Menyelamatkan nyawa merupakan tindakan paling mulia. Dan salah satu cara untuk melakukannya adalah dengan menderma organ. Malangnya, rakyat Malaysia masih belum dapat menerima sepenuhnya hakikat ini selain perlu mengikis sikap mementingkan diri.
Mungkin sebab itu Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek memutuskan sudah tiba masa Akta Tisu Manusia 1974 dipinda, untuk menghentikan amalan meminta kebenaran waris sebelum mengeluarkan organ yang telah dijanjikan seperti sekarang ini.
Ini memandangkan sebilangan besar bantahan pada saat-saat akhir yang menyebabkan organ yang dijanjikan tidak dapat dikeluarkan dan pindaan itu akan mengatasi karenah seperti ini dan memberikan mereka yang tenat peluang baru untuk hidup.
Dr Chua berkata Akta Tisu Manusia 1974 kini menunggu pindaan, diharap dipinda selewat-lewatnya tahun depan supaya anggota keluarga mereka yang telah menjanjikan organ tidak lagi membatalkan keputusan itu daripada segi undang-undang, seperti sekarang ini.
Melalui Akta yang dipinda itu, bermakna pemindahan organ di Malaysia akan dikendalikan atas dasar "dianggap telah memberi kebenaran". Negara-negara seperti Belgium dan Austria menggunakan premis ini dalam mengendalikan pemindahan organ.
Buat masa ini, beberapa faktor dikatakan menjadi penghalang kepada pemindahan organ di Malaysia. Antaranya ialah rasa bimbang yang tidak kena pada tempat yang organ yang dijanjikan itu pasti akan dikeluarkan daripada tubuh. Ini adalah tidak benar kerana keputusan mengeluarkan organ bergantung kepada bagaimana kematian berlaku.
Faktor lain membabitkan agama di mana dalam kes orang Islam, terdapat mitos bahawa menderma organ dilarang oleh agama. Ini bagaimanapun adalah tidak benar kerana pada 1974 Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengeluarkan fatwa yang orang Islam boleh menderma organ.
JANGAN PAKSA ORANG
Sementara tiada perlakuan lain yang lebih mulia daripada menyelamatkan nyawa, Persatuan Perubatan Malaysia berpendapat memaksa orang untuk menderma organ bukanlah langkah yang wajar.
Presidennya Datuk Dr Khoo Kah Lin memberitahu Bernama adalah lebih baik untuk mendidik orang ramai serta menggalakkan mereka menderma organ.
Tindakan memaksa menderma organ mewujudkan situasi konfrontasi. MMA tidak setuju dengan `lesen sah' untuk meminta keluarga si mati menderma organ.
"Kami hanya mahu mengeluarkan organ dengan kebenaran keluarga. Kami, para doktor, tidak harus mengeluarkan organ jika keluarga tidak setuju dengannya kerana mereka boleh cabar kami sama ada situasi `mati otak' benar-benar telah berlaku," katanya.
Di negara-negara di mana undang-undang membenarkan organ dikeluarkan di bawah sistem "opt out", doktor-doktor mereka memaklumkan banyak masalah kerana tiadanya saling kepercayaan.
Dr Khoo berkata sementara orang ramai memandang berat isu pemindahan organ ini, masih ramai yang tidak jelas dengan konsep "mati otak" di mana jantung seseorang itu masih berdenyut tetapi diisytiharkan mati.
"Kurangnya kefahaman dalam hal seperti inilah yang menakutkan ramai orang. Para doktor tidak boleh memaksa keluarga untuk menderma organ tetapi boleh membangkit dan membincangkan isu menderma organ. Sementara langkah ini akan menyebabkan tekanan tambahan pada doktor, mereka tetap harus melakukannya untuk menyelamatkan yang lain."
Peguam Hak Asasi Kemanusiaan Edmund Bon berkongsi sentimen yang sama dan percaya langkah menjadikan menderma organ mandatori sebagai tidak munasabah.
"Seseorang perlu menimbangkan sensitiviti keagamaan waris yang mesti dihormati," kata beliau kepada Bernama.
Bon berkata turut penting ialah untuk menghormati integriti tubuh si mati, di mana waris harus mempunyai kata putus dalam bagaimana tubuh si mati harus dikendalikan.
"Mencari organ untuk pemindahan melalui paksaan tidak akan berjaya. Apa yang kerajaan perlu lakukan ialah terus mendidik orang ramai dan melaksanakan program-program untuk meningkatkan kesedaran akan mengapa penting bukan sahaja untuk menjanjikan organ tetapi juga akhirnya menderma organ mereka.
"Pujukan dan nilai-nilai perubatan boleh digunakan untuk menggalakkan lebih ramai orang menderma organ mereka. Tetapi kerajaan tidak boleh masuk campur atau memaksa pendermaan organ," kata Bon.
TERUSKAN MENDIDIK RAKYAT
Bagi Malaysia Hindu Sangam, ia juga berpendapat langkah meminda Akta Tisu Manusia 1974 adalah tindakan terburu-buru dan pendermaan organ tidak harus dijadikan mandatori.
"Kementerian Kesihatan sebaliknya harus melakukan segala yang boleh untuk mengatasi kekhuatiran di pihak waris mengenai pendermaan organ," kata presidennya Datuk A. Vaithilingam kepada Bernama.
Tiada halangan daripada segi agama. Ia lebih kerana ketakutan dan kurangnya keyakinan, yang perlu diatasi, katanya.
"Ada kalanya rakyat Malaysia memerlukan `drama' seperti kes Tee Hui Yee untuk menderma organ mereka. Tetapi usaha ke arah mendidik orang ramai akan mengapa penting menderma organ mereka mesti diteruskan," katanya.
`DRAMA' MEMBANTU
Kejayaan pemindahan jantung Tee yang berusia 14 tahun baru-baru ini, yang hidup dengan jantung mekanikal sejak September tahun lepas, menyebabkan ramai tampil mendaftar sebagai penderma.
Ketua Penyelaras Pusat Sumber Transplan Negara (NTRC) Dr Lela Yasmin Mansor berkata orang ramai muncul di NTRC sehinggakan pada Ahad untuk menjanjikan organ mereka. Pusat yang terletak di Hospital Kuala Lumpur itu biasanya ditutup pada Ahad tetapi selepas kejayaan pemindahan jantung Tee, NTRC membuka pintunya pada Ahad untuk menyambut kedatangan orang ramai dan mendaftar sebagai penderma.
Bagi Tan Sri Lee Lam Thye, pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Awam mengenai pendermaan organ, lebih banyak perlu dilakukan untuk mengekalkan momentum. Beliau mencadangkan agar MyKad juga digunakan sebagai kad penderma organ.
Turut disambut baik ialah berita yang Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) sedia menghulurkan sokongan bagi pendermaan organ, dengan berkata "untuk menyelamatkan nyawa, perbezaan dalam agama tidak harus menjadi penghalang".
Oleh Jeswan Kaur
Bernama