Khamis, 29 November 2007

Wakil Rakyat Baram Mahu Isu Kad Pengenalan Diselesaikan


Hampir empat tahun yang lepas, Catherine Jangin berharapan tinggi yang impiannya untuk disahkan sebagai warga Malaysia pasti menjadi kenyataan. Lagipun ada orang yang datang mengetuk pintu menyampaikan khabar yang para pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan tiba di kampungnya untuk menjalankan gerakan pendaftaran.

"Itu sebenarnya percubaan kali kedua untuk mendapatkan kad pengenalan tetapi hasrat saya itu tetap tidak kesampaian, salah seorang daripada pegawai menjelaskan yang saya harus ke Miri bersama seluruh keluarga bagi satu temuduga di pejabat JPN sebelum permohonan saya boleh diproses," kata wanita Kenyah itu apabila ditemui oleh Bernama di Long Tebenyi, sebuah penempatan yang terletak tujuh jam perjalanan melalui jalan darat yang mencabar dari Miri.

Catherine, 30, merupakan antara lebih 5,000 rakyat Malaysia yang layak mendapat kad pengenalan di daerah pedalaman ini dan tanpanya beliau tidak dapat menikmati pelbagai keistimewaan sebagai rakyat Malaysia.

Adalah aneh sekali yang beliau mendapati sukar untuk memperolehi kad pengenalan sedangkan enam lagi adik-beradiknya sudah pun mempunyai kad pengenalan.

Ibu kepada tiga orang anak itu menyuarakan keluhannya kepada Anggota Parlimen Baram (MP) Datuk Jacob Dungau Sagan semasa lawatan beliau ke kampung itu baru-baru ini.


KEUTAMAAN TINGGI DALAM AGENDA WAKIL RAKYAT

Masalah yang dihadapi oleh Catherine juga dihadapi oleh ramai yang lain. Antara yang 'tanpa kewarganegaraan' ini termasuk mereka yang lahir sebelum pembentukan Malaysia pada 16 September 1963. "Bagi wakil rakyat bukan dari Sabah atau Sarawak, mereka akan mengetepikan masalah ini sebagai isu lama. Bagi saya, sama ada ia isu lama atau baru ia tetap isu selagi tidak diselesaikan," kata Jacob.

Sebagai orang yang tahu mengenai kehidupan yang terbatas tanpa status warganegara, Jacob bersimpati dengan nasib golongan ini di kawasan pilihan rayanya. Jacob yang kini dalam penggal ketiga sebagai wakil rakyat Baram memberitahu Bernama isu itu sudah lama wujud, lama sebelum beliau bertanding buat pertama kali pada 1995.

Melihatkan usaha-usaha yang diambil oleh JPN selama ini tidak berkesan, beliau ragu yang masalah itu boleh diselesaikan dalam tempoh terdekat ini. Jacob berpendapat ketiadaan komitmen menyeluruh JPN merupakan punca kepada masalah itu.


MENGAPA MASALAH SAMA BERLARUTAN

Masalah ketiadaan kewargannegaraan bermula sejak mereka lahir lagi di kampung-kampung yang tidak mempunyai klinik luar bandar atau kakitangan kerajaan yang boleh mendaftar kelahiran mereka. Oleh itu orang-orang ini tidak mempunyai sijil lahir.

Keadaan lebih buruk semasa zaman penjajahan kerana hanya mereka yang berjaya keluar dari Baram dan mendapat pekerjaan di tempat-tempat seperti Miri akan mendapat kad pengenalan kerajaan penjajah. Tetapi keadaan semasa tidak banyak berbeza kerana ia menelan belanja lebih kurang RM200 bagi perjalanan ke Miri dari Long Tebenyi menggunakan kenderaan pacuan empat roda.

Ada kalanya permohonan ditolak oleh JPN kerana butir-butir pemohon diragui walaupun ia diperakui oleh Jacob.

"Saya tahu akan latarbelakang mereka dan paling penting saya tahu mereka adalah warga Malaysia yang layak tetapi saya tidak tahu mengapa perakuan saya tidak dapat diterima," tanya beliau.

Oleh itu, tidaklah mengejutkan apabila beberapa daripada dokumen pengenalan ini dengan mohor Ratu Elizabeth II menyatakan kewarganegaraan mereka sebagai "British Subject", masih digunakan untuk menyokong permohonan mendapatkan Kad Pengenalan.

Terdapat pemohon yang sudah pun membayar yuran permohonan sebanyak RM20 tetapi permohonan mereka ditolak dan mereka terpaksa membayar semula jumlah yang sama untuk membuat permohonan baru.


MENCARI PENYELESAIAN

"Saya telah menyiasat dengan jabatan itu dan mendapati sistem yang ada memang memadai tetapi mungkin mereka yang mengendalikannya menjadi penghalang," kata beliau.

Bagi kakitangan JPN di lapangan, beliau berharap mereka akan lebih bertimbangrasa dalam melaksanakan tanggungjawab mereka dan jangan terikut sangat dengan prosedur birokrasi.

Mengenai pendedahan JPN baru-baru ini yang ada kad pengenalan yang belum dikutip oleh pemiliknya, Jacob berkata sebagai anggota Parlimen beliau sentiasa bersedia membantu mengedarkan dokumen yang belum dikutip itu kepada pemilik khasnya di kawasan pilihan raya beliau.

Mereka mesti faham halangan logistik seringkali mengehadkan mobiliti orang ramai di pedalaman dalam untuk mendapatkan dokumen pengenalan.


Laporan Khas Oleh Hamdan Ismail
Bernama