Khamis, 27 September 2007

Asean lebih berkesan bantu atasi krisis Myanmar


KEMELUT yang melanda Myanmar sekarang, dengan tindakan tentera juntanya melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan, bantahan terbesar pernah diadakan sejak hampir 20 tahun lalu, mengundang krisis terbaru di Yangon dan boleh menjejaskan keamanan di rantau ini. Laporan menyebut, sekurang-kurangnya empat orang terkorban kelmarin termasuk tiga sami Buddha, terkena tembakan pihak berkuasa dalam usaha meleraikan perhimpunan membantah tindakan junta menaikkan harga minyak semalam sebanyak 500 peratus. Asalnya cuma sebilangan kecil mengadakan tunjuk perasaan, tetapi apabila golongan sami turut serta dalam perhimpunan aman itu, beribu-ribu penduduk yang berada di tepi jalan juga tunduk hormat kepada sami sambil bertepuk tangan kepada penunjuk perasaan lain. Sami berpakaian jubah oren dan merah membawa kain rentang pelbagai warna. Beberapa sami lain turut membawa mangkuk yang diterbalikkan, biasanya digunakan mereka untuk memungut derma, sebagai tanda simbolik keengganan mereka menerima derma daripada pihak tentera sebagai tanda bantahan.

Semalam, pihak keselamatan Myanmar terus menghalang penunjuk perasaan yang membantah pemerintahan tentera, dengan menahan sekurang-kurangnya 100 lagi sami Buddha serta menangkap dua anggota utama parti pembangkang yang diketuai Aung San Suu Kyi. Laporan agensi berita asing memetik diplomat Barat sebagai berkata, polis melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan. Namun, tindakan keras junta itu gagal menyuraikan berpuluh ribu rakyat berkumpul semula dalam bantahan antikerajaan.

Masyarakat dunia memerhati penuh minat tunjuk perasaan itu kerana ia bukan lagi dipelopori oleh penyokong prodemokrasi pimpinan Suu Kyi tetapi dicetuskan oleh sami, kumpulan yang dihormati rakyat negara majoriti penganut Buddha itu. Kejadian itu mencetuskan rasa tidak puas hati masyarakat antarabangsa yang meminta pihak junta mengelak daripada bertindak keras. Kita sependapat dengan Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar, bahawa pucuk pimpinan negara itu perlu berfikiran terbuka dan memanggil semua pihak mengadakan rundingan. Adalah lebih baik pucuk pimpinan pemerintah Myanmar cuba berdamai supaya keadaan di negara itu tidak menjadi lebih teruk sehingga ke tahap perlu campur tangan masyarakat antarabangsa. Kita juga bimbang jika keadaan itu dibiarkan berlarutan, ia boleh menakutkan pelabur asing yang baru mahu berjinak dengan peluang ekonomi di negara itu.

Bagaimanapun, kita tidak bersetuju dengan desakan sesetengah pihak di Barat yang mahu sekatan ekonomi dikenakan ke atas Myanmar atas dakwaan pencabulan hak asasi manusia dan proses demokrasi yang amat perlahan. Tindakan itu tidak akan memberi kesan kepada kumpulan sasaran, tetapi selalunya rakyat biasa yang akan lebih menderita. Oleh itu, sebarang tindakan tegas atau agresif adalah tidak produktif pada peringkat ini, sebaliknya cara terbaik dalam menyelesaikan isu ini ialah dengan memastikan proses berperlembagaan dilaksanakan.

Pihak junta, yang memerintah sejak 1962, tidak menghiraukan gesaan masyarakat antarabangsa dan ini adalah kali pertama, junta menggunakan kekerasan terhadap penunjuk perasaan. Walaupun keadaan di Myanmar adalah hal ehwal dalaman, ia tidak dapat mengasingkan krisis dalamannya daripada turut menjejaskan Asean kerana Myanmar adalah anggota penting Asean. Justeru, kita berharap masalah Myanmar dapat dikendalikan oleh rantau ini dan bukan pihak luar. Kesannya mungkin tidak sebaik yang diharapkan jika dikendalikan pihak di luar naungan Asean, apatah lagi jika ada kuasa besar memainkan peranan belakang tabir.

Berita Harian 28 September 2007