
Stesen Keretapi Lhasa
Dari tingkat bawah kediaman dua tingkatnya di sebuah kampung penempatan semula yang terletak bersebelahan Lebuhraya 318 yang menghubungkan negara Tibet dengan jirannya Nepal, Drolkar yang berusia 31 tahun menjual barangan runcit.
Sejak setahun yang lepas, perniagaannya laris kerana wanita ini mampu mendapatkan bekalan pelbagai barangan seperti mi segera, minuman dalam botol serta barangan lain untuk dijual.
Sehinggakan di penghujung bulan bekas petani ini mempunyai lebihan wang walaupun selepas membayar ansuran bulanan bagi pinjaman 30,000 yuan.
"Dengan adanya tren adalah lebih mudah sekarang ini untuk membawa lebih banyak barangan dari luar. Saya mendapat lebih banyak jenis barangan dan yang lebih segar dan juga saya boleh mendapatkannya dengan lebih cepat," kata Drolkar yang pada satu ketika pernah menjual permaidani di Lhasa bersama suaminya sebelum pulang ke kampung halaman yang terletak satu setengah jam perjalanan dengan traktor dari Lhasa.
Di Lhasa, di sebalik pemandangan indah gunung-ganang para pekerja sedang menyiapkan zon pembangunan ekonomi yang pertama di Tibet, iaitu sebuah kawasan seluas 5.46 km persegi yang dibahagikan dua oleh landasan keretapi.
Tren, tren sudah tiba
Tibet kini menyaksikan perubahan pesat sejak perkhidmatan keretapi Qinghai-Tibet diperkenalkan pada 1 Julai tahun lepas, membawa nafas baru kepada kehidupan penduduk tempatan dan ekonomi wilayah autonomi ini yang dikelilingi daratan dan kaya dengan sumber.
Pelajar Qu Zheng Shangmu, seorang rakyat Tibet, belajar di sebuah sekolah tinggi di Chengdu, ibu negara wilayah berjiran Sichuan.
"Sebelum ini, saya terpaksa mengambil penerbangan dari Chengdu. Tetapi sekarang ini saya telah pulang ke Lhasa dua kali menggunakan tren kerana ada diskaun bagi pelajar," kata Qu yang berusia 18 tahun.
Sementara itu Jin Qing Fa, yang berasal daripada keturunan minoriti Hui dari Lanzhou di barat laut wilayah Gangsu, bertugas di sebuah hotel di Lhasa dan bercadang untuk pulang dua kali setahun menggunakan tren itu.
"Kosnya juga adalah separuh, saya hanya perlu membayar 242 yuan sahaja. Saya belum lagi pulang selama satu setengah tahun kerana kos perjalanan sehala adalah 500 yuan dan jika kereta rosak, ia akan memakan masa yang lebih lama bagi saya sampai di rumah," katanya.
Ekonomi meningkat
Tahun lepas Keluaran Dalam Negara Kasar Tibet meningkat lebih 29 bilion yuan dengan kadar pertumbuhan mencapai 12 peratus bagi tahun ke enam berturut-turut dan 2.5 juta pelancong tiba di negara itu yang membawa pulangan 2.77 bilion yuan.
Para pegawai berkata pendapatan perkapita mencapai 10,396 yuan buat pertama kali dengan petani dan pengembala mencatatkan pendapatan tahunan sebanyak 2,435 yuan.
Pada Mac lepas, Beijing mengumumkan bahawa ia akan melabur lebih daripada 100 bilion yuan (RM45.4 bilion) sehingga 2010 untuk membangunkan Tibet.
Wang itu akan dibelanjakan bagi 180 projek termasuk melanjutkan khidmat keretapi dari Lhasa ke Xigaze, bandar kedua terbesar di Tibet, 250km ke barat daya ibu negara.
Ekoran pembukaan laluan keretapi QinghaiTibet, Tibet kini menikmati khidmat pengangkutan lebih baik.
Landasan keretapi itu telah menawarkan Tibet satu peluang baik untuk mempercepat pembangunan industri pelancongan, kata Qingba Puncog, pengerusi Wilayah Autonomi Tibet.
Depot tren kargo
Tiga puluh kilometer ke barat stesen keretapi Lhasa, terletak Stesen Kargo Lhasa di mana pekerja-pekerja kelihatan memunggah barangan.
Depo itu yang mampu mengendalikan 7.5 juta tan barangan memulakan operasi pada Mac lepas di bawah pimpinan Chen Zhan Ying sebelum khidmat tren penumpang bermula.
Landasan keretapi itu telah membawa perubahan drastik. Ia memainkan peranan penting dalam menggalakkan pembangunan ekonomi serta infrastruktur dan pelancongan, kata Chen.
Ia membawa jumlah besar barangan bagi pembinaan dan barangan keperluan harian bagi orang ramai, kata Chen.
Tahun lepas, tren itu membawa masuk 640,000 tan kargo ke Lhasa dan membawa keluar 41,000 tan produk Tibet seperti minyak makanan, air mineral, bir dan produk tenusu.
Zon pembangunan Lhasa
Bilik pameran pengeluar kereta Hyundai, Toyota, Ford dan yang lain didirikan sepanjang jalan menghala ke Kawasan Pembangunan Ekonomi dan Teknologi Lhasa (LETDA) ke barat Lhasa.
Pengarah LETDA Huang Yutian berkata taman teknologi tinggi itu selain menarik Pelaburan Asing Langsung juga akan mengkhusus dalam pengeluaran ubat-ubatan tradisional.
Buat permulaan, LETDA mempunyai 112 penyewa, kesemuanya perusahaan tempatan dengan pelaburan berjumlah 1.04 bilion.
Pelabur lebih yakin dengan kami kerana mereka boleh melabur di sini dengan lebih mudah dan mereka tidak perlu bimbang akan masalah pengangkutan. Sebelum ini mereka dihalang oleh masalah pengangkutan, katanya.
Satu brosur LETDA menyebut kawasan itu mempunyai potensi pasaran 1.3 bilion orang kerana jiran tetangga Tibet, iaitu Sichuan and Xinjiang di China dan India, Nepal, Bhutan dan Myanmar di sebelah satu lagi.
Bernama