
Penyertaan menyeluruh memulau peniaga tamak jamin status 'raja' pengguna
AWAL minggu ini, dua kesatuan sekerja terbesar – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) – berganding bahu melancarkan kempen memboikot peniaga yang sengaja menaikkan harga barang keperluan sewenang-wenangnya.
Langkah itu bertujuan mengekang kenaikan harga barang yang dilaporkan di merata tempat menjelang musim perayaan sekarang. Menerusi langkah pemulauan itu, kedua-dua kesatuan sekerja yang mempunyai keahlian melebihi tiga juta orang berharap dapat mengembalikan hak pengguna dalam menentukan harga barang sambil menundukkan kuasa pembekal dan peniaga.
Dalam tempoh kempen itu, MTUC dan Cuepacs meminta anggotanya tidak ke pasar selama dua hari dalam seminggu untuk memberi impak kepada peniaga.
Keberkesanan kempen berkenaan sukar dipastikan kerana untuk berjaya, ia memerlukan kerjasama dan penyertaan semua atau sebahagian besar ahli sedangkan kedua-dua kesatuan kerja itu tidak mempunyai kuasa dari segi undang-undang untuk menguatkuasakan cadangan berkenaan.
Segala-galanya bergantung di atas budi bicara anggota kesatuan sama ada mahu boikot atau tidak. Oleh itu, tidak hairanlah kenapa ramai peniaga memperlekehkan usaha berkenaan.
Sesungguhnya, sama ada disedari atau tidak, boikot yang dilancarkan MTUC dan Cuepacs itu secara langsung membayangkan kekecewaan sebahagian besar golongan pekerja, terutama yang berpendapatan sederhana dan rendah, suri rumah, orang kampung yang tidak mempunyai pendapatan dan golongan lain yang selama ini sering mengeluh akibat tindakan peniaga tamak yang sengaja menaikkan harga barang untuk mendapat keuntungan lebih.
Fenomena ini semakin ketara menjelang musim perayaan atau selepas kerajaan mengambil tindakan tertentu yang difikirkan boleh dieksploitasi untuk dijadikan alasan menaikkan harga barang.
Sebagai contoh, apabila kerajaan mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam mulai Julai lalu atau ketika harga runcit petrol, diesel dan gas dinaikkan awal tahun lalu, kebanyakan peniaga tidak menunggu lama untuk menaikkan harga barang dan perkhidmatan mereka.
Pada ketika tertentu ada barang keperluan, seperti gula, minyak masak dan sebagainya, sengaja disorok untuk mengurangkan bekalan serta meningkatkan permintaan. Kekurangan bekalan dan pelbagai sebab musabab lain dicipta untuk mewajarkan kenaikan harga.
Ironisnya, apabila harga meningkat orang ramai sebagai pengguna, tidak pernah bertindak balas terhadap peniaga. Sebaliknya mereka terus berbelanja sambil menyalahkan kerajaan atas kesukaran yang mereka hadapi.
Pada masa sama, pelbagai usaha yang diambil Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk mengekang kegiatan itu melalui pemantauan berterusan, penguatkuasaan undang-undang atau serbuan berkala selama ini jelas tidak begitu berkesan.
KPDNHEP sendiri tidak mempunyai bilangan pegawai penguat kuasa yang mencukupi atau peniaga terbabit jauh lebih bijak dan licik daripada penguat kuasa.
Seruan supaya pengguna berbelanja secara lebih bijak juga tidak banyak mendatangkan kesan kerana orang ramai mungkin memberikan takrifan berbeza mengenai kebijaksanaan berbelanja kerana ia bergantung kepada kemampuan masing-masing.
Apa pun, orang ramai sentiasa akur bahawa dalam memerangi kenaikan harga yang melampau ini, mereka perlu memberikan kerjasama sepenuhnya kepada kerajaan. Kerajaan saja, tanpa kerjasama orang ramai, tidak akan mampu memerangi gejala berkenaan secara berkesan.
Ruangan ini sendiri sudah beberapa kali mencadangkan agar satu tindakan yang lebih agresif diambil bagi menyedarkan orang ramai sebagai pengguna mengenai hak dan kuasa mereka.
Dalam hubungan ini, pemulauan yang dilancarkan MTUC dan Cuepacs itu boleh dilihat sebagai sebahagian daripada proses melahirkan kesedaran itu. Dengan kata lain, tindakan itu adalah satu inisiatif kepenggunaan oleh pertubuhan bukan kerajaan.
Oleh itu, mereka perlu disokong bukan saja oleh anggota, tetapi juga oleh golongan pengguna lain termasuk pertubuhan pengguna, pergerakan sukarela, parti politik dan seumpamanya.
Kebimbangan yang disuarakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, bahawa langkah pemulauan itu akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara sebenarnya tidak mempunyai asas kukuh walaupun diakui bahawa sumbangan sektor kepenggunaan terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah besar.
Lagi pun, apa yang mahu diboikot bukan barang keperluan yang mahal, tetapi peniaga yang menjual barang berkenaan pada harga tidak munasabah. Pengguna akan tetap berbelanja dengan mendapatkan barang berkenaan di tempat lain atau memilih produk gantian.
Ingatlah, sebagai pengguna, kita adalah raja. Wang kita adalah hak kita. Oleh kerana hak itu tidak mudah diperoleh, ia hendaklah dipertahankan demi apa saja. Apa yang penting kita hendaklah menjadi pengguna yang cerewet.
Ini bermakna kita bersikap cerewet dengan meneliti harga, kualiti, label dan mencari alternatif sebelum membuat urusan membeli atau menggunakan sesuatu perkhidmatan mempunyai impak besar yang kita mungkin tidak sedari.
Sikap cerewet yang mungkin pada sesetengah orang dikatakan negatif dan membuang masa sebenarnya dapat melindungi diri kita daripada menjadi satu lagi statistik mangsa penipuan peniaga yang lahap dan licik.
Meskipun gaji naik atau dompet masih tebal berisi, sebagai pengguna, kita jangan memberi ruang untuk diperdaya dengan bersikap gelojoh dan cepat ‘gelap mata’ apabila melihat kain rentang tawaran harga runtuh, jualan murah atau jualan musim perayaan.
Kita hendaklah sentiasa memastikan perbelanjaan kekal berhemat, membeli bila dan apa yang diperlukan saja. Kita juga perlu cekap bertindak dalam membuat keputusan untuk membeli atau tidak membeli apabila harga barang melambung terutama menjelang musim perayaan seperti sekarang.
Oleh Abdul Rahman Sulaiman
Datuk Abdul Rahman Sulaiman, bekas Ketua Pengarang Bernama dan pernah menjadi Ahli Parlimen, adalah Penasihat Direktorat Pelaksanaan Negara
Berita Harian 28 September 2007