NEGARA kita masih terkejut dengan kisah kehilangan dan akhirnya penemuan Allahyarham Nurin Jazlin Jazimin dalam keadaan yang sangat menyedihkan. Semua pihak mengutuk perbuatan pelaku yang kejam dan bersifat kebinatangan. Betapa tidak berperikemanusiaan penjenayah yang sanggup melakukan jenayah itu.
Sebelum ini, kita dikejutkan dengan banyak kisah kehilangan kanak-kanak. Ada yang ditemui dengan selamat seperti kisah Muhammad Nazrin Shamsul Ghazali atau Yin, dan ada yang sebaliknya.
Perkembangan ini sangat memilukan dan menyentak perasaan mereka yang prihatin. Apakah sebenarnya terjadi dalam masyarakat kita? Apakah keselamatan kanak-kanak untuk menjalani hidup secara bebas dan ceria menjadi satu perkara yang tidak ada jaminan?
Mungkin ramai kalangan kita masih mengingati beberapa nama dan wajah kanak-kanak yang memenuhi akhbar atas kisah yang sama, hilang dari rumah, diculik dalam perjalanan ke sekolah, tempat mengaji, taman permainan, dirogol, dicederakan dan dibunuh seperti Haserawati Saridi, Nurul Huda Ghani, Norshuhada Burak, Nor Shawani Dahlan, Siti Nadirah Budah dan Nor Syakila Ramli Abdullah Choo.
Laporan polis menunjukkan antara Januari hingga April lalu, seramai 303 kanak-kanak dilaporkan hilang di seluruh negara dan daripada jumlah itu, 176 saja yang ditemui kembali. Sepanjang 2006, jumlah kanak-kanak hilang yang dilaporkan ialah 1485 dan 900 berjaya ditemui kembali. Bagaimanakah nasib anak yang tidak diketahui nasibnya itu?
Anak adalah kurniaan Allah yang sangat besar bagi setiap pasangan. Sifat kanak-kanak adalah rapuh, senang percayakan orang, tidak boleh mengurus dan menyelamatkan diri apabila berdepan dengan bahaya.
Mereka perlu dilindungi daripada segala bentuk kekerasan, penderaan dan keganasan. Kanak-kanak hari ini adalah modal insan negara masa depan. Masyarakat perlu memainkan peranan, bersikap lebih prihatin, mengambil tahu dan sama-sama menolong menjaga kanak-kanak walaupun mereka bukan anak atau keluarga kita.
Jika kita dapat bayangkan kembali kisah Yin yang hilang dari pasar raya di Kuala Lumpur baru-baru ini, kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan beliau berjalan sendirian di luar bangunan pasar raya sambil menangis dan ada beberapa lelaki serta perempuan berjalan di tepi beliau.
Kenapa tidak ada yang peduli dan bertanya kanak-kanak itu kenapa, siapa dan bagaimana boleh berada di situ dan seterusnya menyerahkannya kepada pengawal pasar raya? Mungkinkah perkara yang hampir sama berlaku kepada kanak-kanak lain?
Cuba kita renungkan tahap ambil peduli dan ambil berat masyarakat kita. Kita mendesak semua ahli masyarakat sama-sama berubah dan mengamalkan sikap ambil tahu, ambil peduli dan prihatin, terutama dalam isu membabitkan kebajikan kanak-kanak.
Selepas perkembangan kes Nurin, pihak polis menubuhkan unit baru dikenali Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-kanak. Unit itu bertanggungjawab menangani kes kanak-kanak dan keganasan rumah tangga yang diperluaskan untuk mencari mereka yang hilang.
Kita juga menyarankan supaya pihak polis memperluaskan usaha dengan menggunakan khidmat anjing pengesan seperti mengesan penjenayah melalui bau badan. Kanak-kanak yang hilang dan diculik, dalam masa sangat singkat akan terdedah kepada pukulan, deraan fizikal dan seksual. Mereka perlu diselamatkan dengan kadar segera, dengan apa cara terdaya.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pula mencadangkan pesalah jenayah seksual terhadap kanak-kanak diwajibkan memakai tanda atau gelang tangan khas selepas dibebaskan. Ini bertujuan supaya masyarakat mengenalinya dan dapat mengambil sikap berhati-hati.
Masyarakat juga mendesak penguatkuasaan undang-undang lebih keras dalam memastikan hukuman setimpal dijatuhkan terhadap perogol dan pembunuh kejam. Reaksi orang ramai terhadap soal selidik sebuah stesen televisyen menunjukkan mereka menyokong perogol dan pembunuh ini dikenakan hukuman lebih keras. Sekali gus, ini memberi pengajaran kepada pelaku salah yang lain.
Sudah sampai masanya hukuman lebih berat dipinda dan dikenakan kepada pelaku jenayah itu apabila disabitkan. Pada masa sama, ibu bapa digesa memantau dan mengambil berat semua aktiviti anak. Berilah sepenuh perhatian kepada anak, terutama kanak-kanak dan remaja perempuan.
Akhbar juga menyiarkan kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, sama ada ibu bapa Nurin boleh didakwa atas kecuaian menjaga kebajikan anak. Istilah cuai memberi maksud yang besar dan perlu dibuktikan terlebih dulu.
Kecuaian ibu bapa sebenarnya memang termaktub dalam peruntukan undang-undang. Ia membabitkan tanggungjawab ibu bapa menjaga anak mereka sebagai sebahagian daripada hak anak.
Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 memperuntukkan jika wujud kecuaian ibu bapa yang menyebabkan kanak-kanak mengalami masalah, penderitaan, pengabaian dan terdedah kepada keadaan bahaya.
Ibu bapa boleh dihukum jika gagal menunaikan tanggungjawab mereka terhadap anak yang berada dalam jagaan mereka. Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Ibu bapa dianggap cuai jika tidak menyediakan makanan, pakaian, perubatan, perubatan pergigian, tempat tinggal dan jagaan anak yang mencukupi serta menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi anak.
Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) prihatin dengan perkembangan menyedihkan ini dan berharap semua langkah diperkasakan ke arah menjaga kebajikan kanak-kanak. PGSM menyokong sepenuhnya usaha baik yang dijalankan dan perlakuan jenayah itu dikutuk sekeras-kerasnya.
Kepada ahli keluarga Nurin Jazlin, PGSM mengucapkan takziah dan didoakan semoga dapat bersabar menerima qada dan qadar. Semoga roh beliau berada dalam perlindungan dan kasih sayang Allah.
Semoga pemergian beliau menyedarkan kita bahawa kita tidak boleh berpeluk tubuh dan membiarkan perkara itu berulang. Mari kita war-warkan slogan dan kempen baru, 'Ke arah Membina Kepedulian Umat'. Kita perlu bersama berganding bahu, menggembleng usaha membina masyarakat yang sejahtera dan selamat untuk didiami semua.
Oleh Zainul Rijal Abu Bakar dan Nurhidayah Muhd Hashim
Penulis ialah Presiden dan Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Semua komentar boleh dihantar ke exco_pgsm@yahoo.com
Berita Harian 26 September 2007