.”
Dalam satu keadaan yang lain seorang lelaki Arab daripada Bani Fazarah menemui Nabi mengadu hal anaknya yang dilahirkan oleh isterinya dan bayi tersebut berkulit hitam sedangkan dia dan isterinya sama-sama dari kalangan Arab.
Baginda menyoalnya semula dengan melahirkan satu perbincangan yang mengarah kepada suatu jawapan dan rumusan yang penuh hikmah dengan mengumpamakan keturunan manusia dengan susur galur keturunan unta yang dipeliharanya.
Akhirnya lelaki Arab tersebut berpuas hati kerana mendapat kesimpulan bahawa anak yang dilahirkan itu mempunyai warna kulit yang berbeza dengannya atau isterinya kerana dia mewarisi warna kulit nenek moyangnya.
Dalam Mahkamah Syariah, kaedah seperti ini iaitu pembuktian forensik dan saintifik dikemukakan di bawah peruntukan pendapat pakar umpamanya Seksyen 33(1) AKMS Wilayah-Wilayah Persekutuan yang menyebut:
Ketulenan
“Apabila mahkamah perlu membuat sesuatu pendapat atas sesuatu perkara mengenai undang-undang negara asing atau mengenai sains atau seni, atau berkenaan identiti atau ketulenan tulisan tangan atau cap jari, atau berhubungan dengan penentuan nasab, maka pendapat atas perkara itu daripada orang yang mempunyai kemahiran khusus dalam undang-undang negara asing, sains atau seni itu, atau dalam soal tentang identiti atau ketulenan tulisan tangan atau cap jari, atau berhubungan dengan penentuan nasab, ialah qarinah.”
Sejak dahulu lagi manusia mengaitkan darah dengan pembunuhan. Melalui pendekatan sedemikianlah saudara-saudara Nabi Yusuf cuba memperdayakan ayahanda mereka, Nabi Yaakub berikutan kehilangan Nabi Yusuf.
Ketika zaman Rasulullah pula pertelingkahan yang berlaku di antara dua saudara yang mendakwa telah membunuh Abu Jahal semasa Perang Badar juga telah diselesaikan dengan cara melihat kesan darah yang terdapat di pedang mereka.
Apa yang dibincangkan ini menunjukkan bahawa dengan keterangan-keterangan yang dinyatakan dalam al-Quran, manusia sebenarnya sentiasa dapat mengungkai persoalan dan permasalahannya sendiri sekalipun zaman dan masa berubah.
Walaupun keterangan forensik melalui ujian DNA berada dalam kategori qarinah, dan qarinah menjadi sebahagian daripada bayyinah (keterangan) dengan kedudukannya tidak sama seperti syahadah (kesaksian) dan iqrar, tetapi ia masih dapat membantu para penyiasat dan pihak berkuasa untuk mendapatkan tahap pembuktian sekurang-kurangnya di peringkat ghalabah al-dhan (beyond doubt). Pensabitan nasab/identiti melalui DNA dikatakan mencapai ketepatan melebih 99.9 peratus yang hampir mencapai tahap yakin. Pendekatan ini selaras dengan pandangan sesetengah ulama menyatakan bahawa tahap yakin yang perlu untuk mensabitkan kes-kes jenayah bukanlah semata-mata dengan pendekatan kesaksian atau iqrar. Gabungan beberapa keterangan yang saling kuat-menguatkan antara satu sama lain juga boleh membawa kepada tahap yakin, sekali gus memberi pengajaran kepada pihak penjenayah bahawa mereka tidak mudah terlepas begitu sahaja.
Oleh SITI SHAMSIAH MD. SUPI
SITI SHAMSIAH MD SUPI ialah Pegawai Penyelidik Pusat Syariah, Undang-Undang dan Sains Politik.
Utusan Malaysia 28 September 2007