Khamis, 13 September 2007

Ternakan kambing makin diminati


INDUSTRI penternakan khususnya pengeluaran daging kambing untuk pasaran tempatan masih terlalu rendah. Sehingga kini, Malaysia hanya mampu mengeluarkan lapan peratus daging kambing untuk pasaran tempatan, selebihnya diimport dari Australia dan negara jiran seperti Indonesia dan Vietnam bagi memenuhi permintaan dalam negara.

Mengikut statistik pada 2005, sebanyak 287,670 kambing diternak di seluruh negara dengan pengeluaran 1,460 metrik tan (mt). Permintaan terhadap daging kambing pula sentiasa meningkat setiap tahun.

Pertumbuhan pengeluaran daging kambing juga diramal terus meningkat dengan kadar 6.7 peratus setahun untuk tempoh 2006 hingga 2010. Dalam Polisi Pengeluaran Kambing Kebangsaan mensasarkan pengeluaran 4.96 juta ekor dengan 1.99 juta untuk penternakan menjelang 2015.

Selain, negara juga mensasar pengeluaran daging kambing berjumlah 9,024 mt bersamaan 35 peratus daripada keseluruhan jumlah penggunaan, pada 2015.

Berdasarkan keadaan itu, industri penternakan kambing di negara ini mempunyai potensi dan masa depan cerah. Penternakan baka kambing bermutu boleh dihasilkan dengan teknik pembiakan kacukan.

Baka kambing yang boleh diperluaskan penternakan di negara ini adalah kambing kacukan jenis boer kerana daging lebih bermutu serta mempunyai khasiat tinggi, rendah kalori, kolesterol dan kaya dengan protein.

Dengan khasiat yang tinggi, masyarakat seharusnya menjadikan daging kambing, khususnya baka boer dalam senarai makanan. Masyarakat seharusnya mengubah minda lapuk yang sentiasa memberi persepsi negatif terhadap daging kambing.

Pegawai Penyelidik Kanan Pusat Penyelidikan Ternakan Strategik Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (Mardi), Dr Musaddin Kamaruddin, berkata dalam tempoh lima tahun akan datang, industri kambing akan berkembang pesat di negara ini, terutama dengan dasar kerajaan terhadap ternakan itu.

Kini, katanya minat pengusaha menternak kambing juga semakin meningkat.

“Dulu kita lebih menekankan penternakan lembu, tetapi sekarang ternakan kambing, terutama kambing boer bertambah kerana ia mudah didapati serta disahkan mempunyai kualiti baik.

“Kambing ada tiga jenis, iaitu baka daging, tenusu dan bulu. Kambing boer yang paling bagus dari segi daging berbanding baka jamnapari anglo nubian, alphine dan beratus-ratus baka lain,” katanya yang menjelaskan kambing pada asalnya diternak di Iraq, sejak 10,000 tahun lalu.

Beliau berkata, kambing boer yang bermaksud ‘ladang’ mengikut bahasa Afrika Selatan, berada di negara ini selepas di bawa oleh Mardi pada 2001 dari negara terbabit. Bagaimanapun, kebanyakan kambing boer yang diternak di negara di bawa dari Australia.

Katanya, Mardi sudah menjalankan kajian dari segi kesesuaiannya dan ternyata ia baka yang terbaik dan bermutu tinggi.

Sementara itu, Pengarah Urusan Majestic Nature Boer Farm Sdn Bhd, Yeow Joo Kwang, berkata kambing boer mempunyai baka bermutu dan pelbagai keistimewaan berbanding kambing spesis kambing biri-biri.

Sebenarnya kebanyakan masakan daging kambing yang dijual di restoran adalah kambing biri-biri. Oleh itu, rasanya berlainan dan mempunyai bau kuat sekiranya penyediaan serta penyembelihan tidak dilakukan dengan betul.

“Daging kambing boer bukan saja lebih enak dan bermutu, malah American Heart Association Amerika Syarikat juga mencadangkan orang yang menghadapi masalah berkaitan jantung supaya memakan daging kambing.

“Pengambilan daging kambing juga tidak dikaitkan dengan sentimen mana-mana agama seperti daging babi dan lembu,” katanya ketika ditemui di Highland Organic Boer Farm, milik Majestic Nature Boer Farm Sdn Bhd di Chenderiang, Tapah, Perak, baru-baru ini.

Syarikat berkenaan yang mula mengusahakan penternakan kambing boer beberapa tahun lalu, kini menternak kira-kira 2,200 ekor kambing daripada baka berkenaan.

Beliau berkata, penternakan kambing boer mempunyai potensi cerah. Ini ditambah dengan polisi kerajaan yang menggalakkan penternakan dan pengeluaran kambing.

“Pengeluaran kambing di negara ini masih rendah. Kita baru mengeluarkan lapan peratus. Oleh itu, potensi bidang itu tinggi. Penternakan kambing boer ini tidak mempunyai banyak risiko, cuma perlu dilengkapi dengan pengalaman, kemahiran pengurusan yang betul serta modal sederhana.

“Penternakan kambing ini tidak memerlukan modal besar kerana ia boleh dimulakan pada skala kecil. Dengan 300 ekor saja boleh menjana keuntungan besar,” katanya.

Sehubungan itu, Majestic Farm yang melabur RM5 juta untuk membuka ladang penternakan kambing boer pertamanya mahu terus meningkatkan hasil pengeluarannya, pada masa depan.

Yeow berkata, pihaknya bercadang membuka empat lagi ladang secara berperingkat mulai awal tahun depan hingga 2011 dengan pengeluaran baka kambing boer sekarang kira-kira 2,200 ekor kepada 2,920 ekor (2008); 6,057 (2009); 8,561 (2010) dan 10,617 (2011).

“Majestic Farm juga akan memperluaskan pasaran dengan membuka kedai, dikenali Boer Junction untuk menjual daging kambing. Boer Junction akan dibuka di Damansara Utama, esok dan akan membuka 21 cawangan lagi dalam tempoh dua tahun akan datang,” katanya.

Oleh Jami’ah Shukri

Berita Harian 14 September 2007