Khamis, 29 November 2007

Tol tak naik bukti keprihatinan kerajaan


Datuk Seri S. Samy Vellu

PENGUMUMAN kerajaan kelmarin bahawa hanya lebuh raya yang kurang sibuk dan tidak mempunyai banyak aliran trafik saja mengalami kenaikan kadar tol berkuat kuasa 1 Januari depan, sudah tentunya melegakan banyak pihak. Lebuh raya yang menjadi laluan utama pengguna terutama Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus) tidak terbabit dengan kenaikan kali ini. Kadar yang ada sekarang pun telah membuatkan ramai pengguna mengeluh ketika bercuti bersama keluarga atau pada musim perayaan dan keputusan kerajaan untuk tidak menaikkannya lagi pastinya meredakan keadaan sekurang-kurangnya bagi tempoh setahun lagi. Selain Plus, tiga lagi lebuh raya tidak mengalami kenaikan tol iaitu Jambatan Pulau Pinang, Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Hulu Klang (Prolintas), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint)-Kerinchi dan Damansara Link. Enam lebuh raya yang dinaikkan tol adalah Lebuh Raya Seremban-Port Dickson, Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite), Lebuh Raya Kulim-Butterworth, Lebuh Raya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Link Kedua), Lebuh Raya Pintas Selat Klang Utara Baru, Tambak Johor dan Plaza Bukit Kayu Hitam. Kadar tol di keenam-enam lebuh raya itu naik antara 30 sen dan RM10.70 sen mulai 1 Januari ini. Kali terakhir kerajaan menaikkan tol ialah pada 1 Januari lalu membabitkan lima lebuh raya di sekitar Lembah Klang dan kenaikan di antara 30 sen dan RM1. Menteri Kerjaraya, Datuk Seri S Samy Vellu ketika mengumumkan perkara itu berkata keputusan berkenaan dibuat kerana lebuh raya terbabit tidak mempunyai kadar trafik yang tinggi dan tidak membabitkan pengguna yang ramai. Lebuh Raya Seremban-Port Dickson dan Elite, misalnya paling kurang aliran trafik manakala Link Kedua pula hanya dilalui 16,000 kenderaan, kebanyakannya dari Singapura.

Kita akur bahawa kerajaan mempunyai perjanjian dengan pemegang konsesi dan perlu menimbang kenaikan kadar tol dari semasa ke semasa bagi menampung kos pembinaan dan penyelenggaraan lebuh raya yang semakin tinggi. Keputusan untuk tidak menaikkan tol bererti kerajaan terpaksa membayar pampasan RM242 juta kepada keempat-empat syarikat konsesi berkenaan. Di samping itu, kerajaan juga terpaksa menanggung pampasan kepada beberapa konsesi lain menjadikan jumlah keseluruhan RM344 juta. Mungkin ramai yang beranggapan bahawa keputusan untuk tidak menaikkan kadar tol itu ada kaitan dengan pilihan raya umum semakin hampir dan tindakan itu dikatakan untuk menjaga hati rakyat. Bagaimanapun, andaian itu dinafikan menteri berkenaan. Tidak kira sama ada kenaikan tol ada kaitan dengan tarikh pilihan raya atau tidak, apa yang lebih penting ialah ia tidak seharusnya membebankan rakyat.

Kita berharap sebarang kenakan kadar tol perlu diiringi dengan peningkatan dari segi perkhidmatan. Keadaan lebuh raya, papan tanda dan tempat berehat juga patut berada pada tahap lebih memuaskan dan sentiasa diselenggara dengan baik. Syarikat konsesi juga perlu menjaga imej yang dipaparkan di plaza tol di setiap pintu keluar masuk dan tidak membiarkannya dicemari kain rentang yang tidak terurus dengan baik. Kakitangan yang berkhidmat di kaunter bayaran tol juga perlu lebih kerap diberi latihan kemahiran insaniah supaya berbudi bahasa dan mesra pelanggan, bukannya sekadar meletakkan papan tanda memaklumkan kepada pengguna agar memberitahu mereka jika kakitangannya tidak senyum atau kurang mesra. Pengguna yang membayar tol pastinya inginkan perkhidmatan lebih memuaskan dan mesra pengguna. Ini menjadi tugas pemegang konsesi bagi memastikan mereka sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik. Mereka seharusnya mengimbangi matlamat mengejar keuntungan dengan tanggungjawab sosial.


Berita Harian 30 November 2007