KADANG-kadang terasa amat pilu benar saya apabila setiap kali umat Islam hendak memulakan kewajipan berpuasa Ramadan, ketika itu juga harga ayam ‘dilambung’ dengan begitu tinggi.
Siapa sebenarnya yang menaikkan harga ayam sehingga melebihi harga siling yang ditetapkan kerajaan?
Jawapan klasik yang diberikan adalah bertali-menali. Jika ditanya kepada peniaga jawapannya ialah pembekal. Jika ditanya kepada pembekal jawapannya ialah penternak dan jika ditanya kepada penternak pula jawapannya ialah ‘kos pemeliharaan ayam’ meningkat tinggi dan mendadak.
Demikian rantaian jawapan yang sering diberikan kepada pengguna. Akibatnya pengguna mahu tidak mahu terpaksa menghadapi semua jawapan tersebut dengan penuh duka lara jika memilih untuk makan daging ayam.
Persoalannya, kenapa hanya ditunggu pada setiap kali menjelang bulan Ramadan, baru difikirkan wajar harga dinaikkan. Dan semacam kelaziman pula bagi umat Islam di negara ini, khususnya masyarakat Melayu setiap kali masuk bulan Ramadan, menu sajian bertukar secara mendadak.
Kebetulan pula dalam hal pertukaran menu sajian ini, daging ayam menjadi pilihan utama berbanding dengan lain- lain, terutamanya daging merah. Ini mungkin untuk menyedapkan selera setelah sehari suntuk ‘menahan lapar’.
Sedangkan daging merah pula bagi sesetengah golongan tidak digalakkan mengambilnya atas sebab-sebab kepentingan serta keperluan kesihatan dan sebagainya. Ikan pula dikatakan ‘tidak membuka selera’.
Justeru ayam adalah satu-satunya menjadi pilihan menu sajian kebanyakan orang. Maka keadaan ini tidak dapat tidak menjadikan ‘permintaan’ terhadap daging ayam meningkat naik secara mendadak. Barangkali inilah yang mendorong kepada peningkatan harga ayam di pasaran.
Keadaan ini memang boleh dijangkakan berlaku. Ini kerana ia bukan sahaja berlaku secara kebetulan tetapi telah bertukar menjadi satu fenomena setiap tahun apabila tiba bulan Ramadan. Keadaan ini akan berpanjangan pula sehingga sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali.
Oleh demikian amat wajar sekali pihak-pihak berkenaan yang terbabit dengan hal ehwal perdagangan dan pengguna mengambil langkah proaktif bagi mengawal atau mencegah keadaan seperti ini daripada terus berlaku.
Langkah memberi amaran awal memang baik tetapi jika disusuli dengan tindakan tegas dari awal dilihat lebih baik lagi. Ini kerana memberi amaran kadang-kadang nampak semacam tidak dihiraukan oleh pihak-pihak tertentu.
Malah, melihat situasi ini pada setiap tahun, penglibatan daripada pihak-pihak lain khususnya berkaitan pertanian dan industri asas tani serta pemasaran pertanian difikirkan amat perlu. Ini bagi memastikan bahawa bekalan dari ‘kandang’ penternak adalah benar-benar mencukupi.
Usaha-usaha secara bersepadu antara satu kementerian dengan kementerian lain yang ada kaitan dengan penternakan dan pemasaran daging ayam dirasakan amat perlu bagi menangani fenomena ini.
Jika tidak, pengguna terutamanya umat Islam akan sentiasa berhadapan dengan permasalahan kenaikan harga daging ayam ini khususnya dan barang-barang keperluan harian lain amnya pada setiap kali menjelang bulan puasa.
Mungkin satu pelan tindakan secara menyeluruh dan bersepadu perlu diwujudkan dalam usaha mengawal kenaikan harga ayam dan melindungi pengguna.
Bagaimanapun selain peranan kerajaan, pihak-pihak lain juga patut memainkan peranan bagi menstabilkan harga ayam ini.
Pengguna juga mungkin perlu mengubah tabiat menukar menu sajian di bulan Ramadan kepada mengekalkan kebiasaan yang selalu diamalkan pada hari biasa. Kesedaran sebegini dirasakan amat perlu sekarang.
Apa pun kerajaan diminta mempertahankan harga ayam di paras siling sekarang dan tidak membenarkan ia dilambungkan ke tahap yang tidak berpatutan. Meletakkan harga ke paras RM7 sekilogram daripada paras harga siling sebanyak RM5.60 sekilogram dirasakan amat tidak munasabah.
SALLEH SAAD,
Sungai Petani, Kedah.
Sungai Petani, Kedah.
Utusan Malaysia 13 September 2007