KERAJAAN perlu melaksanakan satu sistem penilaian bagi kakitangan awam yang sudah berkhidmat sehingga ke satu tempoh usia tertentu sebelum memutuskan untuk menyambung perkhidmatan mereka hingga ke umur persaraan yang ditetapkan sekarang.
Presiden Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM), Tan Sri Abdullah Ayub, berkata kakitangan kerajaan perlu dinilai ketika mereka mencapai usia 40 atau 45 tahun dan sekiranya jawatankuasa khas memutuskan kakitangan terbabit tidak bermasalah dan mampu menyumbang terhadap sektor awam, barulah mereka disambung perkhidmatan sehingga ke usia persaraan ditetapkan.
Jika tidak, mereka boleh dibersarakan setakat usia 40 atau 45 tahun dan tidak layak untuk berkhidmat sehingga bersara wajib.
Beliau berkata, dengan cara itu kerajaan akan dapat menapis dan hanya mengekalkan kakitangan berkualiti dan membersarakan kakitangan bermasalah supaya dapat diisi kelompok baru yang pastinya lebih bersemangat berkhidmat untuk negara.
Katanya, kakitangan bermasalah dan tidak produktif sewajarnya dibersarakan kerana tidak mendatangkan faedah kepada sektor awam, malah merugikan wang kerajaan untuk membayar gaji kepada mereka sedangkan tiada sumbangan diberikan.
“Bagaimanapun, cadangan untuk menggunakan VSS untuk sektor awam mungkin kurang sesuai kerana membabitkan pembayaran pencen dan pelbagai prosedur lain. Berbeza dengan swasta, mereka tidak mengamalkan sistem pencen, malah sesiapa yang mengambil VSS boleh mendapat bayaran tinggi.
“Namun, kerajaan perlu merombak peraturan sedia ada bagi memastikan kakitangan bermasalah dapat dipisahkan daripada perkhidmatan awam. Hanya kakitangan yang benar-benar mampu memberi sumbangan saja dikekalkan dalam perkhidmatan,” katanya.
Bagaimanapun, bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN) itu berkata, hakikatnya hanya sebilangan kecil saja kakitangan bermasalah dalam sektor awam kerana pelbagai insentif disediakan kerajaan akhir-akhir ini ternyata mampu meningkatkan komitmen kakitangan untuk berkhidmat dengan lebih komited.
Katanya, media sewajarnya kurang mendedahkan masalah dalam perkhidmatan awam kerana ia hanya bakal menjatuhkan moral di kalangan mereka, seterusnya memberi kesan buruk terhadap sektor awam secara keseluruhannya.
Contohnya, pelbagai pendedahan berkenaan salah laku di kalangan anggota keselamatan seperti polis akan hanya menimbulkan perasaan takut dan ragu-ragu di kalangan masyarakat terhadap integriti pasukan terbabit.
“Berita yang disiarkan akan turut menarik perhatian negara luar sehingga menimbulkan persepsi negatif terhadap mutu keselamatan dalam negara dan kualiti perkhidmatan kakitangan kerajaan,” katanya.
Abdullah mengakui dakwaan banyak pihak yang menyifatkan sektor awam terlalu longgar dalam melaksanakan peraturan sehinggakan ramai di kalangan kakitangan bermasalah masih dapat terus berkhidmat, berbanding sektor swasta yang lebih tegas dalam mengambil tindakan ke atas kakitangan mereka.
Katanya, ia mungkin disebabkan faktor ikatan yang wujud dalam sektor awam yang terlalu ketat, sehinggakan proses buang kerja sukar dilaksanakan.
Selain itu, beliau turut menyokong usia persaraan dinaikkan sehingga 60 tahun bagi memastikan kakitangan yang produktif terus mampu menyumbang dalam perkhidmatan awam.
“Lagipun jika dilihat kepada kelompok masyarakat zaman sekarang, mereka masih kuat dan mampu bekerja walaupun umur sudah mencecah 65 tahun. Justeru, sewajarnya pengalaman kakitangan sebegini terus digunakan untuk kepentingan sektor awam.
“Namun, pelaksanaan itu hanya boleh digunakan untuk kakitangan yang benar-benar mampu menyumbang dan tidak menimbulkan masalah dalam perkhidmatan. Kakitangan bermasalah perlu ditapis pada usia 45 tahun,” katanya.
Berita Harian 10 September 2007