Khamis, 27 September 2007

Ahmadinejad tenang jawab kecaman di kampus Amerika


APABILA Universiti Columbia di New York mempelawa Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad, berucap di kampusnya awal minggu ini, ramai melenting. Lobi Zionis dan tokoh politik di Amerika Syarikat membantah penampilan pemimpin Iran yang lantang bersuara itu di institusi 'Ivy League' berkenaan.

Ahmadinejad dibenci kerana antara lain beliau menyuarakan kesangsian terhadap holocaust – pembunuhan beramai-ramai bangsa Yahudi di Eropah pada Perang Dunia Kedua dan membuat kenyataan supaya Israel dihapuskan.

Namun Universiti Columbia tidak mahu berganjak. Ucapan Ahmadinejad harus didengar dulu sebelum penghakiman dibuat terhadapnya. Pendirian sedemikian amat disanjung kerana dalam hal ehwal manusia tidak ada yang sempurna. Perbalahan dan hujah yang dikemukakan dalam debat sudah tentu membantu menyempurnakan pemahaman terhadap sesuatu isu.

Bagaimanapun, apabila tiba hari Ahmadinejad berucap, presiden Universiti Columbia membuka pekung di dada. Belum sempat Presiden Iran itu berucap, Lee Bollinger dalam kata-kata aluan selama 10 minit, antara lain mengecam Ahmadinejad dengan berkata: "Tuan Presiden, Tuan mempamerkan segala tanda seorang diktator kerdil dan kejam.

"Kenapakah Tuan begitu takut untuk membenarkan rakyat Iran menyuarakan pandangan mereka mengenai perubahan yang mereka mahu? Kenapakah Tuan mengecilkan holocaust?"

"Terus terang saya tidak jangka Tuan memiliki keberanian intelektual bagi menjawab soalan ini," tambah Presiden Universiti Columbia itu.

Dalam demokrasi, Bollinger seperti orang lain memang bebas bersuara. Namun, apakah seseorang harus bersuara mengecam tetamunya sebelum mendengar sepatah pun perkataan keluar daripada mulutnya? Apakah presiden Universiti Columbia itu ada niat lain? Apakah pendengar sasarannya bukan semestinya mereka yang berada dalam dewan universiti itu? Apakah kumpulan pelobi Zionis yang menjadi sasaran mesejnya, agar mereka berpuas hati bahawa beliau masih setia terhadap perjuangan mereka?

Walaupun diserang hendap oleh Bollinger, Ahmadinejad tetap tenang. Beliau mempertahankan pandangannya terhadap dua isu yang menjadi 'pembunuh utama' tokoh politik dan akademik di Amerika, iaitu holocaust dan homoseks.

Mengenai holocaust, kenyataan Ahmadinejad di universiti itu tidak mungkin mampu diulang oleh mana-mana tokoh di Amerika, walaupun mereka setuju dengan apa yang dikatakan oleh presiden Iran itu.

Pandangan Ahmadinejad tidak lari daripada amalan demokrasi iaitu tinjauan intelektual terhadap sebarang isu tidak harus disekat. Masyarakat Barat bangga dengan tradisi mereka untuk menyoal idea yang dianggap syumul. Mereka menyedari bahawa tradisi menyoal akan membawa kepada jawapan dan jawapan pula akan membawa kepada penyelesaian yang lebih mantap.

Namun, kenapakah apabila seseorang mencadangkan supaya penyelidikan dari perspektif berbeza dibuat terhadap holocaust, ramai yang melenting? Mengapakah dalam banyak isu kebebasan intelektual dibenarkan dan dalam isu holocaust ia disekat? Bukankah ini hipokrasi?

Mengenai isu homoseks yang sudah mula menjadi isu larangan di Amerika – terutama jika seseorang itu menyuarakan pandangan antihomoseks – Ahmadinejad mengambil jalan selamat dengan cuba mengelak daripada menjawabnya. Beliau yang dikecam kerana negaranya didakwa menindas homoseks berkata, Iran tidak mempunyai golongan homoseks. Tidak seperti negara anda.

Dari segi ini, mungkin beliau kurang berterus terang mengenai homoseks di negaranya dan tidak bersikap demokratik kerana tidak mahu membincangkan isu berkenaan secara telus.

Apa sekali pun, kehadirannya di Universiti Columbia – iaitu satu universiti dalam kelompok institut pengajian tinggi terulung di Amerika – mendedahkan ada sesuatu yang tidak kena dengan demokrasi di Amerika.

Kalau dulu hanya pandangan anti-Israel dan menidakkan holocaust menjadi larangan, kini banyak pandangan lain yang sudah menjadi pantang larang. Apakah sarjana di Amerika sudah mula dinafikan kebebasan intelektual? Jika benar demikian, negara Islam harus mengambil iktibar dan kembali kepada tradisi bebas berfikir untuk merebut semula statusnya sebagai kuasa intelektual dunia.


Oleh Khaidir Majid

Penulis adalah Pengarang Meja Luar Negara, Berita Harian
Berita Harian 28 September 2007