Khamis, 20 Mac 2008

Umat Islam perlu bersatu untuk kesejahteraan

SAMBUTAN Maulidur Rasul di seluruh negara semalam harus mendorong umat Islam di negara ini untuk melihat kembali sejarah perjuangan Nabi Muhammad SAW ketika berhadapan dengan pelbagai rintangan dalam kehidupan untuk menyebarkan agama Allah. Dengan sifat zuhud dalam kehidupan, gagah perkasa ketika memimpin tentera menentang musuh, menegakkan keadilan kepada semua masyarakat, Baginda dihormati kawan dan lawan.

Sejarah kehidupan Baginda diingati dan sunnahnya dijadikan pedoman dalam kehidupan umat Islam, dari dulu sehingga kini. Sambutan Maulidur Rasul semalam membawa makna yang cukup mendalam khususnya orang Islam terutama selepas pilihan raya umum lalu, yang memperlihatkan pelbagai perubahan dalam pemikiran rakyat yang sedikit sebanyak mempengaruhi tingkah laku. Mungkin nasihat Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah ketika berucap pada majlis sambutan di Ipoh, Perak boleh dijadikan ingatan untuk difikirkan bersama. Nasihat yang baginda berikan itu cukup penting sebagai peringatan kepada umat Islam di negara ini. Raja Nazrin mengingatkan kita punca sebenar kejatuhan empayar dan kerajaan terdahulu untuk dijadikan pengajaran. Dalam erti kata lain, kita harus belajar daripada kesilapan lalu untuk meneruskan kehidupan pada hari ini dan akan datang.

Sejarah Islam turut memaparkan hal yang sama mengenai turun naiknya pemerintahan, daripada kerajaan Bani Ummayyah sehinggalah Empayar Usmaniyyah. Malah kerajaan Islam di Sepanyol yang berkuasa hampir tujuh abad akhirnya hilang begitu saja. Hanya tinggal sejarah dan artifak untuk dilihat pada hari ini. Itulah putaran kemunculan dan kejatuhan kerajaan yang perlu dijadikan iktibar. Perjuangan bermula dengan kesengsaraan dan kepayahan seperti yang dialami Nabi Muhammad SAW untuk menyebar dan mengembangkan Islam sehingga terpaksa berhijrah dari Makkah tempat kelahirannya, ke kota Madinah yang kemudian menjadi pusat pentadbiran pertama Islam. Apabila Islam berkembang ke Timur, Barat, Utara dan Selatan, khalifah dan pemimpinnya mula melihat keselesaan hidup sebagai matlamat dan meninggalkan perjuangan yang diamanahkan Rasulullah, akhirnya satu persatu empayar Islam berkubur.

Kita amat berharap sambutan Maulidur Rasul kali ini dapat mengingatkan umat Islam mengenai padahnya jika melupakan perjuangan dan kekuatan ummah. Kelekaan di kalangan pemimpin mahupun pengikut, akan menyebabkan kesempatan diambil pihak lain, yang berakhir dengan kerugian. Mungkin keselesaan membuatkan kita lupa dan alpa. Tetapi selepas menyedari akan kesilapan, kita perlu kembali ke pangkal jalan untuk melihat kembali perjuangan kita yang belum selesai. Itulah yang dilakukan pemimpin terdahulu, selepas tumbangnya sesuatu kerajaan, mereka kembali mengatur langkah untuk bangkit kembali, akhirnya kejayaan mereka kecapi. Perjuangan untuk membangunkan negara perlu diteruskan.

Sejarah perjuangan Rasulullah perlu sentiasa diteliti dan dikaji supaya kita terus melaksanakan suruhannya. Perpecahan yang berlaku sebelum ini dan sekarang akibat perbezaan fahaman politik, perlu dipulih kembali dengan segera. Apapun yang berlaku kita perlu memastikan kestabilan politik dan ekonomi negara tidak terjejas. Perpaduan di kalangan masyarakat berbilang kaum perlu dipertahankan, kerana itulah aset yang kita ada untuk meneruskan perjuangan membangunkan negara yang merdeka ini.

Berita Harian