
SELARI dengan kemajuan sains dan teknologi, sistem konvensional yang diguna pakai dalam industri ternakan di negara ini satu ketika dulu sudah semakin dilupakan, sebaliknya kaedah yang lebih sistematik mula dipraktikkan ke arah meningkatkan kualiti dan kuantiti hasil ternakan.
Ia termasuk kaedah ternakan secara feedlot yang merangkumi sistem kawalan rapi untuk pemakanan (makan dan minum), mempunyai kemudahan, infrastruktur dan peralatan yang lengkap, terkawal daripada penyakit selain tidak memerlukan kawasan ladang yang besar.
Menyedari potensi cerah dalam bidang ternakan menggunakan kaedah ini, sebuah syarikat milik penuh Bumiputera di Melaka, mengusahakan Kaprima iaitu kambing kacukan baka jantan unggul jenis Jamnapari, Anglonibien dan Boer yang kemudian dikacukkan dengan kambing betina tempatan bagi melahirkan generasi lebih besar dan mampu membiak pada usia enam bulan.
Syarikat terbabit, Kaprima Livestock Sdn Bhd yang beroperasi di ladangnya, Kaprima Prime di Jalan Menggong, Bukit Bulat, Alor Gajah, Melaka, proaktif dalam meningkatkan pengeluaran prestasi kacukan baka kambing tempatan dikenali sebagai Kambing Prime Malaysia (Kaprima) secara komersial.
Syarikat diusahakan Jasmin Jasin, 50, sejak April 2002, adalah perintis dalam menjalankan projek ternakan kambing Kaprima secara komersial di Melaka, malah kian mendapat perhatian di seluruh negara.
Berbekalkan pengalaman luas selama lebih 20 tahun di Jabatan Perkhidmatan Haiwan, bekas pembantu veterinar kanan yang mempunyai minat mendalam dalam bidang keusahawanan ini gigih mewujudkan satu sistem penternakan kambing secara intensif berteraskan kepada penekanan inovasi terkini dan berskala besar.
Sehingga kini, kira-kira 800 kambing jenis Kaprima, Jamnapari, Anglonibien dan Boer diternak di kandang yang dilengkapi dengan palong makanan efektif, sistem penyedut minuman dilengkapi tapisan klorin, serta petak ibu dan anak mudah alih, bagi mengasingkan ibu dan anak kambing yang baru dilahirkan.
"Daging kambing yang berkualiti dapat dihasilkan berdasarkan pelbagai faktor meliputi kualiti penternakan, sistem pemakanan, penjagaan dan rawatan klinikal.
"Justeru, bagi memastikan kualiti daging kambing terjamin, kami merumus sendiri pemakanan yang terdiri daripada 80 peratus palet serat yang dihasilkan daripada isirung kelapa sawit, kulit kacang soya dan jagung, manakala 20 peratus lagi menggunakan rumput hijau.
"Menerusi pemakanan ini, daging Kaprima yang dihasilkan adalah rendah lemak dan kolestrol, kaya dengan vitamin B12, daging yang lembut dan enak serta tidak berbau hamis,” katanya yang pernah dianugerahkan Peladang Jaya bagi peringkat negeri dan kebangsaan, tahun lalu.
Menerusi kaedah itu, kualiti daging kambing yang dihasilkan mempunyai nilai tinggi dan terbukti dapat meningkatkan kuantiti ternakan melalui kaedah pembiakan pantas iaitu memendekkan usia matang kambing antara enam hingga sembilan bulan berbanding setahun dengan pertumbuhan berat antara 25 hingga 30 kilogram.
Selain itu, kaedah ini juga menggunakan program probiotik di dalam pemakanan, kerja rawatan, pencegahan penyakit serta pelupusan bahan buangan ternakan. Struktur molekul daging kambing adalah berbeza berbanding daging lain dan hasilnya daging kambing lebih mudah dihadam dan ia amat sesuai untuk mereka yang mementingkan kesihatan.
Kambing Kaprima yang mencapai tahap kematangan kemudian sedia untuk dipasarkan mengikut permintaan dengan harga jualan antara RM300 hingga RM450 seekor.
Bagaimanapun, Jasmin berkata, bagi tujuan pembiakan, kambing ternakannya dijual pada harga RM500 hingga RM1,000 mengikut saiz.
Dengan ada konsep penternakan secara intensif yang menghasilkan baka kambing tempatan lebih berkualiti, Kaprima Prime turut mengeluarkan produk Baja Organik Kaprima-Bio dihasilkan daripada tinja (najis kambing) dan diformulasi menggunakan probiotik yang bertujuan mempercepatkan pertumbuhan tanaman, selain meningkatkan kesuburan tanah.
Pada masa sama, syarikat itu turut mengembangkan aktiviti perniagaannya dengan mengusahakan sektor pertanian membabitkan tanaman sayur dan buah-buahan seperti buah naga, pisang, jambu air selain memajukan restoran masakan kambing dinamakan Kaprioti Countryside di tanah seluas enam hektar milik syarikat berkenaan.
Oleh Siti Nor Saadah Md Yusof
Berita Harian 28 September 2007