Khamis, 27 September 2007

TM jadi rakan usaha sama projek jalur lebar


KUALA LUMPUR: Telekom Malaysia Bhd (TM) diumumkan sebagai rakan usaha sama swasta-awam bagi melaksanakan projek jalur lebar berkelajuan tinggi (HSSB), kata Datuk Seri Najib Razak.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Jawatankuasa Jalur Lebar Kabinet yang dipengerusikannya memilih TM sebagai rakan usaha sama terhadap projek yang dijangka membabitkan kos kira-kira RM15.2 bilion dan mengambil masa lebih 10 tahun untuk disempurnakan.

“Jawatankuasa Jalur Lebar Kabinet membuat keputusan mengenai pembangunan masa depan HSBB negara dan memilih TM sebagai rakan usaha sama atas pelbagai sebab,” katanya selepas menyerahkan bungkusan hari raya untuk anggota pasukan keselamatan, di sini, semalam.

Najib berkata, kerajaan mahu HSBB dilaksanakan segera dan dengan cara yang kos efektif supaya Malaysia tidak ketinggalan berbanding negara lain dalam menghadapi persaingan pada peringkat antarabangsa serta produktiviti.

“Dengan menggunakan prasarana sedia ada, TM mampu melaksanakan HSBB pada kos yang lebih rendah serta berkelajuan tinggi, manakala dengan penguasaan lebih 90 peratus pasaran jalur lebar, ia boleh menawarkan perkhidmatan terbaik.

“Kerajaan merancang melabur satu pertiga daripada jumlah itu, termasuk kos bagi gentian ‘sambungan talian peringkat akhir’, rangkaian teras dan sambungan antarabangsa. Kami harap dapat memeterai perjanjian tidak lama lagi dan pelaksanaan dijangka enam bulan lagi,” katanya.

Mengenai caj bagi peserta industri lain untuk mengakses rangkaian, Najib berkata butiran mengenainya sedang dibincangkan antara kerajaan dan TM. Bagaimanapun katanya, prinsip yang menjadi panduan ialah caj sepatutnya saksama.

Katanya, kerajaan berharap usaha membabitkan sektor awam dan swasta itu akan dapat meningkatkan kadar penembusan 13 peratus daripada 5.5 juta isi rumah sekarang kepada 50 peratus menjelang akhir 2010.

Oleh Anwar Hussin
Berita Harian 28 September 2007