Rotavirus yang dilihat melalui mikroskop
Ibu bapa perlu berwaspada jika anak mereka mengalami cirit-birit dan muntah-muntah yang berterusan kerana ia mungkin petanda mangsa dijangkiti rotavirus yang boleh membawa maut.
Ini kerana virus tersebut berupaya menghakis lapisan luar usus (mukosa gaster) dan usus gagal berfungsi dengan baik jika tidak segera dirawat.
Pensyarah Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Yap Kok Leong berkata, virus yang membahayakan nyawa ini biasanya menjangkiti usus kanak-kanak.
"Ia menyebabkan sel bahagian usus mati serta mengakibatkan gastroenteritis (jangkitan pada usus sehingga membengkak)," katanya pada syarahan perdana di Kampus UKM Kuala Lumpur semalam.
Menurut Kok Leong, penularan penyakit dan virus ini berpunca daripada meminum dan termakan makanan yang tercemar misalnya yang dihinggapi lalat selain buah-buahan yang dijangkiti bakteria.
Katanya, kanak-kanak berusia tujuh bulan hingga tiga tahun adalah golongan yang lebih terdedah kepada virus tersebut.
"Namun penyakit ini bukan menyerang kanak-kanak sahaja kerana orang dewasa turut menjadi mangsanya.
"Simptom yang ketara dihadapi oleh seseorang yang dijangkiti virus ini adalah cirit-birit yang teruk, muntah-muntah, kekejangan otot dan demam ringan selama dua hingga tiga minggu," katanya.
-Kosmo!