
HUBUNGAN tegang antara Iran dan Amerika Syarikat – daripada soal senjata nuklear hingga membantu pejuang Iraq menentang tentera penjajah di Baghdad – yang sebelum ini menghangatkan kedua-dua negara sehingga Amerika mengugut mahu menyerang Iran kelihatan 'surut' apabila Presiden George W Bush langsung tidak menyentuh soal untuk berperang dengan Iran ketika berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York.
Paling menarik, Bush dan Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad mencapai titik persamaan ketika berucap di rostrum PBB apabila masing-masing bersetuju dalam soal kemiskinan dan reformasi PBB walaupun ada ketika mereka saling menyindir satu sama lain.
Tidak bersetuju bukan bermakna tidak boleh bekerjasama. Itulah gambaran yang dipaparkan sepanjang Perhimpunan Agung PBB ke-62 mulai Isnin lalu hingga esok, apatah lagi tema perhimpunan kali ini, Masa Depan Di Tangan Kita: Menyelesaikan Cabaran Kepemimpinan Mengenai Perubahan Iklim, sememangnya tepat pada masa berdasarkan masalah cuaca tidak menentu di seluruh dunia, kepanasan global, taufan dan ribut yang kuat, tanah runtuh dan gempa bumi serta banjir berlaku tanpa diduga.
Malaysia yang mewakili suara negara membangun dan negara Islam menerusi platformnya sebagai Pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) sudah pasti akan membangkitkan isu Asia Barat dan hubungan antara Barat dengan Islam. Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dijangka menyentuh kedua-dua isu itu dalam ucapannya malam ini.
“Malaysia juga akan bercakap mengenai ekonomi iaitu arah tuju yang tidak nampak ada penyelesaian, sedangkan inilah yang penting untuk kepentingan negara kecil dan membangun. Isu berkaitan kemiskinan sudah semakin dipandang berat, turut dibangkitkan,” kata Abdullah dalam program VIP Awani terbitan, saluran stesen televisyen Astro baru-baru ini.
Hakikatnya, tindakan Israel mengisytiharkan Semenanjung Gaza sebagai 'entiti musuh' akan membawa kepada lebih banyak kekacauan di Asia Barat.
Abdullah mengakui memang sukar untuk menyelesaikan isu Palestin-Israel, tetapi beliau percaya ia dapat diselesaikan jika kuasa besar yang terbabit dalam usaha perdamaian menunjukkan sikap adil kepada kedua-dua pihak bertelagah.
"Jika ada kecenderungan membela satu pihak, tentu ia akan menjadi susah untuk mencapai keputusan atau formula damai yang boleh diterima kedua-dua pihak. Jika kuasa Barat ada kecenderungan memihak kepada Israel, umpamanya ini yang membawa kesusahan sesuatu perjanjian yang dapat diterima semua pihak," katanya.
Seperti kata Ahmadinejad ketika berucap di Universiti Columbia, Amerika akan terus mempertahankan Israel dalam apa juga cara, termasuk membantu pengganas itu di buminya sendiri walaupun mengetahui ia merosakkan negara lain seperti dilakukan Israel di Lubnan dan Palestin.
Seiring kesedaran dunia mengenai masalah perubahan cuaca, Malaysia juga mahu negara maju turut memikul tanggungjawab bersama menyelami masalah ini secara bersama kerana negara perindustrian dikenal pasti penyumbang utama kepada pengeluaran gas rumah hijau yang membawa kepada menipisnya lapisan ozon.
Sayangnya, Protokol Kyoto yang cuba mengikat tanggungjawab itu kepada semua negara perindustrian supaya mengurangkan pelepasan gas perindustrian tidak begitu efektif, apabila Amerika enggan memeterainya, sekali gus membuka ruang kepada negara perindustrian lain di Barat turut mengikut langkahnya.
Menyedari kepentingannya, Malaysia sudah mencadangkan satu tabung baru dengan dana yang lebih besar diwujudkan PBB bagi membantu negara membangun mengatasi masalah perubahan iklim secara lebih berkesan.
Malaysia juga mahu negara maju yang sedang dan sudah mendapat manfaat daripada pelaburan atau kegiatan mereka di negara membangun menjadi penyumbang aktif dana itu bagi meningkatkan perlindungan di negara membangun daripada perubahan cuaca.
Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar, yang mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada mesyuarat peringkat tinggi tidak formal mengenai perubahan iklim anjuran PBB pada Isnin lalu, berkata negara maju mesti komited dalam menawarkan pembiayaan dan teknologi kepada negara membangun bagi membentuk satu rejim iklim berkesan selepas Protokol Kyoto berakhir pada 2012.
Protokol Kyoto diasaskan pada Konvensyen Rangka Kerja PBB Mengenai Perubahan Iklim dan menetapkan sasaran dan jadual pengurangan pelepasan gas rumah hijau yang wajib dipatuhi oleh negara perindustrian.
"Mengikut rancangan pembangunan lima tahun semasa, Malaysia sudah memperuntukkan sejumlah besar wang untuk melakukan langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan kerosakan alam sekitar pada peringkat sumber, meningkatkan usaha pemuliharaan dan menguruskan sumber alam semula jadi secara mapan.
Berdasarkan perkembangan semasa di Myanmar, perhimpunan agung kali ini dijangka mengambil ketetapan menghukum negara itu yang dilihat tidak serius mengatasi soal pemulihan demokrasi, membincangkan soal bantuan dan penghantaran tentera pengaman PBB di Darfur, Sudan dan membincangkan teguran Bush terhadap reformasi PBB dan kelembapan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia PBB berfungsi.
Daripada Azhar Abu Samah di New York
Berita Harian 28 September 2007