KUALA LUMPUR: Umat Islam di negara ini dinasihati supaya tidak menimbulkan soal sama ada organ yang didermakan oleh anggota keluarga mereka didermakan kepada orang Islam atau bukan Islam, kata ketua pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Wan Mohamad Datuk Sheikh Abdul Aziz.
Beliau berkata orang Islam tidak seharusnya bimbang jika organ yang didermakan itu diberikan kepada orang bukan Islam.
"Ini kerana dalam ajaran agama Islam soal menyelamatkan nyawa manusia, perbezaan agama bukanlah menjadi halangan.
"Kita juga harus ingat tentang ajaran Islam bahawa barang siapa yang saling mengasihi sesama manusia, maka ia akan lebih dikasihi oleh Allah s.w.t.," katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu Jakim memuji serta menyambut baik tindakan dua keluarga, satu dari Sitiawan, Perak dan satu lagi dari Johor Baru, Johor yang membuat keputusan untuk mendermakan organ anak masing-masing yang telah meninggal dunia kepada pihak yang memerlukan.
Awal pagi semalam, remaja perempuan berjantung mekanikal, Tee Hui Yee, 14, selamat menjalani pemindahan menerima jantung daripada seorang juruteknik dari Johor Baharu di IJN selepas badannya menolak jantung penderma pertama seorang pemuda dari Perak yang dipindahkan kepadanya dua hari lepas.
Bernama