Khamis, 27 September 2007

MAHB cemerlang jual Malaysia kepada dunia


Pengalaman lebih 30 tahun dalam industri perkhidmatan udara jadikan KL tuan rumah Routes 2008

SELAMAT datang ke Kuala Lumpur untuk Forum Pembangunan Laluan Dunia (Routes) 2008!

Ungkapan itu mengakhiri edisi ke-13 Routes 2007 di Stockholm, Sweden baru-baru ini, sekali gus menggerakkan Malaysia untuk menjayakan penganjuran forum antarabangsa yang pertama seumpamanya di Asia, tahun depan.

Kata-kata menyambut tetamu yang sinonim dengan budaya tempatan itu tambah berseri apabila diiringi tarian tradisional penari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan pelbagai rentak dan penuh warna warni melambangkan keunikan budaya dan keharmonian kaum di Malaysia.

Tidak dinafikan buat sekian kalinya, gerai Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) selaku tuan rumah Routes 2008 menjadi tumpuan lebih 2,300 delegasi sepanjang Routes 2007, termasuk selepas menyaksikan saat manis pengisytiharan Kuala Lumpur sebagai destinasi forum itu seterusnya.

Pada majlis ringkas, tetapi bermakna itu, Pengarah Urusan MAHB, Datuk Seri Bashir Ahmad Abdul Majid yang segak berbaju Melayu lengkap dengan songkok dan sampin songket menerima replika simbol Routes daripada Pengarah Urusan Lapangan Terbang Stockholm-Arlanda, Krestin Lindberg Goransson.

Berdasarkan pemerhatian ketika menghadiri Routes 2007, jelas kehadiran MAHB menarik minat ramai apabila gerai wakil Malaysia, termasuk Pelancongan Malaysia yang disertai ahli muzik, pembuat wau dan pencanting batik serta teh tarik sentiasa menjadi tumpuan ramai.

Dengan penampilan gerai dua tingkat yang direka khas untuk persidangan itu, MAHB mempersembahkan sesuatu yang meyakinkan untuk delegasi antarabangsa membuka mata dan yakin dengan penganjuran Routes di Kuala Lumpur tahun depan.

Kesungguhan MAHB dengan sembilan rakan niaga lain terserlah apabila masing-masing komited mempromosi Malaysia sebagai lokasi strategik untuk mengumpulkan orang penting dalam industri perkhidmatan udara global.

Boleh dikatakan usaha kumpulan kerjasama ini berjaya kerana pada hari pertama Routes, lebih separuh gerai untuk persidangan tahun depan berjaya dijual – menampakkan tanda positif penerimaan dan minat mendalam delegasi untuk ke Kuala Lumpur.

“Buat pertama kalinya, inilah jualan paling pantas berbanding Routes lain,” kata Pengarah Penjualan The Route Development Group Ltd, Mike Berman.

Sepanjang berada di Routes, penulis berpeluang bertemu delegasi persidangan berprestij itu dan turut mendapat maklum balas positif mengenai Malaysia dan majoritinya berhasrat menghadiri Routes 2008 di ibu negara nanti.

Pengalaman lebih 30 tahun Bashir dalam industri perkhidmatan udara tentunya memberi manfaat kepada MAHB dan juga negara kerana beliau dilihat antara ‘orang penting’ di Routes.

Berlaku satu kejadian ketika semua delegasi dalam perjalanan pulang ke hotel selepas menghadiri majlis makan malam Routes 2007. Ketika itu, penulis dan dua rakan media sedang berjalan dan ketika berhenti bergambar di tengah jambatan dapat dilihat pemimpin MAHB itu berada beberapa meter di belakang kami dengan rakan gabungan konsortiumnya.

Tiba-tiba seorang lelaki berlari mengejar beliau dan terus bertanyakan sama ada beliau dari Malaysia, MAHB yang bakal menjadi tuan rumah Routes 2008. Begitu bertalu-talu pertanyaan lelaki itu dan Bashir hanya tersenyum dengan menjawab, Yes.. Yes.. Yes.. Yes kepada semua soalan lelaki itu. Terpancar kepuasan pada wajah lelaki itu yang tanpa berlengah terus berjabat tangan dengan Bashir.

Mengingatkan kejadian di jambatan bersebelahan bangunan bersejarah Dewan Bandaraya Stockholm itu, penulis berbangga kerana sesungguhnya terbukti ada anak Malaysia dipandang tinggi dalam komuniti antarabangsa ini.

