
Masa berjalan begitu pantas, jika dua minggu lalu, kita mendengar pengumuman mengenai permulaan Ramadan tetapi hari ini kita sudah ada dalam hari ke-15 bulan yang penuh dengan kemuliaan tersebut.
Demikianlah pergerakan masa, kita tidak sedar ia begitu pantas berjalan. Persoalannya, apakah kesempatan Ramadan yang tinggal dua minggu sahaja lagi sudah dimanfaat sepenuhnya? Atau kita masih beranggapan bahawa Ramadan masih awal, maka segala amalan serta ibadah kita kepada Allah ditangguh-tangguhkan atau ditunda.
Namun kita terlupa bahawa hidup ini bukan kita tentukan tetapi Allah s.w.t. Manusia hanya mampu merancang dan berusaha tetapi segala-galanya ditentukan olehNya. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku esok, apa tah lagi tahun depan. Oleh itu kesempatan yang ada harus digunakan sebaik mungkin untuk meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah.
Sememangnya sudah menjadi adat manusia, ketika masa, umur dan kesempatan masih berada dalam genggaman, seringkali kita lalai betapa mahalnya masa. Biasanya manusia baru tersedar betapa mahalnya waktu malaikatul maut sudah berada di hadapannya, ‘’Dan belanjakanlah sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepaamu sebelum datang kematian kepada salah seorang di antara kamu. Lalu ia berkata, ‘Ya Tuhanku, mengapa Engkau tidak menangguhkan kematianku sampai waktu yang dekat, yang menyebabkan aku dapat bersedekah dan aku termasuk orang-orang yang saleh’.’’ ( Al Munaafiquun ayat 10).
Ayat ini menegaskan bahawa ada orang yang baru tersedar kalau dirinya belum mempunyai bekalan akhirat ketika dijemput malaikatul maut. Dia lalu memohon, ‘’Ya Allah tangguhkan kematianku sesaat saja, agar aku punya kesempatan untuk beramal saleh.’’ Penyesalan ini tak bererti, sebab kalau jatah umur sudah habis, sedetik pun tidak boleh ditangguhkan.
Tetapi berapa ramai antara kita memikirkan soal ini, malahan kita masih leka biarpun berada dalam bulan Ramadan yang Allah masih memberikan kesempatan umur pada kita untuk menikmati keindahan dan keberkahan Ramadan.
Ramadan adalah bulan yang memiliki sejumlah kemuliaan; bulan pengampunan, bulan dilipatgandakan semua pahala amal kebaikan, bulan dikabulkannya doa, bulan dijauhkan dari api neraka, bulan dibukakan pintu syurga dan dibelenggu syaitan, bulan kebahagiaan (ari), serta bulan pencerahan kerana diturunkannya al Quran (al Baqarah ayat185).
’’Sesungguhnya orang yang benar-benar percaya kepada ayat-ayat kami adalah mereka yang apabila diperingatkan dengan ayat-ayat itu mereka segera bersujud seraya bertasbih dan memuji Rabbnya, dan lagi pula mereka tidaklah sombong. Lambung mereka jauh dari tempat tidurnya dan mereka selalu berdoa kepada Rabbnya dengan penuh rasa takut dan harap, serta mereka menafkahkan apa-apa rezeki yang kami berikan.’’ (surah Al-Sajdah ayat 15 hingga16)
Masa ibarat pedang yang akan menebas siapa saja yang tidak memanfaatkannya dalam kebaikan. Allah berfirman dalam surat Al-’Ashr ayat 103 bermaksud: ‘’Demi waktu, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian kecuali mereka yang beriman dan mengerjakan amal saleh serta nasihat-menasihati dalam kebenaran dan nasihat-menasihati dalam kesabaran.’’
Salah satu keunikan masa adalah ia tidak dapat diulang, tak dapat mundur; waktu akan berjalan terus ke depan. Suka atau tidak suka ia akan meninggalkan mereka yang lalai, yang tidak memanfaatkan waktunya secara maksimal untuk kebajikan dan ketakwaan kepada Allah.
Dalam setiap pergantian waktu, , kita diingatkan kembali akan perlunya melakukan muhasabah. Tentu sahaja muhasabah itu perlu dilakukan secara jujur dan ikhlas.
Begitulah juga dengan Ramadan yang hanya tinggal 2 minggu ini, kita perlu bermuhasabah untuk mengkaji sejauh manakah kita sudah memanfaatkan kehadiran kali ini, apakah seperti tahun-tahun yang lalu atau sudah ada peningkatan serta penambahan dari segi amal ibadah yang dijalankan.
Putaran waktu, pergantian tahun, adalah medan muhasabah bagi setiap muslim untuk meningkatkan ketakwaan kepadaNya. Allah mengingatkan manusia mengenai perkara ini melalui firmanNya ‘’Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memerhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.’’ Tidak ada jalan lain bagi seorang muslim bahawa kehidupan yang dilakukannya harus dinilai secara terus-menerus dengan istiqamah.
Hasil daripada muhasabah akan membuat seseorang kembali bersemangat untuk berusaha meningkatkan ketakwaan kepada Allah dalam setiap aktiviti kehidupannya. Percayalah Allah Maha teliti dan tidak pernah lengah, walaupun manusia tidak dapat melihat Allah secara zahir tapi Allah selalu melihat dan mengawasi hambaNya.
Ketakwaan itulah prestasi tertinggi yang harus diraih oleh seorang mukmin. Untuk itulah perlunya muhasabah dilakukan. ''.... Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.'' Al Hujurat ayat 13). Oleh itu, masa masih belum lambat untuk kita merebutkan apa yang ditawarkan oleh Allah dalam bulan Ramadan ini.
Sinar Harian 28 September 2007