Khamis, 29 November 2007

Galeri Henry Bong Khazanah Budaya Malaysia


Apabila Raja Perempuan Kelantan menganjurkan festival budaya seminggu di New York pada Mei lepas, baginda menjemput Henry Bong untuk menganjurkan serentak satu ekspo koleksi unik tekstil Malaysia-Kelantan di premis Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Bong, yang mempunyai bakat unik dalam mengandingkan seni dan hiasan dalaman, dengan penuh gembira menyahut permintaan itu.

Peniaga artifak seni berusia 54 tahun ini, sejarawan seni, ahli perniagaan dan pencinta warisan budaya Malaysia, mengendalikan sebuah galeri seni di aras tiga Suria KLCC di Kuala Lumpur.

Mungkin tidak diketahui ramai, galeri Bong yang dikenali sebagai Pucuk Rebung adalah satu tempat yang mesti dilawati bagi para peminat seni dari pelbagai bahagian dunia. Bong bukan sahaja dikunjungi oleh pembeli dan peminat seni tetapi juga wartawan asing yang datang, adakalanya dengan menyamar, ke galeri beliau untuk mengkaji artifak yang ada dan menampilkannya dalam sebilangan majalah seni antarabangsa.

Pengumpul seni Amerika, Eropah, Jepun dan negara-negara Asia lain sering berkunjung ke Pucuk Rebung, yang ramai pengunjung mengibaratkannya sebagai khazanah warisan budaya Malaysia, walaupun Bong lebih suka menggelarnya sebagai 'muzium saya'.


PUCUK REBUNG DESTINASI BUDAYA

Pucuk Rebung kini dianggap destinasi budaya oleh pelancong-pelancong yang datang ke Malaysia.

"Kami adalah sebuah muzium tanpa karenah birokrasi.

"Kami menggunakan seni untuk memaparkan sejarah Malaysia. Artifak-artifak jarang kami termasuk surat daripada tiga Rajah Putih Malaysia; kami mempunyai seramik daripada Lembah Bujang yang berasal dari zaman empayar Sri Vijaya iaitu abad ke-14 Masihi," kata beliau dalam satu temubual bersama Bernama.

Bong, yang pengalaman lama berkhidmat dengan bank banyak membantu beliau dalam aspek komersil koleksi seninya, juga menyampaikan syarahan mengenai seni, budaya, dan sejarah Malaysia. "Sepatutnya saya menyampaikan syarahan mengenai sejarah Borneo dengan tema Gangsa dan Perkakas Gangsa di Brunei pada Disember," katanya.

Bong menganggap Galeri Pucuk Rebung sebagai satu venue deklarasi budaya, jauh berbeza daripada muzium lazim yang mempamerkan artifak-artifak dalam kotak kaca yang uzur, berkeriang-keriut dan berkarat.

Walaupun ada antara artifak pameran unik daripada segi keindahannya dan juga jarang boleh ditemui, kelebihan Bong adalah hasil penyampaian imaginatif objek-objek ini, yang seperti yang dapat disaksikan, menarik kedatangan setiap peminat seni ke galeri itu dan mendorong mereka berada di situ sehingga kesemua barang pameran ditatapi. Koleksi itu disampaikan mengikut susunan kronologi bermula dengan pengaruh Hindu Sri Vijaya-Buddha dan kemudian tempoh proto-Islam dan elemen-elemen Borneo dan selepas kedatangan Islam.

Terdapat gambar-gambar bersejarah, patung-patung Buddha dari era Ayuthia dan Rattanakosin, tali pinggang perak yang berat, dan banyak lagi objek-objek yang dikatalog dengan rapi dan diatur.


20 PERATUS DARIPADA BARANG PAMERAN KOLEKSI KEKAL

Sementara banyak daripada galeri-galeri seni sezaman berfungsi sebagai perantara komersil dalam perniagaan seni, yang membezakan Pucuk Rebung ialah ia telah memperuntukkan, sekurang-kurangnya, 20 peratus daripada barang pameran sebagai koleksi kekal yang termasuk barangan perak daripada koleksi abad ke 19 Swettenham, gambar Sultan Abu Bakar, gambar bapa nasionalisme Malaya Datuk Onn Jaafar, sepucuk surat daripada Tun Abdul Razak mengesyorkan Tunku Abdul Rahman dilantik mengamalkan guaman, sepucuk surat daripada Rajah Putih Terakhir Charles Brook bertarikh 1 Mac 1933, dan yang lain.

"Saya banyak menerima pelancong-pelancong asing, termasuk warga Amerika di galeri saya, meminta saya menghantar beberapa daripada objek kepada mereka," dakwa Bong yang sangat meminati Muzium Metropolitan New York di mana beliau banyak menghabiskan masa semasa melawat bandaraya itu. Impian beliau ialah untuk mengadakan pameran artifak-artifak ini di Amerika Syarikat dan juga di negara-negara lain untuk memperkenalkan seni, budaya dan sejarah Malaysia.


BONG SERBA MENGETAHUI SEJARAH SENI MALAYSIA

Bong yang serba mengetahui sejarah seni Malaysia juga telah menganjurkan beberapa seminar dan pameran. Selain pameran tekstil Malaysia dan Kelantan itu, Bong terbabit dalam mengadakan 'Pameran Abad Ke-19 dan Pasar Seni', 'Seni Antikuiti dan Tekstil' di Castello di Sartirana, Itali, pada 1999, 'Seni dan Nasionalisme: Dulu dan Sekarang' di Balai Seni Lukis Negara pada September 1999; dan 'Merenung Kegemilangan Kesultanan Brunei dan Kelantan' di Istana Batu dan Istana Johar di Kota Baru, Kelantan, bersempena dengan lawatan Sultan Brunei ke Kelantan pada Mac-April 1999.


BONG MENERIMA PENGIKTIRAFAN

Raja Perempuan Kelantan, yang kagum dengan bakat dan minat Bong, merupakan penaung galeri beliau. Sehinggakan Bong diminta menguruskan keseluruhan reka bentuk dalaman dewan Istana Kelantan.

"Saya meneliti seni bina dewan itu. Saya mengadun pengaruh Malaya dan corak-corak penjajah semasa mengilhamkan rekabentuk dalaman itu," katanya.

Bong mereka bentuk dewan itu bagi majlis perkahwinan Putera Mahkota Kelantan pada 2004.

Bong kini diberi tugas menyediakan reka bentuk dalaman 'Royal Salon', iaitu gerabak keretapi yang khusus untuk kegunaan Sultan dan Perdana Menteri.

Ini merupakan gerabak khas yang boleh disambung pada tren sedia ada, jelas beliau. Gerabak itu, yang akan ditempatkan di Kuala Lumpur, dijangka mula beroperasi pada Mac 2008. Bong berperanan sebagai sub-kontraktor bagi pihak pembekal-pembekal Malaysia. Beliau berjaya dalam bida yang turut disertai oleh pesaing-pesaing hebat.


Oleh Manik Mehta
Bernama