Malah, Pengasas dan Pengerusi Routes, Mike Howarth ketika ditemui juga menyatakan keyakinan beliau dengan keupayaan MAHB dan meletakkan harapan tinggi kepada syarikat berkenaan sebagai hos Routes pertama di luar Eropah tahun depan.

“Saya percaya MAHB berada di landasan yang betul dalam usaha untuk menjadi tuan rumah persidangan tahun depan. Kami akan terkejut jika Routes di Kuala Lumpur nanti tidak semeriah dan sebesar persidangan sebelum ini,” katanya.

Howarth juga menyatakan harapan untuk melihat sesuatu yang berbeza di Kuala Lumpur, bukan saja jumlah kehadiran delegasi yang bertambah, mungkin juga dapat diketengahkan budaya masyarakat tempatan yang unik untuk menjadikan persidangan itu lebih menarik.

Menyingkap mengenai proses bidaan menjadi hos Routes, MAHB berjaya dengan strategi menarik menampilkan kertas cadangan bercirikan budaya tradisional tempatan – songket benang perak dan mengkuang, tiga tahun lalu.

Dengan itu, dalam tempoh setahun lagi, Malaysia bakal melakar sejarah sebagai negara Asia pertama akan menerima tetamu asing dengan mensasarkan kehadiran antara 2,500 hingga 2,800 delegasi untuk acara perangkaian lapangan terbang dan syarikat penerbangan utama dunia yang akan berlangsung di Pusat Persidangan Kuala Lumpur (KLCC).

Bagaimana MAHB boleh meyakinkan panel pemilihan untuk memilih negara yang baru menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-50 ini? Persoalan itu dileraikan apabila wakil media yang membuat liputan forum itu di Stockholm, selama tiga hari bermula 23 September lalu diperlihatkan kertas cadangan dikemukakan. Tanggapan kami, ia lebih mirip kamus yang lengkap dengan pelbagai maklumat mengenai Malaysia.

Ringkasnya, sesiapa yang dipersembahkan dengan laporan seumpama itu pasti jatuh hati dan tidak syak lagi itu antara faktor meletakkan negara ini di puncak senarai, berbanding pembida lain. Nyata usaha MAHB menjual Malaysia di laksanakan dengan cemerlang.

Sebelum ini, MAHB berpengalaman menjadi tuan rumah bagi edisi sampingan World Routes – New Route Asia untuk tiga tahun berturut-turut.

Bagi tawaran bidaan Routes 2008, MAHB bekerjasama rapat dengan Kementerian Pengangkutan, Pelancongan Malaysia, Penerbangan Malaysia (MAS), Dewan Bandaraya Kuala LUmpur (DBKL), Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) dan KLCC.

Usaha itu nyata berbaloi apabila MAHB menewaskan tiga pesaingnya iaitu Singapura, Bangkok dan Beijing Airports. Sebelum ini, forum sama pernah berlangsung di Cannes pada 1995 sebelum diadakan di Abu Dhabi, Oslo, London, Rom, Amsterdam, Dublin, Athens, Edinburgh, Madrid, Copenhagen dan Dubai. Majlis menandatangani perjanjian sebagai tuan rumah forum itu diadakan di KLCC pada Ogos 2005.

Bertanyakan Bashir yang juga Ketua Pegawai Eksekutif MAHB mengenai penganjuran tahun depan, beliau memberi jaminan akan melakukan yang terbaik, selain menampilkan kelainan yang akan membawa kenangan manis kepada delegasi.

“Keunikan budaya, makanan dan destinasi pelancongan negara akan menjadi fokus sampingan untuk memastikan delegasi dan pasangan masing-masing gembira dan selesa berada di Kuala Lumpur,” katanya.

Menyifatkan sebagai landasan terbaik mempromosi negara, selain matlamat untuk memperluaskan operasi syarikat yang mengendalikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan 38 lapangan terbang lain, Bashir yakin Kuala Lumpur akan dikunjungi lebih ramai delegasi berbanding tahun ini.

Dalam hal ini, tentunya bukan saja MAHB serta sembilan rakan kerjasamanya bertanggungjawab untuk menjayakan Routes 2008, malah rakyat secara keseluruhannya, selain sektor awam dan swasta lain perlu menyertainya untuk menampilkan yang terbaik untuk negara.

Sesuai dengan ulang tahun ke-10 KLIA tahun depan dan dengan usia negara yang lebih matang, tentunya Malaysia akan menyambut kedatangan tetamu asing dengan tangan terbuka, bak kata pepatah – kecil tapak tangan, nyiru kita tadahkan.


Oleh Norfatimah Ahmad
Berita Harian 28 September 2007