Gryposaurus
Pemburu-pemburu fosil telah menemui satu spesies baru dinosaur berparuh itik dan berstruktur gigi yang aneh di sebuah 'tempat perkuburan' dinosaur di Utah, Amerika Syarikat. Demikian laporan yang dikeluarkan baru-baru ini.
Herbivor gergasi itu dikatakan bertebaran di planet ini pada kira-kira 75 juta tahun dahulu dan nampaknya seperti menjadi ketua di kalangan spesiesnya. Ia lebih tinggi berbanding dinosaur-dinosaur lain yang tinggal di kawasan barat AS pada masa itu.
Makhluk tersebut mempunyai rahang berbentuk paruh yang kuat dengan 300 batang gigi yang boleh meratah segala tumbuh-tumbuhan. Terdapat juga sehingga 500 gantian pemotong yang tertanam pada tulang rahangnya yang besar.
Spesies dewasanya dijangka boleh membesar sehingga sembilan meter sekali gus menjadikan dinosaur berparuh itik ini sebagai salah satu daripada makhluk besar yang pernah menjejaki bumi.
"Ia merupakan salah satu daripada spesies dinosaur berparuh itik yang paling ganas," kata Terry Gates, seorang ahli paleontologi dari Muzium Sejarah Semulajadi Universiti Utah. "Ia merupakan gergasi," tambahnya.
Satu kumpulan paleontologi dari Claremont, California mula menemui fosil tengkorak jenis dinosaur berkenaan pada tahun 2004 di sebuah kawasan terpencil di Utah.
Para pengkaji menggelar makhluk ini sebagai Gryposaurus monumentesis kerana rahang paruhnya yang seperti cangkuk serta lokasi ia ditemui.
Ia merupakan salah satu daripada satu dozen fosil dinosaur yang pernah ditemui di Utah.
Sehingga kini, masih ada antara fosil berkenaan yang belum didokumentasikan oleh ahli paleontologi.
Kosmo 11 Oktober 2007