
Bulan Ramadan ialah bulan yang mulia di sisi Allah. Ini kerana dengan menjalani ibadah puasa seseorang Muslim itu akan terdidik jiwanya, menjadi lebih bertakwa kepada Allah dan mampu menjadi benteng daripada godaan syaitan dan hawa nafsu yang sukar dikawal.
Syaitan tidak pernah jemu-jemu menghasut manusia untuk melakukan kejahatan dan perbuatan mungkar. Namun begitu berapa ramaikah di kalangan kita yang benar-benar mampu dan berjaya mengawal diri daripada godaan hawa nafsu?
Kehidupan manusia tidak dapat lari daripada dua persimpangan jalan iaitu runtunan hawa nafsu dan keimanan yang mantap terhadap Allah s.w.t. Untuk memilih dua jalan ini manusia dibekalkan akal oleh Allah bagi menilai, mana yang lebih baik di antara keduanya.
Adapun manusia yang memilih beriman kepada Allah, merekalah orang yang mendapat kejayaan. Tetapi sebaliknya bagi mereka yang memilih jalan menurut hawa nafsu, maka akibatnya amat buruk dengan balasan azab yang telah disediakan oleh Allah s.w.t.
Justeru, dengan kedatangan bulan Ramadan ganjaran pahala yang besar dan berlipat ganda dijanjikan oleh Allah. Maka, seharusnya kita semua merebut peluang ini untuk mendapatkan kelebihannya atau ganjaran pahala tersebut.
Namun demikian ia bukanlah suatu yang mudah untuk diperoleh, kerana di hadapan kita sentiasa ada halangan dan cabaran yang perlu kita tempuhi sebagai satu jihad, terutamanya jihad melawan hawa nafsu. Di sinilah letaknya cabaran sebenar bagi kita dalam menunaikan ibadah puasa.
Jika kita mampu memerangi dan melawan kehendak hawa nafsu, bererti ibadah puasa yang kita kerjakan berjaya mendidik dan membimbing diri kita menuju ke arah jalan yang benar dan mendapat keredaan Allah s.w.t. Tetapi jika sebaliknya yang berlaku bermakna kita telah gagal dan kecundang dalam ujian dan sekali gus menjadikan diri kita ini sebagai orang yang bukan sahaja rugi di dunia, bahkan juga rugi di akhirat.
Ini bertepatan sekali dengan Firman Allah di dalam surah Yusof ayat 35:
Maksudnya: ”Dan tiadalah aku bebaskan diriku, sesungguhnya nafsu itu suka menyuruh kepada yang buruk, kecuali orang yang diberi rahmat oleh Tuhanku, sesungguhnya Tuhanku amat pengampun lagi amat penyayang.
Kita semua yakin bahawa setiap Muslim sentiasa mengharapkan kehidupan yang sejahtera di akhirat kelak dan memohon dijauhkan dari kehidupan yang sengsara. Kita juga seharusnya sedar bahawa hanya dengan ibadah dan amalan-amalan yang baik semasa di dunia akan menjadi bekalan semasa di akhirat kelak. Manakala mereka yang melakukan kesalahan dan dosa, Allah s.w.t. telah menjanjikan balasan yang setimpal sesuai dengan apa yang telah mereka kerjakan. Demikianlah halnya betapa mulianya bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan ini.
Selain dari itu, kita juga hendaklah berazam untuk meneruskan amalan-amalan yang baik, umpamanya kita menyahut seruan kerajaan dalam kempen nafas baru bermula Ramadan, di mana ia merupakan satu program bagi membantu di kalangan perokok-perokok orang Islam untuk membuang tabiat buruk atau berhenti merokok bermula pada bulan Ramadan kali ini.
Mungkin selama ini ada di kalangan sebahagian kita tercari-cari atau memikirkan cara terbaik untuk berhenti merokok, ada yang telah cuba berhenti merokok tetapi sering kali gagal. Maka inilah, peluang keemasan yang perlu diambil mudah-mudahan dengan azam yang kuat diiringi pendirian yang teguh serta berkat bulan Ramadan, Insya-Allah usaha untuk berhenti merokok dapat dikekalkan sehingga penghujung bulan Ramadan dan bulan-bulan seterusnya.
Berhenti merokok bukanlah satu perkara yang mudah untuk dilakukan oleh seorang perokok, bukannya mereka tidak sedar akan akibat buruk yang akan memusnahkan diri sendiri dan orang-orang di sekeliling mereka, tetapi kerana disebabkan mereka telah diikat, dijerat dan dibelenggu oleh pengaruh nikotin yang sekian lama bersarang dalam diri mereka dan ditambah lagi dengan lebih 4000 bahan-bahan kimia yang lain.
Justeru, semoga dengan berkat kesucian bulan Ramadan yang mulia ini dan berdasarkan hasil kajian mendapati bahawa 95% di kalangan perokok-perokok yang beragama Islam menyatakan lebih mudah untuk berhenti merokok dalam bulan Ramadan dengan kita berpuasa hampir 14 jam sehari dan selama itulah mereka dapat mengawal diri dari tidak merokok. Jadi apa salahnya selepas berbuka puasa diteruskan tanpa tidak merokok sehingga bersahur keesokan harinya. Jika tindakan seumpama ini dapat dilakukan serta diamalkan untuk hari-hari seterusnya, Insya-Allah tabiat buruk merokok dapat dihentikan di sepanjang bulan Ramadan yang mulia ini.
Jadikanlah Ramadan bulan yang menjana kekuatan dan jati diri, bulan yang mampu mendidik kita menjadi insan yang lebih dekat dan bertakwa kepada Allah. Sebelum Ramadan pergi meninggalkan kita cubalah kita bertanyakan diri kita sendiri. Adakah kita merasa dekat dengan Allah s.w.t? atau apakah Ramadan tidak meninggalkan apa-apa kesan
Sinar Harian 28 September 2007